Oleh Norhayati Nordin
Kini, semua itu sudah berubah sejak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menguatkuasakan Skim Wajib Tayang 2005.Mengikut skim itu, pengeluar filem tanah air dikehendaki menghantar permohonan untuk kelulusan penayangan di pawagam beberapa bulan lebih awal sebelum tarikh dimohon. Ini bagi memastikan sama ada tarikh itu masih kosong atau sudah diisi.
Sistem yang lebih teratur ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengeluar filem memohon tarikh tayangan diinginkan. Bahkan, dengan konsep 'siapa cepat, dia dapat' setiap permohonan dihantar perlulah mematuhi peraturan ditetapkan.Justeru, sempena sambutan Aidilfitri pada September ini, sebanyak dua filem akan berentap di panggung iaitu Jin Notti yang mengetengahkan genre komedi fantasi dan seram menerusi Momok The Movie. Mana satukah agaknya menjadi pilihan penonton?
Apa yang pasti Skim Wajib Tayang diselia Finas sudah melaksanakan tanggungjawabnya. Kini, terpulang kepada penonton tanah air membuat pilihan filem yang disukai. Mengambil kira soal ini, hanya penonton saja yang tahu apa sebenarnya pilihan mereka.Sehubungan itu, ikuti temu bual wartawan Harian Metro, Norhayati Nordin (yati@hmetro.com.my) bersama Penolong Pengarah Intensif, Bahagian Modal & Intensif Finas, Subaidah Md Top mengenai pemilihan dan penilaian filem yang dilakukan Skim Wajib Tayang.
SOALAN (S): Berapakah produksi yang membuat permohonan tayangan filem sempena Aidilfitri ini?
JAWAPAN (J): Apa yang saya tahu, hanya dua filem saja iaitu Jin Notti terbitan KRU Studios dan Momok The Movie (Galaksi Seni Sdn Bhd) yang menghantar permohonan untuk penayangan filem mereka pada 20 September ini sempena sambutan Aidilfitri.Memandangkan tarikh itu kosong dan permohonan yang dihantar juga menepati syarat ditetapkan, maka kami di Skim Wajib Tayang tiada masalah untuk memberikan kelulusan. Ditambah lagi, pihak pawagam turut bersetuju untuk menayangkannya.
(S): Apa yang menariknya filem Momok The Movie dan Jin Notti yang menjadi pilihan?
(J): Dalam soal ini, kami di Skim Wajib Tayang tidak meletakkan sebarang kriteria sama ada filem itu menarik atau bagus untuk ditayangkan. Sebaliknya, seperti saya katakan, ia bergantung pada permohonan diterima daripada pihak produksi terbabit.Pada kami, asalkan permohonan untuk tayangan itu lengkap mengikut syarat ditetapkan, sudah pasti akan dinilai oleh panel dari Finas dan wakil pawagam. Jika semua pihak bersetuju dan tarikh yang dimohon itu masih belum diisi, kami luluskan saja.
(S) Berapa lamakah tempoh masa diambil sebelum kelulusan diberi?
(J): Selewat-lewatnya, kami akan maklumkan permohonan itu lulus atau tidak kepada pihak produksi dalam tempoh sebulan. Ini kerana kami di Skim Wajib Tayang mengguna pakai konsep 'siapa cepat, dia dapat'. Kami menilai berdasarkan permohonan diterima.Malah, setiap filem yang mendapat kelulusan tayangan akan diberi tempoh selama 14 hari (kira-kira dua minggu) untuk penayangan di pawagam. Bagaimanapun, penayangan filem diluluskan itu boleh ditukar dari pawagam bersaiz besar kepada lebih kecil.
Jika bilangan penonton kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tempat duduk dalam pawagam itu selepas empat hari pertama tayangan berturut-turut atau jumlah penonton tidak kurang daripada 15 peratus daripada bilangan tempat duduk dalam pawagam selepas tiga hari pertama tayangan. Selain itu, sekiranya bilangan penonton kurang daripada 15 peratus, pihak pawagam bolehlah atas budi bicaranya menarik balik penayangan filem diluluskan itu dengan mengemukakan satu laporan mengenai sebarang pertukaran yang mahu dibuat.
