Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

19 November 2007 : Berita Harian

Imej Kabur Jejas Orang Minyak

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Fokus kamera tak jelas ganggu tumpuan penonton

SELEPAS 10 minit menonton filem arahan bersama Jamal Maarif dan CK Karan (yang juga penerbitnya), kaki terasa ingin sekali melangkah keluar panggung, walaupun pada mulanya penulis cukup teruja kerana sudah sekian lama subjek orang minyak tidak diangkat ke layar lebar.

Selama ini, Sumpah Orang Minyak oleh Tan Sri P Ramlee sajalah yang kuat melekat dalam ingatan. Sayangnya, Orang Minyak versi 2007 ini penuh dengan masalah teknikal, kelonggaran cerita, suntingan tidak kemas dan kesinambungan yang memang boleh dipersoalkan.

Banyak sekali babaknya diganggu masalah fokus kamera. Lantaran, imej yang kabur sering saja kelihatan di skrin sehingga mengacau penghayatan penonton. Memang, bak kata pengarahnya, bentuknya masih kelihatan dan bukan kabur sepenuhnya. Tetapi jika fokus sering dituju kepada lantai, dinding, langsir, daun, pokok, pagar, katil dan sebagainya, bukan kepada pelakon yang sedang menuturkan kata-kata, maka bagaimana kita hendak menikmati ceritanya?

Pada sesetengah babak pula, fokus kamera ialah kepada pelakon tempelan yang berada beberapa meter di belakang. Eh, yang ini teknik terbaru dalam industri perfileman ke?

Jika sekali dua masalah kamera hilang fokus berlaku, memang penonton boleh maafkan. Maklumlah, masalah sebegitu bukannya asing dalam filem tempatan. Sebaliknya, jika dari awal hingga akhir masalah yang sama berulang-ulang, Orang Minyak nyata sekali berhadapan dengan masalah besar.

Skripnya juga agak longgar, sehinggakan genre ceritanya sendiri menjadi sukar untuk ditentukan. Jika dilihat judulnya, ia sebuah filem seram. Namun apabila menontonnya, elemen komedi juga banyak diselitkan. Rupa-rupanya filem ini cuba dijadikan sebuah filem komedi seram. Begitupun, ia kelihatan sedikit melalut apabila beberapa sub plot yang dirasakan tidak perlu, turut dimasukkan.

Umpamanya, pada ketika penonton ingin melihat apa berlaku kepada penduduk kampung yang berhadapan dengan orang minyak, ada pula kes cina buta. Begitu juga beberapa babak yang tidak penting, seharusnya dicantas saja bagi mempercepatkan perjalanan cerita. Babak yang membabitkan pelakon Sathiya contohnya, tidak nampak pun kepentingannya.

Unsur realisme dalam filem ini juga boleh dipersoalkan. Mana tidaknya, apabila isteri ketua kampung dan anak perempuannya kelihatan sama baya. Rambut ibunya juga diwarnakan, siap dengan �highlight� sekali. Langsung tidak mencirikan wanita desa. Sementara itu, rambut palsu dipakai oleh Fizz Fairuz lebih sesuai digayakan oleh artis wanita untuk sesi fotografi raya, bukan pesilat yang berbadan sasa.

Manakala hampir kesemua watak lelaki, kecuali Munir, digambarkan sebagai manusia gatal, termasuk tok imam. Kata Loloq, kebanyakan lelaki memang bersifat gatal. Masalahnya, gatal yang ditonjolkan itu biarlah bertempat.

Suntingan oleh Elson pula bukanlah hasil yang boleh dibanggakan. Walaupun dia ingin menimbulkan unsur suspen dengan menyunting cerita itu secara imbas kembali, tetapi masih banyak kelemahannya. Ia tidak dilakukan dengan kemas, sehingga kadang kala seperti melompat-lompat. Pada satu ketika, babak Munir (Fizz) menangkap orang minyak diulang sampai dua kali. Apakah hanya kerana ingin menunjukkan kehebatan kesan khas, penonton dipaksa menyaksikan adegan itu beberapa kali? Penatlah!

Lebih memburukkan keadaan, gerak bibir pelakon tidak sama dengan dialog yang didengar. Ada masanya pula, kedengaran dialog dipertuturkan, tetapi mulut pelakonnya tertutup rapat (perhatikan babak wanita dan suaminya melawat seorang daripada mangsa orang minyak).

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada tiga pelakon utama, Fizz, Fauzi Nawawi dan Sharifah Sofea, yang sedikit sebanyak memberikan suntikan lakonan baik buat filem ini. Sidek Hussin juga tidak menghampakan. Hendak diharapkan pelakon tambahan? Lupakan saja.

Set Orang Minyak juga agak menarik, dengan rumah kampung yang berseni serta sawah padi yang menghijau. Selebihnya, tiada apa yang boleh dibanggakan menerusi filem terbitan Infohibur Productions ini.

 

Profil Berkaitan

 Orang Minyak  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD