![]() |
PENGALAMAN menjadi anak murid kepada seorang guru yang boleh dilabelkan sebagai sifu ilmu filem di Malaysia adalah satu tuah, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mencintai dunia filem. Ketika mengikuti kursus ijazah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM) pada awal 1990-an, saya sempat belajar di bawah bimbingan Dr Anuar Nor Arai menerusi kelas filem selama tiga tahun iaitu dengan subjek Pengarahan Seni, Teori Dan Kritikan Filem dan Seni Pengarahan Filem.
Pengalaman tidak dapat dilupakan apabila berada di tahun kedua pengajian, saya pernah diarah keluar dari bilik kuliah oleh Dr Anuar gara-gara tidak menyiapkan tugasan mengenai satu esei berkaitan perbandingan tiga tokoh pemikir teori klasik filem, Sergei Eisenstein, Andre Bazin dan Jean-Luc Godard. Apabila saya mengaku tidak siap, Dr Anuar yang ceria kemudian jadi serius, lalu dengan wajah selambanya meminta saya keluar. Sangkakan dia bergurau sebab ada kalanya memang dia sering begitu tetapi kali ini dia nampak betul-betul marah. Akhirnya saya terpaksa keluar dari bilik kuliah dengan malunya dan terus pulang ke asrama.
Sejak peristiwa itu saya mula mendekatkan diri dengan Dr Anuar secara peribadi, mengambil tahu serba sedikit latar belakangnya, sering bertanyakan motosikal besar miliknya yang berkuasa kuda 1,100CC dan bertanyakan mengenai pelbagai buku yang perlu untuk rujukan dan ada kalanya pergi minum bersama di gerai di luar kawasan UM. Sehingga tamat pengajian saya lega kerana subjek filem yang saya ambil mendapat gred A dan Dr Anuar ada berpesan: “Jangan berhenti belajar pasal filem, ilmu filem terlalu luas...”
Sepanjang belajar di UM selama empat tahun, pengajian tiga tahun mengenai ilmu filem memang tidak cukup seperti antara kata Dr Anuar” “Kalau nak belajar mengenai sound dalam filem saja kena ambil masa enam bulan, kalau nak belajar mengenai suntingan, kena ambil masa setahun. Tapi apa yang saya ajar ini cukuplah untuk lulus.” Satu lagi kenangan lucu bagi saya ialah ketika mengikuti pratonton filem cereka pertama dan terakhir Dr Anuar, Johhny Bikin Filem, terlelap saya dibuatnya kerana durasi filem itu ialah selama lima jam 25 minit. Kali ini Dr Anuar tidak marah pula tetapi sering mengusik saya apabila bertemu di bilik kuliah. Antara dialognya, “Sampai hati ada orang yang boleh tidur tengok filem saya... he...he...,” katanya sambil ketawa kecil.
Sesuatu yang menarik dan hebat ialah apabila kita belajar di bawah bimbingannya, Dr Anuar bijak untuk membuka dimensi ilmu filem itu secara meluas meskipun hanya tiga tahun saja mengikuti kelasnya, itu pun bukannya setiap hari kerana pada masa sama kami yang mengambil subjek filem di Jabatan Pengajian Media juga belajar mengenai subjek retorik, etika, penerbitan dan kosmologi. Walaupuan diajarnya tidak begitu banyak tetapi kita yang menerimanya akan berasa banyak kerana Dr Anuar bijak untuk meresapkan ilmu disampaikannya itu kepada jiwa sesiapa yang jujur untuk belajar. Sebab itu, mereka yang tidak belajar secara formal dan mendampinginya untuk mendapatkan ilmu akan berasa diri sudah pandai, malah ada yang semacam berlagak lebih pandai daripada beliau.
Semasa mengajar di UM, Dr Anuar bersama pelajarnya dengan bantuan pelakon profesional berjaya menghasilkan Johnny Bikin Filem yang panjangnya lebih 320 minit, iaitu penggambaran selama tujuh bulan dan posproduksinya juga mengambil masa tujuh bulan. Setahun selepas filem itu siap, Dr Anuar bersara awal atau bersara pilihan dari UM pada 1996.
Selepas dia bersara, saya menemuinya di kediamannya di Seksyen 19, Shah Alam. Ketika itu saya sudah menjadi wartawan hiburan Berita Harian. Dalam perbualan, Dr Anuar tidak lagi membahasakan dirinya sebagai “saya” seperti lazimnya sewaktu saya belajar dulu sebaliknya lebih mesra membahasakan dirinya sebagai “aku”. Waktu itu, nada Dr Anuar seolah-olah merajuk dengan UM tetapi tidak mahu diceritakan secara jelas. Namun, ada sesuatu yang tersimpan di hatinya terpacul juga dan tidak sesuai untuk ditulis di sini. Antara lain kata-katanya: “Aku dah puas mengajar dan letih baca buku... sekarang masa aku untuk turun padang pula...” Selepas bersara, Dr Anuar aktif menghasilkan beberapa telefilem termasuk Di Satu Sudut Gelap lakonan Fauziah Ahmad Daud, Seorang Tua Di Sungai Lembing lakonan Vanidah Imran dan Isteri Datuk Berkereta Merah, dibintangi Sutung Umar dan Khaty Ibrahim.
