![]() |
SAAT kami mula berbicara, dengan rendah diri si hitam manis ini berkata: "Saya tak ada cerita baru nak cerita. Dah lama tak masuk lokasi juga." Dia ketawa malu. Malu berdepan dengan media tanpa sebarang material baru.
Tapi kemudian dia berkata semula: "Cuma sekarang tengah tunggu tayangan filem seram pertama saya, Histeria." Dan kerana materi Histeria arahan sutradara yang namanya sudah melata diiktiraf dunia, James Lee itulah saya panggil Ainul Aishah Azizun untuk dipotretkan.
Saya mahu dia bercerita tentang filem seram yang turut menampilkan nama pelakon muda lain seperti Liyana Jasmay, Norliana Samsudin juga Scha. Dan ruangan Portfolio ini bukan sekadar tentang kontroversi semata, tapi menjadi medan untuk anak seni bercerita hal kerjaya.
Sementelah Histeria bakal menampilkan sisi lain Ainul yang sebelum ini terbabit dengan filem berunsur santai dan sangat kekeluargaan seperti Nana Tanjung dan Otai.
"Tanpa pengenalan dalam Nana Tanjung, mungkin saya tidak dapat mengorak langkah dalam bidang ini. Saya banyak belajar menjadi seorang pelakon yang lebih baik dengan peluang yang datang selepas itu.
"Kalau sewaktu pertama kali dulu saya tidak serius dalam beberapa babak saya, sekarang saya semakin menghargai bahawa setiap babak yang dimainkan, biar sekecil mana, ia mesti dilakukan dengan baik kerana itu tanggungjawab seorang pelakon," katanya yang berterima kasih dengan pendedahan yang diberikan.
![]() |
Menerusi filem seram yang penggambarannya dilakukan setahun lalu di sebuah sekolah tinggi di Kajang, Selangor, Ainul membawa karakter pelajar kaki buli bernama Marina.
"Ini bukan sebuah filem seram tipikal. Ia tidak menampilkan hantu, tetapi membikin remang roma dengan adegan-adegan suspennya. Dan juga tak ada jerit pekik ya," katanya tersenyum sambil berkali-kali menyatakan kebahagiaannya dapat bekerja dalam produksi dan bersama pelakon-pelakon hebat.
Ya, perlahan-lahan dia membina nama. Malah hampir separuh khalayak tidak pernah mengenal siapa empunya diri. Ainul hampir tidak dipandang sebelah mata, sedang dia sudah membina profil yang baik dalam industri.
Sebagai seorang model, dia laku dalam bidang komersial ini. Sementara dalam bidang lakonan, anak kedua daripada empat beradik ini juga sudah mula diperhati, diberi ruang untuk mempamerkan kredibiliti.
Hanya kerana dia senang menjadi pelakon baru berhaluan kiri, maka publisiti tidak begitu banyak menjengah diri.
Dia ketawa sambil mengakui memang tidak bijak mempromosi diri. Kerana itu urusan tersebut diberikan kepada pihak pengurusan Line Clear. Hanya diakui, untuk bersaing, dia harus bijak menonjolkan diri. Tetapi katanya lagi, dengan materi, dia berani tampil, tetapi kalau hanya menjadi popular kerana cerita murahan, dia tidak mahu.
"Sebab itu saya agak ketinggalan dari segi publisiti. Tapi saya okey kerana saya nak ikut cara orang lama bekerja. Mereka mendapat publisiti selepas bakat terserlah.
"Kini apa yang saya perlukan hanyalah peluang, ruang dan kepercayaan untuk lebih menumpahkan bakat yang ada. Saya tak kejar apa-apa, yang penting dinilai dan ilmu yang saya timba," katanya panjang lebar.
![]() |
Ditanya peluang yang bagaimana dinanti Ainul, kata gadis petah ini, dia hanya memerlukan ruang untuk menjual bakat. Kerana akuinya, sejak berada dalam industri, dia terasa sedikit terpinggir, sedang hati melonjak untuk melakukan banyak hal.