(S) Bagaimana dengan peningkatan permohonan tayangan filem setiap tahun?
(J): Boleh dikatakan setiap tahun permohonannya meningkat. Namun, ia tetap bergantung pada tarikh tayangan yang diminta. Sekiranya semua tarikh yang ada sudah diisi, maka pihak produksi perlu mengemukakan permohonan baru untuk tahun depan.
Apa yang pasti, pada 2009 ini kira-kira 28 filem meliputi beberapa genre seperti seram, komedi, aksi dan romantik menemui penonton di pawagam tempatan. Bermula dari 15 Januari lalu hingga 24 Disember ini, ingin dijelaskan tarikh penayangan sudah diisi.
(S) Berapa filem menunggu tayangan selepas ini?
(J): Jika mengikut jadual Skim Wajib Tayang, selepas Jin Notti dan Momok The Movie , akan menyusul filem Papadom arahan Afdlin Shauki pada 8 Oktober ini. Diikuti, Lembing Awang Pulang Ke Dayang (22 Oktober), Pisau Cukur (5 November) dan Senario The Movie Episod 2: Beach Boy (19 November).
Tidak terkecuali, filem Jalang pada 26 November. Bagaimanapun, tayangan empat lagi filem pada Disember tidak dapat saya maklumkan buat masa ini. Ia berikutan, pada 11 September ini akan dilakukan penilaian untuk permohonan filem terbabit.
(S) Apakah peraturan atau syarat yang diguna pakai Skim Wajib Tayang?
(J) Yang pasti, borang permohonan lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada Finas dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh tayang dimohon (dua bulan bagi pengeluar filem dan sebulan untuk pihak pawagam). Malah, harus disertakan beberapa salinan penting.
Antaranya salinan lesen pengeluaran filem Finas, salinan Sijil Penggambaran Filem (SPP), salinan sijil kelulusan filem yang diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF), salinan filem bagi tujuan pratonton kepada ahli jawatankuasa (AJK) Skim Wajib Tayang, anggaran kos penerbitan filem, senarai pawagam yang dipilih, sinopsis filem, senarai nama pelakon, pengarah, jurukamera dan penyunting filem serta poster filem.
(S) Pandangan anda mengenai filem tempatan?
(J): Selepas Finas menguat kuasa Skim Wajib Tayang pada 23 Jun 2005, tidak dinafikan ia memberi kesan yang baik. Bahkan, skim ini pun diwujudkan bertujuan untuk menerima dan mempertimbangkan mana-mana filem tempatan atau filem usaha sama untuk tayangan secara wajib di pawagam tanah air.
Justeru, apa yang saya lihat perkembangan industri perfileman tempatan kini semakin bagus. Malah, jumlah filem yang memohon untuk tayangan juga meningkat. Oleh itu, ini satu perkembangan yang sihat dan sewajarnya mendapat sokongan ramai.
(S) Genre filem macam mana yang menarik perhatian penonton tempatan?
(J): Pada pandangan saya, sejak Januari lalu hingga Disember ini, daripada 28 filem tempatan yang ditayang dan akan memasuki pawagam hujung tahun ini didominasi genre seram antaranya Maut, Rasukan Ablasa, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Skrip 7707.
Bagaimanapun, genre lain seperti komedi romantik dan aksi juga tidak menghampakan. Secara tidak langsung, menunjukkan golongan penonton tempatan sekarang menerima genre filem yang pelbagai untuk ditonton. Asalkan, ia kena pada cita rasa.
KRU Studios Sdn. Bhd.
Galaksi Seni Sdn. Bhd.
Momok The Movie
Jin Notti
Lembing Awang Pulang Ke Dayang
Papadom
Pisau Cukur
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys
Jalang
Rasukan Ablasa
Maut
Jangan Tegur
Jangan Pandang Belakang Congkak
Skrip 7707
Afdlin Shauki
Artikel Terkini