TEMPAT jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Barangkali itulah yang dirasakan seniwati Latifah Omar yang sesekali terbit rasa rindunya untuk beraksi di depan kamera sebagai anak wayang. Pelakon yang terkenal dengan tahi lalat di tepi bibirnya itu meninggalkan dunia lakonan ketika namanya sedang berada di kemuncak kerana memikirkan masa depan dan kebajikan empat orang anaknya yang memerlukan perhatian.
“Ketika mengambil keputusan untuk berhenti berlakon, hati saya memang berbelah lagi. Apatah lagi waktu itu saya baru berusia 28 tahun, kerjaya pula sedang berada di puncak, tetapi saya kena juga ucapkan selamat tinggal kerana mahu membesarkan anak-anak dengan sepenuh perhatian. “Sejak berhenti berlakon, ada juga tawaran yang saya terima. Sehingga kini pun masih ada yang panggil berlakon, tetapi saya terpaksa menolak kerana hati saya sudah tertutup untuk kembali berlakon,” katanya ketika dikunjungi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), baru-baru ini.
Pelakon filem Panggilan Pulau yang kini berusia 72 tahun itu menghidap pelbagai penyakit antaranya kencing manis, ulser dalam perut dan sakit sendi. Beliau yang kini menginap di rumah anak bongsunya, Hashimah Khairuddin, 25, baru saja keluar hospital setelah keluar masuk sejak Disember lalu. Semakin beransur pulih, Latifah terharu menerima kunjungan Seniman. Selepas menghabiskan kira-kira setengah jam di kediaman primadona filem Melayu itu, kunjungan di panjangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menziarah pelakon Kamal Pendek, 58, yang menderita sakit tulang belakang.
Masih belum dapat bergerak, sakit tulang belakang itu berpunca setelah dia terjatuh 10 tahun lalu. Manakala empat tahun yang lalu pula, dia jatuh sekali lagi namun kesannya baru dirasai sekarang. “Besi sepanjang enam inci dimasukkan ke tulang belakang saya kesan jatuh. Saya sudah berada dalam wad sejak dua minggu lalu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi. Berkemungkinan saya akan berada lebih lama lagi di wad kerana keadaan saya masih lagi belum pulih,” katanya.
Kunjungan kemudiannya diteruskan ke destinasi ketiga yang juga terakhir iaitu rumah pelakon serba boleh M Rajoli, 64, yang menderita penyakit kanser kelenjar sejak tiga tahun lalu. Kami menuju ke rumah isteri keduanya, Wan Chik Daud di Lembah Keramat, tetapi rumah beliau kosong. Seniman cuba menghubungi Wan Chik bagaimanapun, beliau memaklumkan berada di rumah anaknya di Kota Damansara, sementara suaminya berada di bawah jagaan madunya, Hashimah Mohd Din, 54. Mujur kediaman isteri pertama M Rajoli tidak jauh, rombongan kemudian beralih ke kediaman Hashimah.
Ketika kunjungan Seniman tiba di rumah M Rajoli, pelakon yang sering membawakan watak orang alim dan lelaki miang itu sedang tidur. Menurut isterinya, sejak akhir-akhir ini M Rajoli sering tidur hingga tidak sedar, biarpun berkali-kali dikejut. Katanya, rawatan kimoterapi yang dijalani suaminya berjaya menghapuskan kanser yang terdapat dalam tubuh pelakon itu, bagaimanapun ia meninggalkan kesan tidak baik apabila saraf tubuhnya rosak hingga pelakon itu tidak mampu bangun. Dia hanya mampu terbaring dan mengharapkan kudrat isteri dan anak-anak.
“Sekarang ini dia memang bergantung kepada kami 100 peratus. Makan minum disuapkan, mandi juga diuruskan oleh anak-anak dan dia juga sekarang lebih banyak tidur. Kalau dulu ada juga dia menonton televisyen tetapi sekarang dia mengadu sering penat. Dia hanya boleh mengenal ahli keluarga yang rapat, ‘uncle’ masih boleh bercakap, tetapi ingatan dia tidak seperti dulu lagi,” kata Hashimah yang kini menjaga suaminya itu. Sejak memegang tampuk pimpinan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Disember lalu, beberapa perkara sudah berjaya dilaksanakan Presidennya, Harun Salim Bachik, antaranya melaksanakan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan skim insurans yang dipanggil SeniCare.
Mengunjungi ahlinya yang uzur baru-baru ini adalah antara kerja kebajikan yang dilakukan persatuan itu. Menghabiskan masa selama sehari suntuk bermula dari jam 10.30 pagi, Harun bersama anggotanya yang lain seperti Timbalan Presidennya, Shahriza Mahmud; Bendahari merangkap Pengerusi Biro Kebajikan Seniman, Wafa Abdul Kadir; Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan, Rena Tan; Penasihat Undang-Undang Seniman, Ghazali Datuk Hamid; Ahli Jawatankuasa Kecil Biro Keahlian, Zazly Majid, Adira Wahinnur dan Saddiq Raffali berkonvoi menziarah Latifah Omar, M Rajoli dan Kamal Pendek.
Lawatan mengejut itu diadakan sebagai tanda keprihatinan Seniman kepada ahlinya yang tidak bernasib baik. Pada lawatan itu juga, Seniman turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan sedikit beban ahli keluarga mereka, Harun berkata, Seniman akan mengadakan kunjungan lebih kerap ke rumah ahli Seniman yang sedang uzur sebulan sekali atau dua bulan sekali. Selain itu, mereka juga akan mengadakan lawatan susulan bagi menunjukkan komitmen mereka kepada projek ini.
Pada sesi konvoi itu, Harun sempat memberitahu Seniman bakal menerbitkan sebuah program nostalgia yang akan menyingkap kembali nostalgia peminat kepada bintang veteran. Program sebanyak 13 episod itu akan mengetengahkan nama-nama seperti Latifah Omar, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Mat Sentul, Wahid Satay, Momok Latif, Mariani Ismail, Datin Rosnani Jamil, Datin Umi Kalsom, Salmah Ahmad, R Ismail dan Kassim Masdor.
Latifah Omar
M.Rajoli
Shahriza Mahmud
Wafa
Rena Tan
Ahmad Nawab (Datuk)
Sarimah
Dato' Maria Menado
Mat Sentol
Wahid Satay
Mariani
Datin Hajah Rosnani Jamil
Salmah Ahmad
R.Ismail
Kassim Masdor
Artikel Terkini