![]() |
Nas-T |
INI adalah lelaki dengan wajah yang mempunyai aura ‘bad boy’. Dengan riak rupa begitu, Nas-T mula bergerak dengan bakat lakonan melalui filem Goodbye Boys dan semakin dikenali sebaik sahaja membawa watak Abu dalam siri televisyen dan filem Kami. Dia membawakan nafas hitam yang selesa dilihat penonton, malah ramai yang semakin suka akan pembawaan lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini.
Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin sudah terbiasa dengan watak sebegitu. Jejaka yang pernah menjadi deejay kumpulan Dragon Red ini mula bereksplorasi dengan drama-drama yang membawanya ke dimensi yang bervariasi. “Saya diberikan watak yang cukup hitam untuk watak Ramon. Ini yang saya cari. Malah, Ramon itu sendiri cukup kaya dengan karakter. Dia playboy, baik. psiko dan obsesif,” ujar lelaki yang pernah mendaftarkan diri sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) ini.
Drama Waris disiarkan di TV2 pada pukul 10 malam, setiap Selasa, bermula 3 November lalu tetap memberikan warna hitam dalam penyampaian lakonan Nas-T. Menerusi watak antagonis yang diberikan buat pelakon muda ini tetapi pada genre drama yang berbeza, serta berganding tenaga lakonan dengan Zahiril Adzim, Rusdi Ramli dan Linda Hashim, naskhah ini membawa udara misteri dalam lakonannya.
Selain Waris, Nas-T juga kembali dengan Blogger Boy musim kedua yang sememangnya sudah ada peminat setia. Watak Kid mencuit rasa dan kadangkala memberikan aura geram apabila melihatkan dirinya yang bersahaja. Memakai singlet dan berseluar pendek, Nas-T terus menyampaikan nilai persahabatan dan ragam anak kota dalam drama 20 episod yang bermula 12 November lalu setiap pukul 9.30 malam.
“Untuk musim kedua, Kid sudah tidak hanya bersinglet. Ada yang memberi kritikan watak Kid tidak menutup aurat, jadi musim kedua penonton akan melihat Kid yang lebih terurus,” ujarnya. Selain sibuk memadatkan jadual dengan tugasan berlakon, Nas-T tetap memastikan perjalanan band yang dianggotainya, Kugiran Malaya berterusan meniti hayat. Dalam proses mengumpul material untuk kumpulan tersebut, buat permulaan, lagu Setia dendangan mereka akan dimasukkan dalam siri Blogger Boy.
Sedang mencintai dunia lakonan yang memberi tiga cabang seni buat dirinya, Nas-T membawakan tugasan pelakon, model dan deejay dalam jadual yang tersusun rapi hasil kendalian dirinya. Sudah mula laju bergelar anak seni, satu hal yang dipegang oleh pemuda pengumpul kasut ini adalah belajar untuk mengawal semua perkara dalam hidupnya. Antaranya penyebaran gambar dia memegang seekor anjing.
“Saya tahu orang sudah mengambil gambar-gambar saya dan meletakkannya di Internet. Saya sudah jangka dan bersedia sejak hari pertama. Tidak ada apa yang perlu saya rahsiakan. Itulah saya yang sebenar. Tetapi ada banyak hati yang perlu saya jaga,” ujarnya soal pecahan privasi dirinya. Teruja dengan sambutan peminat terhadap filem Pisau Cukur, lakonan layar lebar keduanya, Nas-T menganggap membawakan watak homoseksual adalah satu cabaran baru buatnya. Kini dia kembali sibuk dengan penggambaran telefilem Panik keluaran Grand Brilliance Sdn. Bhd.
Nas-T
Zahiril Adzim
Rusdi Ramli
Pisau Cukur
Goodbye Boys
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Artikel Terkini