SAYA tertarik dengan inti ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada syarahan perdana sempena program Wacana Intelek Ulung di Putrajaya Isnin lalu yang menyentuh mengenai kepentingan mengetahui sejarah bangsa dan negara. Beliau mengupas secara ringkas mengenai sejarah bangsa Melayu dan kaitan dengan Negeri Tanah Melayu dulu termasuk Kedah. Maksud Tun yang boleh difahami bahawa sejarah bukan sekadar kenangan silam atau kisah lalu yang dibiarkan begitu saja tetapi asas pembinaan tamadun yang cemerlang bagi mana-mana bangsa. Sewajarnya sejarah berkaitan asal-usul, sikap dan pemikiran bangsa sejak dulu harus diambil iktibar dan dijadikan renungan untuk membina bangsa yang lebih bertamadun sesuai dengan tuntutan zaman dan era globalisasi.
Sudah tentu, sebagai bekas pemimpin ulung negara, Tun Dr Mahathir melihat kepentingan sejarah itu sangat besar untuk dijadikan rujukan, pengajaran, panduan dan peringatan kerana sejarah meskipun tidak akan berulang sama seperti peristiwa atau insiden dulu tetapi ia boleh berulang dalam bentuk lain tetapi natijahnya hampir sama. Sebab itu Dr Mahathir mungkin melihat cabaran globalisasi akan mengundang cabaran lebih getir pada bangsa Melayu selagi tidak bersedia dengan ilmu dan ketahanan diri selain mengingati perjalanan sejarahnya supaya sentiasa berwaspada pada bila-bila masa.Kerajaan juga mula menampakkan kepentingan sejarah dalam sistem pendidikan apabila mata pelajaran sejarah diwajibkan di sekolah rendah. Dan kita harus sentiasa ingat kerana kesedaran terhadap sejarah menyebabkan bangsa Melayu kini berubah dan negara kita bangkit semula selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 hingga banyak projek pembangunan dan modal insan memperoleh kejayaan demi kejayaan hingga ada kalanya dicemburui rakyat negara lain.
Begitu jugalah dalam dunia perfileman kita. Apabila mengaitkan sejarah dengan dunia filem tanah air, kita tentu akan mengingati sejarah kegemilangan filem Melayu era 1950-an dan 60-an. Kalau bercakap soal filem berlatarkan era sejarah lalu, tentu kita juga akan mengingati beberapa judul filem yang mengangkat peristiwa sejarah dan tokoh seperti Red Haired Tumble In Malaya, Sumpah Mahsuri, Raja Melewar, Leftenan Adnan, Embun, Paloh, Puteri Gunung Ledang, 1957: Hati Malaya dan Kinta. Zaman dulu juga kita ada filem seumpamanya seperti Seruan Merdeka, Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Jasmin dan filem berkaitan legenda juga sering dibuat pada era 1950-an dan 60-an dulu yang nyata memberi satu impak menarik kepada masyarakat ketika itu seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Singapura Dilanggar Todak, Siti Zubaidah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Tun Fatimah, Tun Mandan, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang dan Mahsuri.
Dalam ratusan judul filem Melayu yang dihasilkan, sebenarnya filem berkaitan sejarah atau yang menggunakan latar serta peristiwa zaman silam yang diterbitkan di negara ini memang tidak banyak. Malah, usaha pada era hujung 1990-an dan alaf baru memperlihatkan filem berasaskan sejarah sering kecundang di pawagam, atau mudah cakap, ia sering tidak mendapat sambutan ramai penonton. Selalunya alasan diberikan ialah filem sebegitu tidak menarik perhatian anak muda dan masyarakat untuk berkunjung ke pawagam. Akibatnya, ramai penerbit semakin takut dan langsung tidak berani lagi menghasilkan filem berkaitan sejarah.Sampai bila kita hendak biarkan masyarakat kita berterusan tidak menyokong filem sedemikian, atau tidak akan menggemari filem sejarah sampai bila-bila? Apakah sejarah silam membosankan generasi sekarang? Mungkin generasi muda kini tidak menganggap sejarah itu penting dan tidak boleh dijadikan iktibar. Atau, sejarah itu hanya ibarat angin yang berlalu pergi?
Permasalahan di sini ialah kerana sikap kita selama ini yang mengabaikan sejarah. Kerajaan dilihat lambat untuk menjadikan mata pelajaran sebagai subjek wajib di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di pusat pengajian tinggi. Kita tidak menyuburkan peristiwa, mengenal tokoh dan fakta sejarah yang penting berkaitan pembinaan bangsa, kenegaraan dan patriotisme dalam jiwa serta sanubari rakyat kita hinggakan generasi muda sekarang boleh dikatakan semakin buta sejarah.
