BARU-BARU ini, kawan Cik Normah, Siti Muara bukan main lagi tersenyum lebar. Biasanya, kalau dia nampak ceria macam tu, mesti ada sesuatu yang akan sampai ke telinga Cik Normah. Memang tak salah sebab selang dua minit kemudian dengan tangkas dia duduk di sebelah Cik Normah sambil membuka cerita.
Rupa-rupanya, dia gembira sakan sebab pengarah kesukaannya akan mengarahkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak lama lagi. Kalau tak silap pendengaran Cik Normah, penggambaran filem itu akan bermula 10 November ini.
Khabarnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah (mak oi panjangnya tajuk) ini sebenarnya episod kedua daripada trilogi Kampung Pisang. Filem ketiga nanti berjudul Zombie Kilang Biskut. Ketiga-tiga cerita yang berlaku dalam trilogi ini adalah di Kampung Pisang.
Kata Siti Muara lagi, tujuan Mamat menghasilkan filem ini adalah untuk membuat keuntungan demi membalas balik budi baik Tayangan Unggul yang sedia menanggung risiko ketika dia mengarahkan filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem hitam putih itu memang dihasilkan untuk ‘test market’ pada festival. Kira tercapai jugalah impian mereka apabila Kala Malam diumum Filem Terbaik tidak lama dulu.
Hantu Kak Limah pula memang filem komedi yang bersifat komersial, ala Zombie Kampung Pisang dulu. Kali ini Mamat akan memaparkan kritikan mengenai sikap sesetengah orang Melayu yang cepat melatah walaupun pada benda yang mereka tidak pun fahami. Kalau orang Barat cuba mengkaji dan memahami sesuatu yang baru bagi mereka, kita pula terus memberikan reaksi bukan-bukan serta melatah walaupun benda itu belum tentu bersifat bahaya atau membawa petaka.
Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Mamat Khalid
Kala Malam Bulan Mengambang
Zombie Kampung Pisang