Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
![]() |
ERMA Fatima mencipta kejayaan besar dalam ASK2009 menerusi drama Tersasar Di Jalanmu. |
"SAYA datang ke sini (Anugerah Skrin 2009) dengan harapan untuk menang kerana drama ini khas saya tujukan kepada warga Lorong Haji Taib. "Tersasar Di Jalanmu lebih kepada garapan nilai kemanusiaan. Saya sendiri melihat bagaimana kanak-kanak di sana dibesarkan. Meski membesar di lorong berkenaan, tidak siapa tahu bahawa mereka sebenarnya punyai impian cukup tinggi untuk membangunkan Lorong Haji Taib seperti Menara Berkembar KLCC.'' Itu luahan pengarah tersohor, Erma Fatima saat menceritakan kemenangan membanggakan yang ditempahnya menerusi Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu.
Ujar Erma, diterbitkan oleh Rumah Karya Citra Sdn. Bhd., Tersasar Di Jalanmu adalah hasil cetusan ideanya yang turut bertindak selaku penulis skrip. "Judul asal Tersasar Di Jalanmu adalah Lorong Neraka. Ia terpaksa ditukar kerana judul tersebut terlalu 'keras'. "Alhamdulillah, sepanjang penggambaran, saya tidak menghadapi sebarang masalah. Semua yang ada di Lorong Haji Taib memberikan kerjasama yang cukup baik. "Baik penagih mahupun gangster, semuanya saya jumpa dan berkawan untuk membantu penggambaran,'' katanya. Dalam ASK2009, Tersasar Di Jalanmu mengungguli kategori Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama (Erma Fatima), Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail) dan Lakon TV Terbaik (Erma Fatima).
Membanggakan, ia juga menerima anugerah Videografi Terbaik, kategori yang pertama kali diperkenalkan menerusi ASK. Tersasar Di Jalanmu juga memperlihatkan betapa sentuhan Erma masih menyengat manakala kemenangan Rosnah Mat Aris pula membuktikan dia pelakon versatil. Berpuluh tahun bergelar pelakon, Rosnah berjaya mengenepikan calon-calon lain dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama iaitu Norlia Ghani (Al Kiswah); Noorkhiriah Shapie (Terlerai Takbir Kasih); Kartina Aziz (Mama Nenek) dan Zarina Zainuddin (Becha Usang). Begitu juga kepada Norish. Walaupun tidak begitu dikenali, kejayaan yang ditempah pastinya manis untuk dikenang. Ini kerana, dalam kategori yang dimenanginya, Norish menewaskan Lisdawati yang disebut-sebut bakal mengungguli kategori berkenaan menerusi drama Terlerai Takbir Kasih.
Selain Lisdawati, lain-lain calon adalah Sheila Mambo (Tak Serupa Tapi Sama); Erin Malek (Mama Nenek) dan Nurul Akmar (Jalan Pintas Ke Neraka). Mengulas lanjut, Erma berkata, bagi mendapatkan hasil yang memuaskan, Tersasar Di Jalanmu tidak terlepas daripada menuntut wang sakunya sendiri untuk dikeluarkan bagi perbelanjaan menyewa kren dan lampu tambahan. "Dahulu pun saya pernah menghasilkan drama di Lorong Haji Taib yang berjudul Neraka Cinta. "Orang luar melihat Lorong Haji Taib sebagai lorong yang bergelumang dengan konflik sosial tetapi di dalamnya juga ada unsur-unsur kemanusiaan. "Mereka juga ada perasaan,'' katanya yang bercita-cita untuk menerbitkan drama berjudul Natrah.
Impian membawa Natrah ke layar kaca terdetik selepas teater Natrah yang diarahkannya dan masih dipentaskan di Istana Budaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Sementara itu, bagi Norish pula, kejayaan yang digenggam sedikit sebanyak memberinya ruang untuk terus aktif berlakon. "Tapi, semuanya bergantung kepada izin suami dan ahli keluarga. Sebelum ini, saya banyak memainkan peranan di belakang tabir. Berlakon pun untuk watak-watak kecil sahaja. Selepas berkahwin, saya terus kurangkan berlakon,'' katanya. Menurut Norish, menerusi ASK2009, dia tidak menyangka akan menggenggam trofi kejayaan kerana memikirkan calon-calon lain yang lebih berpengalaman. "Saya masih mentah. Datang ke sini pun sekadar hendak melihat artis dan kemeriahan Anugerah Skrin.
"Syukur kerana bakat saya dipandang dan dinilai untuk menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama,'' tambahnya yang pernah muncul dalam drama Rempit VS Impak Maksima. Berlainan pula bagi Liyana Jasmay. Kejayaannya membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem dalam ASK2009 seakan mengulangi kejayaan yang sama ditempahnya ketika Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM 22), baru-baru ini. Cuma yang membezakan adalah filem yang diwakili Liyana iaitu Kami The Movie untuk ASK2009 dan FFM 22 atas tiket filem Papadom. Apa yang pasti, kejayaan itu membuatkan Liyana kini berkira-kira untuk tampil yang terbaik bagi apa jua karya pada tahun depan. "Setiap kali menang, sudah tentu kita perlu buat yang lagi baik. Ia juga perlu disokong dengan pemilihan karakter dan filem yang baik. "Insya-Allah, pada tahun depan, saya sudah dilamar untuk filem yang terbaik untuk saya di samping penggambaran Papadom 2,'' katanya.
