Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

13 September 2009 : Harian Metro

Impian 18 Tahun Tercapai

Oleh Ramlah Zainal

Kini, selepas 13 tahun berlalu, Haliza, 36, kembali lagi menyemarakkan persada perfileman tanah air menerusi filem genre komedi romantik Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami! yang diterbitkan produksinya sendiri, Big Productions Sdn Bhd. “Sebenarnya, saya sudah bermimpi untuk menerbitkan filem Andartu Terlampau sejak berlakon dalam filem Abang 92 arahan Din CJ lagi.

“Saya masih ingat lagi, ketika saya berhasrat untuk terbitkan filem ini, bukan sedikit orang yang ketawakan saya. Tapi, pengarah filem Mr Cinderella 2, Din CJ percaya dengan cita-cita saya itu. Justeru, saya terus bangkit kerana percaya cita-cita saya itu akan tercapai jua satu hari nanti. Ternyata, selepas menunggu selama 18 tahun, mimpi saya untuk terbitkan filem ini menjadi kenyataan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Haliza, pada mulanya, dia berasa takut untuk berlakon filem lagi kerana tidak ingin mengulangi kegagalan filem Scoop yang tidak ‘meletup’ di pawagam. “Antara faktor filem itu gagal mungkin kerana saya sukar didekati ketika itu dan saya artis yang ‘tidak boleh jual’ ketika itu kerana lebih dikenali sebagai pelakon drama berat. “Tapi, bila usia meningkat, saya berubah dan sampai masanya saya buktikan pelakon serius seperti saya mampu buat orang ketawa. Saya juga tidak ingin dikenali hanya sekadar pelakon saja dan boleh menjiwai pelbagai watak. Saya juga ingin orang bercakap, Haliza adalah ‘sesuatu’,” katanya.

Haliza berkata, penampilan pelakon terkenal Indonesia, Ari Wibowo dalam filemnya itu kerana mereka mempunyai keserasian untuk bekerjasama dalam filem itu.
“Ari adalah kawan baik saya dan secara kebetulan dia ada bakat dan tidak ada salahnya saya ketengahkannya dalam filem ini. “Pada masa sama, saya juga mengimpikan filem ini bakal menembusi pasaran Indonesia dan penampilan Ari yang memegang watak Dr Ryan Diprojo dalam filem ini mampu merealisasikannya,” katanya.

Haliza ditemui pada majlis pelancaran filem Andartu Terlampau.....21 Hari Mencari Suami yang disempurnakan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mahyidin Mustakim di Bora Asmara di Sungai Penchala, di sini, kelmarin.Antara rakan artis yang hadir, Erra Fazira, Fahrin Ahmad, Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Azizi Chunk, Maimon Mutalib, Emma Akma dan ramai lagi.Ditanya sama ada jalan cerita Andartu Terlampau mempunyai persamaan dengan kisah hidupnya, Haliza berkata, jalan cerita itu memang ideanya sendiri tapi dikembangkan oleh penulis skrip.

“Cerita ini bukan kisah hidup saya tapi pada asasnya memang bertitik tolak daripada status saya yang belum berkahwin sampai sekarang. “Tidak dinafikan, ke mana saja saya pergi, orang akan bertanya soalan klise, bilalah saya nak kahwin? Secara peribadi, saya memang tidak berasa takut dengan gelaran andartu itu. Apa yang penting, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Pada pandangan saya, belum tentu orang yang berkahwin itu bahagia dengan kehidupan mereka,” katanya.

Tambah Haliza, kekuatan filem itu pada watak yang diberikan kepada pelakon adalah dekat dengan diri mereka. “Pelakon juga nampak bersahaja dan tidak seperti berlakon dalam filem. Selain itu, jalan cerita filem ini sentiasa ada kejutan dan saya percaya penonton pasti tidak akan meninggalkan tempat duduk mereka kerana ingin mengetahui cerita ini selanjutnya,” katanya Mengenai perkembangan filem itu setakat ini, Haliza berkata, penggambaran filem arahan Din CJ yang membabitkan bajet sebanyak RM1.1juta itu sudah selesai pada 18 Ogos lalu.

“Filem ini dalam proses suntingan akhir dan saya akan buat pengelasan warna filem ini di Bangkok tidak lama lagi. Saya juga akan buat tayangan perdana filem ini pada September nanti membabitkan kerjasama dengan badan kebajikan yang belum diputuskan lagi. “Dari segi sasaran pula, saya menjangkakan ia mencatat kutipan sebanyak RM3 hingga RM... juta apabila menjengah pawagam tempatan seluruh tanah air pada Mac tahun depan,” katanya.

Profil Berkaitan

 Abang 92    Mr. Cinderella 2    Mohd Mahyidin Mustakim    Haliza Misbun    Din CJ    Erra Fazira    Fahrin Ahmad    Azhar Sulaiman    Azizi Chunk     Maimon Mutalib  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD