Oleh Ramlah Zainal
Penerbit filem itu, David Teo berkata, JPBC yang juga filem ke-31 MIG dan mendapat sentuhan pengarah muda Ahmad Idham itu mendapat kutipan hari pertama RM460,000 menerusi 65 salinan. "Filem JPBC juga mencecah kutipan RM3.2 juta selepas seminggu ditayangkan di pawagam tempatan. Sehingga hari ini, JPBC terus mendapat sambutan penonton dan masih ditayangkan di pawagam seluruh tanah air," katanya. David berkata, JPBC adalah filem yang menampilkan konsep komedi seram dengan sedikit elemen percintaan. Keistimewaan filem ini adalah gabungan elemen seram dan komedi di mana penonton akan dapat merasai kedua-duanya dalam satu filem.
"Ia juga percubaan pertama bagi filem bercorak sedemikian tetapi formula ini terbukti mampu menarik minat penonton tempatan dengan kejayaan yang dilakar filem JPB (RM6.5 juta kutipan di Malaysia) dan Congkak (RM4.5 juta). "Justeru, gabungan kedua-dua judul ini menjadi satu menerusi JPBC sekaligus menarik minat penonton untuk menyaksikan filem ini," katanya.Menurutnya, MIG memberi kepercayaan kepada Ahmad Idham untuk mengarahkan JPBC kerana dia pengarah yang sama menghasilkan JPB, Congkak dan Jangan Tegur (kutipan RM4.3 juta).
"Kali ini, Ahmad Idham tampil dengan konsep yang pertama kali dihasilkannya iaitu komedi seram. Minat penonton menyaksikan filem seram dan komedi memberi idea pihak kami menggabungkan kedua-dua genre ini menjadi satu. "Walaupun filem komedi seram, JPBC sangat mementingkan kepuasan penonton apabila memilih sistem bunyi Dolby Digital Surround (DTS).
"Penonton juga merasai pengalaman berbeza apabila menonton filem komedi di pawagam yang dilengkapi sistem ini. Pada masa sama, filem ini juga mendapat sentuhan jurutera bunyi yang sama dalam JPB, Congkak dan Jangan Tegur," katanya. Berdasarkan sambutan luar biasa itu, David berkata, pihaknya yakin JPBC (The Curse Of Congkak) yang menjengah pawagam terpilih di seluruh Singapura bermula 23 Julai lalu bakal mencecah kutipan pecah panggung.
"Mengimbas kembali, kejayaan JPB dan Congkak yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia dan Singapura satu ketika dulu, pihak kami juga mengharapkan sokongan sama dari peminat filem di Singapura sekaligus mencatat satu lagi sejarah filem Melayu di sana."Filem JPBC juga memberi kepuasan berbeza kepada penonton berbanding filem lain terbitan kami yang pernah ditayangkan di Singapura. Pihak kami juga mensasarkan kutipan filem ini mencecah RM1 juta dalam tempoh sebulan tayangannya di sana nanti," katanya.
Filem JPBC yang membabitkan penggambaran sepenuhnya di Perlis, menampilkan barisan pelakon berbakat tanah air seperti Sam Shaheizy (Johan), Cat Farish (Asmat), Mazlan Pet Pet (Punai), Lisa Surihani (Mustika), Azlee Jaafar (Pak Hamzah), Piee (Pak Sudir), Den Wahab (Latiff), Belalang (Megat), Dina Malaysian Idol (Ziana), Zarina AF2 (Wati), Mas Muharni (Wawa), Den Wahab, Bob Kuman dan ramai lagi.
MIG Production Sdn. Bhd.
David Teo
Ahmad Idham
Jangan Pandang Belakang Congkak
Jangan Pandang Belakang
Jangan Tegur
Congkak
Shaheizy Sam
Cat Farish
Mazlan Pet Pet
Azlee Senario
Lisa Surihani
Piee
Bob (KU2)@Kuman
Mas Muharni
Artikel Terkini