Sejarah seolah-olah dianggap peristiwa lapuk yang tidak ada gunanya lagi. Tokoh zaman dulu dianggap sekadar perakam zaman untuk dijadikan bahan nostalgia semata-mata. Peristiwa silam dan jerih payah orang dulu cuma dianggap kebetulan tanpa memikirkan sebab musabab ia berlaku. Kesudahannya, jiwa masyarakat kita tidak dipupuk dan disemai dengan rasa bangga serta semangat patriotisme yang tinggi untuk sentiasa mengagumi sejarah bangsa sendiri.
Sebab itu, jika kita masih tidak berasakan kepentingan besar sejarah sebagai landasan untuk membina tamadun dan peradaban lebih baik untuk masa depan bangsa dan negara, selagi itulah masyarakat kita tidak akan mempunyai jiwa kental dari segi patriotisme tinggi dan semangat kenegaraan. Suasana sekarang memperlihatkan pelbagai kebimbangan berkaitan masyarakat kita yang hanyut dan leka dibuai rasa seronok pada kemodenan dan kenikmatan hidup sekarang, malah lupa asal-usul bangsa sendiri yang perit berjuang untuk kesejahteraan bumi watan ini, hingga Tun Dr Mahathir pernah beberapa kali meluahkan kekecewaan terhadap bangsanya sendiri dengan kata-kata: “Melayu mudah lupa...”
Berbalik pada konteks perfileman negara, kita berasakan sekalipun persepsi filem berkaitan sejarah tidak akan laris di pawagam, tetapi kita tidak boleh terperangkap dengan alasan itu. Sesuatu harus dibuat. Kerajaan menerusi Finas harus merangka strategi lebih berkesan supaya industri filem kita akan menyumbang kepada kesedaran bangsanya terhadap kepentingan sejarah. Bermacam-macam cara boleh dihasilkan untuk menerbitkan filem bercorak sejarah dalam genre epik aksi padat, drama, animasi, muzikal mahupun komedi. Yang penting, mutu cerita dan persembahan yang dipaparkan itu harus memberi impak kepada masyarakat dan sejarah itu sendiri, sekurang-kurangnya membekas di hati penonton. Geran yang lebih besar harus disediakan kementerian berkaitan, sokongan dana kepada penerbit dan pengarah yang mahu menghasilkan filem bercorak sejarah harus dipermudahkan serta galakan dalam pelbagai bentuk lain wajar diberikan.
Kebetulan satu lagi filem berlatarkan sejarah yang mengangkat nama tokoh legenda bangsa Melayu sudah dihasilkan dan ditayangkan di seluruh negara bermula hari ini. Filem berjudul Lembing Awang Pulang Ke Dayang terbitan Dayang Digital menerusi arahan Majed Salleh memasuki pawagam hari ini. Meskipun filem ini bukan dalam skala besar dari segi bajet pembikinan, tetapi inisiatif penerbit dan tenaga produksinya harus diberi pujian untuk mengajak meninjau satu lagi kisah sejarah tokoh pelayar Melayu bernama Awang dan ceritanya diadaptasikan daripada novel sejarah karya sasterawan, Shaharom Husain yang pertama kali diterbitkan pada 1957. Ia adalah kisah legenda episod cinta berlatarkan sejarah yang terjadi lebih 200 tahun lalu di kawasan yang dulunya dikenali sebagai Padang (kini Muar).
Kerajaan dan pihak dalam industri perfileman harus berani menyuburkan penerbitan filem sejarah sekurang-kurangnya lima judul setahun supaya ia konsisten dan dijadikan trend. Jika ini terlaksana, masyarakat akan mempunyai keyakinan untuk memberi sokongan kerana adanya peningkatan mutu. Tidak mustahil dengan kewujudan trend bagi filem jeni ini kelak, ia mampu mencipta suasana baru dalam industri filem kita bahawa suatu hari nanti filem berlatarkan sejarah mampu menjadi filem komersial. Filem berlatar sejarah tak akan diminati selagi kita tidak memupuk masyarakat kita supaya sedar, faham dan menghayati sejarah bangsa Malaysia.
Ketika ini juga ada usaha menghasilkan filem berlatarkan tokoh dan peristiwa kehebatan sejarah bangsa dikatakan terbantut seperti filem pahlawan Mat Kilau dan Empayar: Dendam Tamingsari. Seharusnya Finas dan pihak tertentu tampil membantu supaya projek filem ini menjadi kenyataan. Kita amat berharap beberapa judul yang dalam perancangan dan proses produksi seperti Mahawangsa, Cik Siti Wan Kembang, Long Piah dan Maharaja menjadi kenyataan.
Dayang Digital Sdn. Bhd.
Majed Salleh
Lembing Awang Pulang Ke Dayang
Red Haired Tumbler In Malaya
Sumpahan Mahsuri
Raja Melewar
Leftenan Adnan
Embun
Paloh
Puteri Gunung Ledang
1957: Hati Malaya
Kinta
Sarjan Hassan
Bukit Kepong
Jasmin
Siti Zubaidah
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
Tun Fatimah