Mengulas mengenai kejayaan pertamanya dalam ASK2009 kata Liyana, ia rezeki Kami The Movie. "Kalau ikutkan siapa pencabar, saya secara jujur amat menyukai lakonan Sabrina Hassan dalam filem Maut. Bagi saya, dia pelakon yang bagus,'' jelasnya. Pada ASK tahun lalu, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar sekadar memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui drama Tuhan Pun Tahu. Kini, Que menambah satu lagi koleksi anugerahnya dalam rentetan sejarah ASK apabila diumumkan sebagai penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama ASK2009. Mengenepikan Fizz Fairuz, Rosdeen Suboh, Fauzi Nawawi dan Jalil Hamid, Que sedari awal lagi sudah menjangka bahawa dirinya akan memenangi kategori berkenaan lantaran memikirkan kerja keras yang ditunjukkannya ketika berlakon dalam drama Terlerai Takbir Kasih.
"Sememangnya ada terdetik dalam hati bahawa saya akan menang. Saya amat bekerja keras untuk watak dalam drama terbabit. "Dalam Terlerai Takbir Kasih, saya masih tidak lupakan dua cabaran yang saya lalui iaitu terpaksa memukul dan memarahi anak yang kecil serta babak bergaduh dengan isteri. "Ketika itu, tatkala memperoleh perasaan marah dalam lakonan, agak sukar saya hendak mengawalnya,'' tegasnya. Kata Que, Terlerai Takbir Kasih juga menyaksikan dia diberikan ruang yang luas untuk bersama melontarkan pendapat. "Kemenangan ini adalah untuk isteri dan anak-anak saya. Ia juga adalah hadiah yang cukup bermakna memandangkan saya bakal mencecah usia 60 tahun pada 17 Januari ini.''
Itu jelas pelakon senior, Ahmad Tamimi Siregar yang diumumkan sebagai penerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama. Kata Ahmad Tamimi, kali terakhir dia menerima anugerah adalah ketika berlangsungnya Anugerah Sri Angkasa pada 1992 untuk kategori sama dalam drama Anak Aishah. "Sebenarnya, saya sendiri tidak sempat hendak menonton Tak Serupa Tapi Sama. Ketika ditayangkan di televisyen, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama lain. "Apa pun, karya Tak Serupa Tapi Sama memiliki jalan cerita dan skrip yang cukup cantik serta menarik,'' jelasnya ringkas. Dalam pada itu, penyanyi popular yang buat pertama kali muncul dalam filem Talentime, Jaclyn Victor pula melihat anugerah yang diterimanya iaitu Anugerah Yasmin Ahmad sebagai satu penghargaan yang amat besar.
Bagaimanapun, Jaclyn yang terkejut dengan penganugerahan tersebut melontarkan persoalan sama ada dirinya layak atau tidak untuk menerimanya. "Saya tidak rasa layak. Saya penyanyi dan bukannya pelakon. Tetapi, apabila saya bertemu dengan Datin Orked Ahmad (adik kepada Allahyarham Yasmin Ahmad), beliau berkata yang saya memang layak untuk anugerah itu. "Beliau juga memberitahu bahawa Yasmin sememangnya mahukan saya terus berlakon,'' katanya dalam nada sebak. Ujar Jaclyn, dirinya tidak kisah untuk meneruskan bidang lakonan seandainya diberikan peluang. Anugerah Yasmin Ahmad diperkenalkan dalam ASK2009 untuk diberikan kepada bakat-bakat baru yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan.
Bagi sutradara ternama, Kabir Bhatia pula, kemenangan Kekasihku Seru menerusi kategori Drama Rantaian Terbaik sedikit sebanyak membuktikan bahawa genre seram sudah mampu memikat khalayak pencinta seni tempatan sehingga diangkat untuk menerima anugerah. Menurutnya, Kekasihku Seru yang berjaya menewaskan Menanti Sinar Menelan Kabus, Front Page, Alam's Story dan Rona Roni Makaroni mempunyai kekuatan tersendiri. "Drama Kekasihku Seru memiliki kekuatan dalam penceritaannya di samping teknik penggambaran yang menarik. "Kejayaan ini cukup membanggakan saya kerana karya seram diterima untuk menerima anugerah. Kini, saya sedang menghasilkan beberapa lagi karya seram antaranya Iblis Gunung Raya selepas Tower 13,'' tambahnya.
Erma Fatima
Rosnah Mat Aris
Norlia Ghani
Noorkhiriah
Kartina Aziz
Zarina Zainuddin
Lis Dawati
Erin Malek
Sheila Mambo
Liyana Jasmay
Sabrina Mohammed Hassan
Que Haidar
Fizz Fairuz
Fauzi Nawawi
Jalil Hamid
Datuk Ahmad Tamimi Siregar
Yasmin Ahmad
Jaclyn Victor
Kabir Bhatia