Namun dia tidak menyalahkan takdir, sebaliknya mengerti kalau ini adalah putaran hidup. Dan dalam beberapa tahun menjadi anak seni, 2008 katanya adalah tahun yang telah membuat dia berasa untuk mengundur diri.
Kata peminat Jude Law ini: "Sebenarnya tahun ini, saya sudah mula diberi ruang oleh media. Tapi saya berasa saya sendiri yang gagal mencapai target yang telah saya letakkan. Saya ingin membawa karakter yang lebih serius, tetapi peluang belum terbuka.
"Dan tahun ini juga saya telah mengatur kerjaya sendiri. Sukar, kerana saya tidak bijak melodi diri. Tapi saya harus lakukan untuk bertahan. Justeru saya mengemas kini profil untuk 2009 dan tidak mahu berdiam diri lagi."
Pencinta seni
Menyelak realiti kehidupannya sebelum bergelar anak seni, Ainul sebenarnya merupakan seorang lulusan dalam bidang kreatif multimedia dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Dan saat saya tanya mengapa mengambil jurusan tersebut jika tidak mahu mempraktikkannya, kata gadis berusia 23 tahun ini, sejak dahulu jiwanya memang telah terpaut pada bidang seni.
Sementara selaku anak, dia mempunyai tanggungjawab untuk menurut kemahuan ibu bapanya yang mahukan dia mempunyai sebuah kerjaya bersifat profesional dan korporat.
"Tapi saya yakin satu masa nanti saya akan mempraktikkan kebolehan dalam bidang multimedia. Hanya sekarang, saya mahu menjadi seorang anak seni," katanya optimis.
Dia juga kemudian memberitahu kalau bakat seni yang ada dalam dirinya sekarang datang daripada ibu dan bapanya yang juga meminati seni. Justeru kerana memahami keinginannya juga, kedua ibu bapanya membiarkan anak gadisnya terbang sendirian mencari haluan yang disukainya dalam bidang ini.
![]() |
Biar masih kurang stabil dalam dunia lakonan, dia tidak mahu ketinggalan untuk menumpahkan bakatnya yang satu lagi - menyanyi.
Ya, katanya, malah sejak sebelum menjadi pelakon, dia bercita-cita menjadi penyanyi. Hanya rezeki berlakon datang dahulu, dia tidak mahu melepaskan peluang.
Remaja biasa
Ainul tidak cuba berselindung tentang kehidupannya sebagai gadis biasa. Sesekali berpergian dan bersosial bersama teman-teman menjadi salah satu agendanya satu ketika dahulu. Hanya kini dia lebih gemar berada di rumah kerana berasa sudah bosan dengan kitaran hidup yang sama.
Di luar bidang kerjaya juga, dia gemar berfesyen. Cintanya pada fesyen mula terbit pada usia 17 tahun selepas merasakan dengan fesyen, seseorang boleh mengekspresi diri selain menjadi cermin kepada penampilan.
Dan selaku gadis biasa, dia juga tidak terlepas daripada dunia cinta. "Baru nak masuk dua tahun perkenalan kami.
"Kerana masing-masing berada dalam industri yang sama, kita tidak pernah menyekat perjalanan karier masing-masing," katanya yang berpacaran dengan pemain bass kumpulan Couple.
Ditanya betapa serius untuk melangkah ke jenjang pelamin, dalam nada malu kata Ainul, setiap perhubungan harus serius. Namun tidak perlu diberatkan sehingga membuat kedua-duanya tertekan. Sementelah dia juga tidak dapat membayangkan bakal menjadi isteri orang pada usia muda.
"Selepas usia 27 atau 28 tahun okeylah kot. Sudah stabil dari segi emosi dan kehidupan," katanya ringkas.
Artikel Terkini