Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

09 Disember 2009 : Harian Metro

Gandingan Harun, AC Daya Penarik My Spy

Oleh Elrafaei Sapi

Biarpun Afdlin pernah mengarah beberapa filem terdahulu seperti Buli (2004), Baik Punya Cilok (2005), Buli Balik (2006), Sumo-Lah (2007) dan Los Dan Faun, tahun lalu, Papadom meninggalkan kenangan manis dalam pencapaian karier seninya.

Selepas kejayaan Papadom, Afdlin meneruskan komitmen mengarah filem baru, My Spy. Filem terbitan KRU Studios ini masih ditayangkan sejak 3 Disember lalu mencatat kutipan hampir RM1 juta. Memberi kelainan, filem genre komedi ini menampilkan Harun Salim Bachik bersama AC Mizal sebagai pelakon utama. Pemilihan Harun membawakan watak utama mungkin menimbulkan persoalan kepada penonton, tetapi ia juga mampu memberi tarikan berbeza pada penampilan hero filem komedi sebelum ini. Afdlin berkata, filemnya kali ini membawa perbezaan dari aspek komedi yang ingin disampaikan kepada penonton. Katanya, jika beberapa filem arahannya yang lalu seperti Papadom, Los Dan Faun serta Buli Balik ditulis sendiri sebaliknya filem ini dihasilkan daripada idea orang lain, karya Amir Hafizi.

"Selalunya filem mengangkat tema tertentu seperti persahabatan, kasih sayang dan sebagainya. Bagaimanapun, saya hasilkan filem yang membuat penonton ketawa tanpa menganggap filem itu sesuatu yang berat. "Sudah pasti, filem komedi mahu penonton terhibur. Justeru, filem ini perlu dibuat dalam konsep yang mudah difahami, tetapi pada masa sama, penonton masih mampu terhibur," katanya. Produser KRU Studios Sdn Bhd, Norman Abdul Halim berkata dia tidak terlalu mensasarkan filem itu meraih keuntungan tinggi meskipun mempertaruhkan genre komedi dengan barisan ramai pelakon berpengalaman. Sepanjang seminggu tayangan, Norman tetap berbangga dengan pencapaian kutipan filem ini.

"Kehadiran filem ini dilihat bersesuaian dengan tontonan semasa biarpun ketika ini banyak filem Hollywood ditayangkan pada waktu yang sama. Untuk sasaran, saya berharap filem ini dapat mencatat kutipan hingga RM3 juta selepas habis tayangan nanti. "Mengikut statistik, kedudukan filem ini di pawagam berdasarkan jumlah kutipan tiket menduduki tangga keempat di belakang tiga filem Hollywood, The Twilight Saga: New Moon, 2012 dan Ninja Assassin. Biarpun berada di tempat keempat, ia juga satu kejayaan menjadi filem tempatan nombor satu yang mendapat sambutan ketika ini. "Daripada respons yang saya terima, ramai memberi komen positif kepada filem ini. Jika penonton sebelum ini pernah menyaksikan komedi cara kumpulan Senario, Saiful Apek mahupun Afdlin sendiri, tetapi filem ini menampilkan gandingan berbeza antara Harun dengan AC.

"Saya percaya gandingan Harun dengan AC mencipta kelainan dan tarikan pada filem ini. Menariknya, filem ini diselit dengan elemen fantasi pada peralatan canggih yang digunakan Harun dan AC untuk menyelesaikan kes mereka. "Pujian juga harus diberikan pada Adlin yang berjaya memberikan lakonan dengan cemerlang. Biarpun dia hanya tampil sebagai pelakon pembantu iaitu menjadi pegawai polis, tetapi ada penonton suka dengan lakonannya," katanya. Kata Norman, sokongan penonton terhadap filem tempatan seperti filem ini amat penting untuk memastikan kemajuan filem Melayu terus berkembang. Walaupun pemilihan Harun sebagai pelakon utama mengundang risiko besar terhadap sambutan penonton, tetapi dia percaya Harun mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri kepada peminatnya untuk hadir menonton di pawagam.

"Jika ada penonton yang menjangka komedi yang sama daripada filem arahan Afdlin sebelum ini, saya fikir filem ini tetap beri kelainan mengikut gabungan pelbagai elemen lain. "Saya berharap penonton beri peluang kepada filem tempatan untuk terus diterbitkan dan ditayangkan di pawagam. Ada penonton yang berpandangan filem arahan Afdlin mempunyai elemen urban, tetapi saya melihat filem ini sesuai untuk tontonan semua dan ini adalah filem masyarakat," katanya. Harun pula yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelakon drama dan popular menerusi drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal 1990-an mencipta kejutan apabila membawakan watak utama dalam filem barunya kali ini. Tahun lalu, Harun muncul dengan tiga filem iaitu Cuci, Apa Kata Hati dan Antoo Fighter manakala tahun ini, dia juga hadir dengan filem Setem dan Papadom. Kata Harun, dia berbesar hati dan terharu apabila mendapat tawaran berlakon filem ini. Meskipun, dia pernah bekerjasama dengan Afdlin dalam filem Baik Punya Cilok, Buli Balik dan Papadom tetapi lakonan kali ini dianggap istimewa kerana diberi kepercayaan memainkan watak utama.

