PENGGIAT filem tempatan disaran lebih kreatif dalam menggarap karya filem dengan menjadikan konsep 1Malaysia sebagai identiti filem kita. Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Mohammed Mohd Daud, berkata filem nasional seharusnya mengangkat realiti kepelbagaian budaya dan keunikan negara seperti digagaskan kerajaan menerusi konsep 1Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya mewakili Menteri PKK, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, pada majlis pelancaran program Malam Bersama Bintang (MBB) dan perasmian Kafe Lagenda di Finas, baru-baru ini. "Antara filem yang mempunyai elemen itu adalah Papadom, Talentime dan Estet yang berjaya memaparkan kehidupan masyarakat negara ini yang harmoni dan bersatu padu.
"Bagi menghasilkan filem yang bermutu, skrip dan tema penceritaan amat penting untuk diberi perhatian. Berdasarkan pengalaman Finas yang pernah menyertai pasaran filem antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Perancis dan Hong Kong, produk filem cereka, dokumentari dan animasi mendapat perhatian dan sambutan yang menggalakkan. Ini sekali gus membuktikan produk negara bertaraf antarabangsa," katanya.
Program bulanan MBB anjuran Finas akan diadakan setiap Jumaat minggu kedua setiap bulan. Program berkonsepkan santai ini diisi dengan tayangan filem tempatan, sesi ramah mesra bersama artis, persembahan dan gerai jualan. "Langkah Finas mengadakan program ini adalah bertepatan dengan hasrat kementerian untuk mewujudkan lebih banyak pusat kesenian atau lokasi kebudayaan bagi memudahkan warga kota meluangkan masa bersama keluarga," katanya.
Ketua Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim berkata, MBB dianjurkan untuk menjadikan Finas sebagai pusat pertemuan penggiat filem bersama peminat berkumpul.
"Ia adalah strategi jangka panjang Finas untuk menarik orang ramai menyokong dan menonton filem tempatan. Idea ini sebenarnya sudah lama difikirkan yang bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian setempat
"Ia diadakan di Dataran Finas setiap Jumaat minggu kedua setiap bulan. Jika sambutan menggalakkan, kita akan cuba untuk menganjurkan sebulan dua kali. "MBB memberi peluang kepada pengunjung untuk menonton filem tempatan terbaru secara percuma sambil boleh menikmati juadah yang disediakan seperti nasi lemak, teh tarik, pasembor dan macam-macam lagi.
"Finas juga bersedia bekerjasama dengan persatuan filem dan penggiat filem untuk bersama menjayakan program ini dengan segala kemudahan yang akan disediakan oleh Finas," katanya. Hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hong, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Maria Menado, presiden persatuan seni dan ramai lagi termasuk artis generasi baru.
Papadom
Talentime
Estet
Jins Shamsudin
Datuk Aziz Sattar
Dato' Mustapha Maarof
Dato' Maria Menado