Kalau asalnya seorang guru, seseorang itu tidak boleh lari daripada tugas mendidik dan mengajar. Dr Anuar akhirnya harus akur dia terpaksa kembali menjadi pensyarah filem apabila terbuka hati untuk mengajar semula apabila dipelawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebagai pensyarah, kemudian berpindah pula ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) hinggalah memegang jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Rektor (Akademik) Aswara selaku pensyarah di situ. Dr Anuar mengabadikan dirinya sebagai pengajar ilmu filem sehingga ke penghujung usianya. Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung dan komplikasi paru-paru, selain menghidap penyakit kencing manis.
Pada 20 Januari lalu, Dr Anuar pergi buat selama-lamanya dalam usia 66 tahun. Dr Anuar atau nama sebenarnya, Anuar Mohd. Nor @ Arai dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 1943. Beliau wajar dijadikan kebanggaan dunia filem Malaysia kerana muncul sebagai anak Malaysia pertama mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari University of southern California, Los Angeles, Amerika Syarikat. Tesis kedoktorannya bertajuk “The Journeying Souls: The Verbal And Visual Quests of the Metaphysical Theatre And Film” hinggalah beliau lulus pada 1983.
Ketika menemubual Dr Anuar sewaktu beliau sibuk mengarah pementasan Ronggeng Rokiah di Istana Budaya, saya agak terkejut apabila beliau mengakui: “Aku beberapa kali menangis ketika sesi latihan kerana sangat rindukan Melayu. Aku tersangat rindu pada Melayu. Melayu tidak sedar. Jika aku ke Singapura, aku pasti menangis. Yang terlepas ke tangan orang tidak akan ditemui lagi. Yang tinggal hanya mimpi dan igauan masa lalu. Ini amat menyeksakan". Ia berkait dengan pengisian teater itu yang berkaitan manusia Melayu yang tercari-cari, terpinggir dan kehilangan identiti, menghadapi zaman perpindahan sosial dan meleset pada era 1940-an hingga 1950-an di Singapura, dengan latar politik penjajahan Inggeris. Saya juga pernah bertanya Dr Anuar, bila agaknya filem sulungnya, Johnny Bikin Filem yang disiapkan sejak akhir 1995 dengan kos lebih RM1 juta, akan ditayangkan kerana tertangguh begitu lama. Dr Anuar sudah macam tidak berminat bercakap pasal filem itu tetapi masih menjawab: “Tunggulah 20 tahun lagi.... selepas aku mati nanti....”
Dalam filem itu saya bersama beberapa kawan sekelas yang mengambil subjek filem di UM turut terbabit sebagai krew sambilan dan pada masa sama turut menjadi pelakon untuk watak bayang ketika penggambaran dibuat di rumah seniman M Amin (Allahyarham) di Taman Ibu Kota, Gombak, Kuala Lumpur. Johnny Bikin Filem dibintangi Erma Fatima, Jalaludin Hassan, Wafa Abdul Kadir, Zack Idris, Lokman Ghani, Izi Yahaya, M Amin, Wong Sit Nen, Abu Bakar Omar dan J D Khalid. Pengarah fotografinya ialah Jamal Maarif dan Johan Ibrahim.
Johnny Bikin Filem mengisahkan dunia gangsterisme zaman 50-an di Singapura yang mengangkat kisah seorang pemuda Melayu yang mahu mengambil alih perniagaan filem daripada dimonopoli saudagar Cina. Filem itu banyak mengaplikasikan gaya teknikal artistik tinggi dengan menampilkan konsep tatacahaya chiaruscuro dan noir. Skrip filemnya masih banyak tidak dijadikan filem termasuk Perang Naning yang sedang diusahakan oleh Mior Hashim Manap. Satu lagi skripnya yang dihasilkan pada 1992, Main Filem yang berkisar mengenai Seniman Agung, P Ramlee juga tidak pernah direalisasikan sebagai filem. Dr Anuar kini sudah tiada. Tetapi ilmu yang disalurkan akan terus hidup buat selama-lamanya. Kata orang, manusia mati meninggalkan nama, nama disebut-sebut kerana jasa...
Dr.Anuar Nor Arai
Ogy Ahmad Daud
M. Amin
Erma Fatima
Datuk Jalaluddin Hasan
Wafa
Zack Idris
Lokman Ghani
Abu Bakar Omar
Jamal Maarif
Johan Ibrahim
Meor Hashim Manap
Artikel Terkini