![]() |
| VEE bersama anugerah Oskar yang dimenanginya tempoh hari. |
Vanidah Imran bersyukur apabila diangkat sebagai Aktres Pilihan Juri Anugerah Oskar
FILEM Akhirat yang dibintanginya mungkin tidak secemerlang filem The Red Kebaya yang berjaya menobatkannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke -20 yang berlangsung di Pulau Pinang tahun lalu.
Malah, sewaktu Festival Filem Malaysia ke 21 yang lalu, Vanida Imran gagal mempertahankan anugerah yang dimenanginya itu apabila tewas di tangan Maya Karin yang menunjukkan lakonan mantap menerusi filem Anak Halal.
Mungkin kekalahan itu sedikit mengecewakan Vanida atau lebih akrab di sapa Vee yang juga menunjukkan lakonan yang mengesankan sebagai Nurin Amira, seorang pesakit AIDS. Mana tidaknya, bukan mudah untuk membawakan watak itu.
Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan Vee antaranya dia perlu mengurangkan berat badannya supaya wajahnya nampak lebih cengkung sekali gus menampakkan ciri-ciri sebenar seorang pesakit AIDS. Itulah kesungguhan serta komitmen Vee demi filem Akhirat.
Bagaimanapun, doa Vee bagaikan terjawab apabila masih ada pihak yang memandang kesungguhannya itu apabila watak Nurin Amira diangkat sebagai Aktres Pilihan Juri sewaktu Anugerah Oskar yang berlangsung di Hotel Nikko malam Sabtu lalu.
“Saya memang tak sangka langsung yang saya akan menang pada malam itu. Apapun, saya bersyukur kerana akhirnya ada pihak yang memandang usaha saya membawakan watak pesakit AIDS. Dan dengan kemenangan ini sekurang-kurangnya memberikan kegembiraan kepada mereka yang selama ini banyak membantu saya untuk menghidupkan lagi watak Nurin Amira itu,” ujar Vee yang ditemui Hip baru-baru ini.
Turut menemaninya di sisi adalah suaminya, pelakon Rashidi Ishak.
Mengakui menerima khabar gembira itu dari sahabatnya, Bill Bora, Vee berkata kegagalannya untuk menghadiri acara itu bukanlah disengajakan.
“Kebetulan saya terbabit dengan acara promosi susu Dumex di Sabah pada masa itu. Lagipun ia sudah dipersetujui awal. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit termasuk di belakang tabir pembikinan filem ini,” kata pelakon jelita ini sambil menggenggam erat trofi di tangannya.
Walaupun kemenangan itu diiktiraf namun ada juga cakap-cakap belakang yang mengatakan kemenangan Vee itu boleh dipertikaikan kerana pengarah filem Akhirat, Syed Mohamed Hassan Benyahya , juga adalah presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia yang menjadi penganjur utama kepada Anugerah Oskar.
Walaupun pada permulaannya, Vee enggan mengulas lanjut perkara itu kerana bimbang akan disalah tafsirkan pelbagai pihak, namun katanya pertikaian itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau kita lihat anugerah ini sendiri dipilih oleh juri dan kebanyakan juri itu adalah yang bertauliah serta diiktiraf kerana mereka terdiri dari pelbagai latar dan bidang. Jadi, saya rasa tidak timbul isu seperti itu di sini,” balasnya tenang.
Sementara itu, pasangan suami isteri ini akan mewakili Hotel Istana untuk acara amal Celebrity Chocolate Cake Sales For Children yang akan berlangsung di Concourse Area, Great Eastern Mall, Jalan Ampang Sabtu ini. Pada acara itu, Vee dan Shidi akan menjual kek coklat hasil masakan Chef Kumaran Arumugam yang berharga RM15 ringgit sepotong.
“Di situ nanti mana-mana peminat yang ingin bergambar dengan kami bolehlah membeli kek itu. Jadi kata orang sambil bergambar, mereka juga boleh beramal kerana hasil kutipan jualan kek itu nanti akan digunakan untuk membantu kanak-kanak yang malang,” ujar Vee yang mengakui cukup handal membuat kek coklat.
Ditanya apakah strategi yang akan dilakukan untuk membuatkan kek coklatnya itu habis dijual, Vee berkata perkara itu masih belum difikirkan lagi.
“Biasanya bila sudah tiba harinya barulah idea itu akan datang secara spontan. Jadi saya harap, mana-mana peminat yang ingin bertemu kami, datanglah pada hari itu. Bukan saja kami, malah ada ramai selebriti lain yang turut berada di situ bagi memeriahkan acara berkenaan,”ujar Vee.
Selain Vee dan suami, turut menjayakan acara itu ialah Fauziah Latiff dan Ning Baizura mewakili Hotel Mandarin Oriental; Eja dan Fahrin (Crowne Plaza); Tony Eusoff, Cheryl Samad dan Jehan Miskin (Renaissance Hotel) serta Amber Chia dan Marion Caunter (Le’Meridien Hotel)