Oleh Esme Johari Wahab
Bermula dengan Jin Notti, tiga lagi filem arahannya akan masuk panggung. Pada 10 Disember ini, Azhari akan mempertaruhkan filem keduanya Santau yang mengetengahkan unsur mistik dan seram mengisahkan suri rumah yang disantau jirannya.
Apakah Santau mampu mengubat 'kekurangan' arahan Azhari dalam Jin Notti? Azhari berkata tujuannya terbabit dalam bidang pengarahan filem tanah air kerana mahu mengangkat martabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pusat latihan perfileman dihormati di Malaysia, sekali gus menjadi pemangkin semangat generasi baru."Tugas pengarah filem sentiasa menarik minat dan mencabar minda. Saya belajar bawa cerita setepat mungkin dan menarik minat penonton. "Latihan di lokasi membuat kemahiran sekarang sempurna, kreatif dan matang. Ia antara cara menaikkan imej dan profesionalisme perfileman negara ini.
"Memang jadi cita-cita saya sejak kecil untuk menjadi pengarah filem. Untuk itu, saya saya sudah bersedia menerima sebarang teguran secara terbuka. "Saya harap olahan memaparkan mesej berkaitan kemasyarakatan melalui filem dapat diterima dan memberi kesan," kata anak muda kelahiran Masai, Johor ini. Filem pertama, Jin Notti terbitan KRU Studios ditayangkan sewaktu hari raya Aidilfitri, baru baru ini. Filem kedua, Santau akan menyusul beberapa hari lagi, manakala Zoo ditayang awal tahun depan. Apapun, filem terbarunya, Mantra masih dalam proses pembikinan.
Azhari berkata, ibu mahukannya jadi guru kerana suka beliau mendidik orang lain. "Meskipun tidak jadi guru, saya masih mendidik orang melalui visual. Paling penting, profesion beri manfaat dan teladan kepada orang lain. Saya selit unsur intelektual dan buat kajian mengikut kesesuaian filem hendak dibuat, apa diperlukan, isu semasa yang ada berkaitan dengan hidup mereka," katanya. Mengenai kritikan terhadap filem dan drama arahannya, anak didik Profesor A Razak Mohaideen ini berkata pengarahan filem isu subjektif. Katanya: "Ada suka memuji, ada tak suka mengkritik. Ada tidak gembira dan sebaliknya, itu realiti pembikin filem. Sukar memuaskan hati semua orang."
Selaku pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Program Skrin UiTM, Shah Alam, Azhari mahu mahu angkat nama institusi itu sebagai pusat pengajian filem yang menawarkan pendedahan terbaik kepada pelajar mengikut bidang akademik dan latihan praktikal. Prof Razak memberitahunya, jodoh dan rezekinya dalam bidang filem hanya akan ditentukan oleh masa ketika mula berjinak di lokasi penggambaran drama sewaktu di ITM pada 1993. "Pendedahan sebagai penolong pengarah Yusry KRU dalam Cicakman 1 (2006) dan 2 (2007) membawa saya ke tahap sekarang. Prof Razak banyak membimbing," kata Azhari, sering tampil selaku pembantu pengarah dan pelakon cameo pada awal pembabitan.
Mengenai filem seram pertama beliau, Santau, menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround EX, Azhari memberitahu: "Saya mahu filem berkenaan cetus fenomena. Filem itu menemui penonton seluruh Malaysia Khamis minggu depan. "Mesej saya, Santau amat buruk, wujud dalam masyarakat disebabkan hasad dan dengki. Kepedihan dan kesengsaraan dialami akibat perbuatan ilmu sihir beri kesan jangka panjang," katanya.
Azhari Mohd Zain
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Yusry KRU
Santau
Cicakman
Cicakman 2: Planet Hitam
Jin Notti
UiTM - Universiti Teknologi Mara
KRU Studios Sdn. Bhd.