"Sepanjang penggambaran berlangsung, saya bersama Afdlin dan AC senang bekerja kerana kami sudah kenal sebagai kawan sebelum ini. Tarikan filem ini mungkin pada barisan pelakon dan aksi komedi yang dipaparkan. "Ada aksi yang direka Afdlin sebaliknya persembahan adegan itu tetap bergantung pada kemampuan pelakon untuk menyampaikan dengan bijak. Untuk cerita komedi, aksi komedi spontan boleh ditambah asalkan ia mempunyai kaitan dengan plot cerita. "Penambahan aksi spontan ini termasuk pada dialog dan perlakuan. Bagaimanapun, tidak banyak aksi komedi yang ditokok tambah, tetapi saya bersama pelakon lain berusaha menjadikan setiap adegan dijayakan dengan berkesan. "Pada saya, filem ini mampu menghiburkan penonton dengan aksi komedi yang dipertontonkan. Jika sebelum ini, filem tempatan asyik menampilkan genre cinta dalam plot, tetapi filem ini pula tiada kena mengena dengan kisah cinta.

"Menerusi filem ini, penonton akan teringat kembali kehebatan filem komedi berkonsepkan penyiasatan suatu ketika dulu seperti Mat Bond dan Gerak Kilat. Dalam My Spy, saya melakonkan watak Salleh yang mempunyai kepakaran mencipta peralatan canggih dan menariknya, ada elemen imej janaan komputer (CGI) digunakan untuk menggambarkan peralatan ciptaan saya boleh bertukar pelbagai fungsi seperti menjadi senjata dan perisai," katanya. Mengenai gandingan bersama AC, Harun menyatakan mereka pernah bekerjasama menerusi Baik Punya Cilok dan Buli Balik, tetapi ia tidak secara langsung. Menerusi filem baru kali ini, mereka bergandingan sebagai ejen penyiasatan persendirian yang bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah. "Jika diikutkan, ini adalah gandingan kali pertama kami berdua. Pengalaman berlakon bersamanya suatu yang menyeronokkan. "AC mempunyai sifat komedi semula jadi dalam diri, kreatif dan mudah bekerjasama. Ketika berlakon, dia juga faham dengan gerak geri antara satu sama lain untuk mendapat lakonan yang mantap.

"Apapun, pengalaman berlakon filem ini suatu yang amat bermakna dan berharga kepada saya sepanjang terbabit menjadi pelakon. Secara logik, saya tidak pernah terfikir menjadi pelakon utama sebaliknya apabila mendapat tawaran ini, saya berusaha berikan lakonan yang terbaik," katanya. Memberi seri pada filem ini, lakonan Harun dan AC turut dibantu Hannah Tan, Carmen Soo, Daphne Iking dan Maria Farida. Filem ini juga dibantu dengan pelakon berpengalaman lain seperti Ridzuan Hashim , Jalil Hamid, Adlin Aman Ramlie, Mamat Khalid, Aziz M Osman, Que Haidar, Adam Corrie Lee dan Douglas Lim. Carmen pula berkongsi pengalaman menyeronokkan ketika terbabit dengan penggambaran filem ini yang dijalankan di Pulau Langkawi. Katanya, dia yang melakonkan watak Amber bergandingan dengan Hannah sebagai Maria yang menjadi kembar tidak seiras.

"Filem ini memberi cabaran tersendiri kepada saya kerana banyak adegan aksi perlu dilakukan sendiri seperti terjun dari bot, berenang dan berlawan. Untuk aksi berbahaya lain membabitkan adegan letupan, ia dibantu pelakon aksi lagak ngeri. "Dalam filem ini, saya bersama Maria ditugaskan Datuk Osman (Ridzuan) mencuri lukisan. Filem ini ada banyak aksi komedi yang menghiburkan sama ada ketika penggambaran mahupun ditayangkan pada penonton. "Pengalaman berlakon bersama Harun dan AC juga sering mengundang gelak tawa dan kami sama terhibur untuk menjayakan filem ini dengan lancar. Melihat pada aksi dan plot, saya berkeyakinan filem ini mampu meraih sambutan menggalakkan daripada penonton yang berminat menyaksikan filem komedi," katanya.

Profil Berkaitan

 AC Mizal    Harun Salim Bachik    Afdlin Shauki    Norman KRU    Saiful Apek    Hannah Tan    Carmen Soo    Daphne Iking    Maria Farida    Ridzuan Hashim    Jalil Hamid    Adlin Aman Ramlie    Mamat Khalid    Aziz M.Osman    Que Haidar    Adam Corrie Lee    Douglas Lim    Gerak Kilat    Setem    Buli    Buli Balik    Baik Punya Cilok    Sumo-Lah    Los dan Faun    Papadom    My Spy  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD