![]() |
| CERIA: Fotoshoot bersama pelakon ‘Congkak’ Nanu Baharudin, Riezman, Erin Malek dan Erynne Eryna. |
David Teo yakin kutipan filem terbaru mampu cecah lebih RM10 juta atasi Jangan Pandang Belakang
EPISOD debaran empat tunjang utama filem Congkak iaitu Riezman Khuzaimi, Nanu Baharudin, Erin Malik dan Erynne Erynna kini bermula apabila filem seram terbitan MIG Productions bakal 'menghantui' pawagam mulai hari ini.
Sebagai penggerak utama filem terbabit, pastinya sedikit sebanyak terpikul di bahu mereka akan sebuah tanggungjawab yang tidak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata. Malah, ada ketika kecut juga perut mereka apabila penerbit filem berkenaan, David Teo menaruh harapan tinggi bahawa Congkak mampu mengatasi kutipan yang diperoleh Jangan Pandang Belakang (JPB)
Jika JPB berjaya meraih kutipan RM7.5 juta, David mensasarkan Congkak mampu membuat kutipan sebanyak RM10 juta. Satu angka yang cukup besar buat industri perfileman tempatan.
Mengakui sasaran David itu sedikit mengujakan, namun pada masa yang sama perasaan gusar tetap ada kerana bimbang harapan yang menggunung itu tidak kesampaian.
“Tak dinafikan perasaan bimbang itu tetap ada. Maklumlah, selera penonton masa kini sukar dijangka. Tapi saya percaya, jalan cerita filem ini yang menarik ditambah dengan faktor penggunaan kesan bunyi bertaraf antarabangsa serta teknik fotografi yang cantik, saya yakin filem ini mampu mendapat tempat di hati penonton,” ujar Nanu yang turut teruja apabila mendapat tahu Congkak bakal ditayangkan di luar negara.
Mengulas watak Sufiah yang dipertanggungjawabkan padanya itu, Nanu akui, ia tidaklah terlalu berat untuk dibawakan kerana apa yang perlu ditampilkannya adalah watak seorang ibu yang terlalu risaukan keselamatan keluarganya.
“Watak Sufiah ini ada senang dan susahnya. Saya akui, saya memang tidak membuat sebarang penyelidikan dalam mendalami watak ini. Apa yang saya buat setiap hari di lokasi adalah menghayati skripnya dan ambil mood sewaktu di sana.
“Malah, saya juga banyak dibantu oleh Ahmad Idham untuk membentuk watak Sufiah seperti mana yang dimahukannya. Saya tidak berani untuk menonton filem seram yang lain kerana takut nanti saya akan terikut-ikut dengan gaya lakonan itu,” katanya ketika berkunjung di Balai Berita bersama-sama tiga pelakon Congkak lain bagi mempromosikan filem itu, baru-baru ini.
Ditanya mengapakah dia begitu berminat menerima tawaran ini, pantas Nanu memberikan jawapan iaitu dia memang sudah lama teringin untuk bekerja di bawah arahan Ahmad Idham, yang juga sahabat karibnya dalam bidang seni.
Menariknya mengenai filem Congkak, ia adalah satu-satunya filem tempatan yang hanya menampilkan empat pelakon dari mula hinggalah ke penghujung cerita. Manakala pelakon lain seperti Ruminah Sidek atau Mak Mah dan M Rajoli hanya muncul sesekali saja.
Dan bagi Riezman, perkara itu benar-benar memberi cabaran kepada pelakon kerana seluruh fokus cerita tertumpu pada mereka.
“Congkak sebenarnya tidak memerlukan ramai pelakon kerana kekuatannya terletak pada jalan cerita. Cuma dari segi cabarannya, pelakon perlu memberikan komitmen penuh dan menunjukkan yang terbaik kerana hanya empat orang saja menjadi teraju utama.
"Dari segi untungnya pula, kita boleh buat ikut kepala kita kerana orang tidak dapat bandingkan lakonan kita dengan pelakon lain kerana wataknya kecil, tidak seperti filem lain apabila orang akan bandingkan lakonan hero utama dengan hero kedua,”ujar Riezman yang memegang watak sebagai Kazman, seorang bapa yang tidak mempercayai kewujudan makhluk halus.
Tidak dapat dinafikan, dua pelakon cilik, Erynne dan Erin turut memainkan peranan untuk menghidupkan lagi cerita Congkak ini.Siapa boleh lupa akan akan watak Lisa yang sering didatangi penunggu Congkak lakonan Mak Mah serta Ely, yang terlalu mementingkan diri sehingga akhirnya menjadi mangsa rasuk.
Berkongsi pengalaman membintangi filem seram itu, Erynne yang mencecah usia 11 tahun hari ini berkata perkara yang sehingga kini masih terbayang-bayang di ruang matanya adalah sewaktu adegan pertarungan antara Mak Mah dan M Rajoli.
“Masa lakonan, tengok Mak Mah mekap pun saya sudah takut, jadi masa babak Mak Mah tarik saya, perasaan saya takut sangat masa itu dan suara dia pun pelik.Memang nampak dia macam hantu,”cerita Erynne yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Cinta arahan Kabir Bhatia.
Tambah Erynne lagi, dia memang seronok berlakon dalam filem Congkak kerana ceritanya berbeza dengan apa yang pernah ditontonnya sebelum ini.
“Filem ini lain daripada filem seram yang pernah dihasilkan sebelum ini dan juga sudah lama tidak ada filem yang sebegini. Dan saya percaya ia mampu membawa penonton ke pawagam untuk menyaksikan Congkak selain elemen seram yang ditampilkan,” kata si cilik yang gemar menonton filem hantu ini.
Sementara itu, Erin pula menyifatkan pembabitannya dalam filem ini membawanya kepada satu dunia baru dalam bidang lakonan.
“Ini kali pertama saya berlakon filem seram dan menjadi remaja bandar. Sebelum ini, saya banyak diberikan watak kampung dan berlakon untuk era 80-an dan sebagainya.
“Dari segi lakonan, Congkak memerlukan saya berperwatakan serius, banyak fokus dan mengutamakan ekspresi muka. Dalam filem ini juga dialog saya tidak banyak. Malah, untuk menjiwai filem ini pula, saya baca skrip seorang diri dan apabila di set banyak bertanya dengan orang,” ujarnya yang mengaku menonton filem seram The Messengers sebagai panduan untuk membawakan watak orang dirasuk.