Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
LUMBA haram, mabuk, bohsia dan seks bebas dikatakan menjadi sebahagian budaya hidup Mat Rempit. Namun sejauh mana kebenarannya dakwaan itu? Isu inilah yang cuba disentuh pengarah yang sedang mencipta nama, Ahmad Idham menerusi filem terbarunya, Remp-it.
Agak berlainan penghasilan Metrowealth Movies Production (MMP) jika dibandingkan dengan karyanya sebelum ini yang kebanyakannya bertumpu kepada jenaka romantis dan misteri. Remp-it, filem ke-19 terbitan syarikat itu, adalah hasil skrip tulisan bintang utamanya sendiri, Farid Kamil.
Ia juga satu kepercayaan daripada produser MMP, David Teo, yang begitu yakin dapat memasarkan filem ini bagi tontonan umum.
Selain Farid, filem yang akan menemui penonton di 38 pawagam mulai 10 Ogos ini turut menampilkan pelakon berbakat seperti Aqasha, Cat Farish dan Zul Huzaimy, selain Julia Hana.
Menggunakan khidmat kira-kira 300 pelakon tambahan serta tiga pelakon lagak ngeri tempatan, tentunya Remp-it mampu menggegarkan panggung dan menarik ramai peminat pelbagai usia menghayatinya.
Farid ketika ditemui berkata, dia sebenarnya meluahkan idea mengenai filem itu kepada David sejak mula berlakon kira-kira enam tahun lalu.
Bagaimanapun, David hanya menunggu masa yang sesuai untuk menjadikan idea Farid itu satu realiti dan semuanya terjawab awal tahun ini. "Remp-it dihasilkan berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai Mat Rempit.
Ketika itu umur saya baru 16 tahun dan tinggal di Alor Star, Kedah. Bagaimanapun, suasana kehidupan Mat Rempit ketika itu jauh berbeza berbanding hari ini. Aksi ngeri Mat Rempit sekarang makin liar dan hebat.
"Saya masih ingat lagi, dulu saya pernah berhabis duit bagi mengubah suai dan membaiki motosikal saya untuk berlumba. Tapi lama kelamaan, saya mula terfikir semua itu hanya buang masa dan duit.
"Lagi pun keluarga menghalang keras niat saya untuk berlumba. Mereka bimbang keselamatan diri saya selain kos untuk mengubah suai dan membaiki motosikal," kata Farid.
Seperti Farid, Cat Farish mempunyai pengalaman sendiri sebagai Mat Rempit. Bagaimanapun bekas anggota Ruffedge itu mula menjauhi kegiatan itu apabila banyak nyawa rakan-rakannya tergadai.
"Saya mula terfikir, apa kesudahan kalau asyik rempit. Motosikal memang ada alat gantiannya, tetapi nyawa?
"Saya sendiri pernah trauma melihat nasib kawan-kawan yang mati di depan mata kerana kecundang di jalan raya," katanya.
Bagi Julia Hana, pelakon sensasi yang terjebak dengan kes tarik rambut dengan seorang Mak Datin, dia tidak mempunyai masalah menghayati watak gadis bohsia di litar rempit. Ini disebabkan dia mendapat bimbingan yang baik daripada Ahmad Idham dan rakan-rakan pelakon lain.
"Saya tak pernah bergaul dengan Mat Rempit, jauh sekali menjadi Minah Rempit. Saya tak sangka adegan yang saya perlu lakonkan itu sebenarnya lebih dahsyat berbanding apa yang saya bayangkan.
"Apabila berada di set, barulah saya tahu bagaimana babak itu. Rasa malu awalnya ada juga tapi selepas Ahmad Idham memberikan bimbingan, barulah saya mampu melakonkannya.
"Bagi saya untuk menjadi pelakon yang baik, kita kena pelbagaikan watak lakonan. Jadi Remp-it adalah peluang yang baik untuk diri saya," kata Julia.
Sementara itu, David Teo berkata Remp-it memaparkan lebih 70 peratus aksi manakala selebihnya adalah drama. Filem itu juga berjaya mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang potongan dan diklasifikasikan sebagai [U] dengan bimbingan penjaga bagi kanak-kanak di bawah 13 tahun.
"Filem ini akan memberi kesedaran kepada penonton mengenai kesan merempit. Mesej yang dipaparkan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya kepada Mat Rempit supaya jangan terlalu ghairah menunggang motosikal sehingga membahayakan nyawa.
"Saya juga akan memasarkan filem ini ke Thailand, Indonesia dan Filipina. Bagi Singapura dan Brunei, ia ditayangkan serentak dengan Malaysia pada 10 Ogos ini," katanya.
Remp-it mengisahkan kehidupan Madi (Farid) serta musuhnya, Spark (Zul Huzaimy) dan Rizzo (Aqasha). Selepas memenangi pelbagai perlumbaan, Madi dicabar Spark dengan taruhan motosikal masing-masing untuk diserahkan kepada lawan. Madi yang kalah bagaimanapun tidak sanggup menyerahkan motosikalnya.
Lalu dia teruk dibelasah dan motosikalnya dibakar. Ini menyebabkan Madi berdendam dengan Spark dan pada masa masa yang sama berdepan masalah dengan kekasihnya lakonan Julia Hana.