Sinemamalaysia.com.my - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

07 Ogos 2008 : Berita Harian

Debaran Calon Top 5

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin

Dynas dan Nabila.

Acara kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bersiaran di Astro Ria Sabtu ini

BIARPUN Festival Filem Malaysia (FFM21) kurang mendapat publisiti, anugerah yang mengiktiraf insan yang terbabit secara langsung dan mereka yang berada di belakang tabir dunia perfileman itu tetap diteruskan.

Sabtu ini, acara kemuncak FFM21 dapat disaksikan secara langsung menerusi Astro Ria dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pada malam itu, apakah wajah pelakon yang sama akan terus mendominasi senarai penerima anugerah? Atau gelaran terbaik menjadi milik golongan pelapis?

Hip mendapatkan komen serta harapan pelakon dan pengarah yang berada dalam senarai Top 5 acara itu tahun ini.

  • Farid Kamil (Calon Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Anak Halal & Kala Malam Bulan Mengambang)

    "SYUKUR kerana nama saya sekali lagi dicalonkan dalam FFM. Lebih menggembirakan kerana nama saya berada dalam lima tempat teratas untuk dua kategori. Pensyarah saya juga tumpang gembira dan bangga kerana ramai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berjaya dalam bidang ini.

 

Hans, Farid dan Lisa Surihani.


  • "Bagaimanapun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mengungguli mana-mana kategori memandangkan pesaing terdekat saya semuanya memiliki pengalaman yang luas dalam industri ini dan saya amat menghormati mereka."

  • Nabila Huda (Calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Akhirat)

    "SELAMA sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, akhirnya orang mula melihat bakat lakonan dalam diri saya. Selama ini hanya pelakon cantik dan banyak kontroversi saja yang diberi perhatian.

    "Kali pertama nama saya disenaraikan sebagai Top 5, saya tentu sekali terkejut dan teruja kerana dilihat sebagai seorang antara pelakon terbaik. Nampaknya watak antagonis yang saya bawakan sebagai Noni lebih mendapat perhatian berbanding watak lain yang pernah saya jayakan sebelum ini.

    "Bagaimanapun tidak mudah untuk membawakan watak Noni dan sehingga kini saya percaya, bukan semua orang yang mampu membawakan watak seperti itu."

  • Hans Isaac (Calon Pengarah Harapan Terbaik dan Lakon Layar Terbaik - Cuci)

    "SAYA berterima kasih kepada panel juri dan Finas kerana memilih filem Cuci. Saya membikin filem ini bukan untuk mengejar anugerah. Prinsip saya menghasilkan filem adalah untuk menghiburkan orang, saya lakukannya kerana minat.

    "Saya tidak meletakkan harapan untuk memenangi kategori ini. Saya menjadi pelakon selama 15 tahun, nama saya sudah banyak kali dicalonkan sebagai Top 5 tetapi hanya baru-baru ini saya berjaya meraih anugerah. Jadi saya tidak kisah sama ada menang atau kalah.

    "Saya bikin filem kerana minat yang begitu mendalam. Bagi saya anugerah hanya menggembirakan kita untuk tempoh satu hari sedangkan esoknya kita akan menjalani hidup seperti biasa.

    "Bagaimanapun bagi saya, anugerah yang mengiktiraf anak seni adalah perlu. Sekali pun nama saya tidak calonkan, saya akan tetap hadir untuk memberi sokongan kepada rakan yang lain."

  • Dynas (Calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Kayangan)

    "ALHAMDULILLAH, saya tidak menjangka pun nama saya akan turut dicalonkan pada kategori pelakon pembantu. Sudah tentulah, disenaraikan ke peringkat Top 5 pun sudah saya anggap sebagai satu rezeki yang tidak terperi. Keputusannya? Kita pakat tunggu sama-sama pada malam anugerah nanti.

    "Paling penting, saya akan hadir memeriahkan acara kemuncak FFM21 ini. Saban tahun, saya tidak pernah ketinggalan menghadiri malam yang diadakan khas untuk meraikan karyawan dan penggiat filem tempatan. Inilah acara untuk kami pelakon dan pengkarya. Lalu, dicalonkan atau tidak, menang atau kalah, lupakan itu semua dan sama-samalah kita memeriahkan acara."

  • Avaa Vanja (Calon Pelakon Harapan Wanita - Kala Malam Bulan Mengambang)

    "SAYA amat teruja apabila mengetahui pihak juri akhirnya mengesan bakat yang ada pada diri saya ini. Selepas 10 tahun terbabit dalam industri seni, nampaknya orang mula perasan kehadiran saya di sini. Menang atau tidak, bukan lagi perkara terpenting. Saya akan terus mencuba memberikan persembahan terbaik jika gagal sekalipun pada kali ini.

    "Saya sendiri mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian dalam bidang lakon layar di New York, jika rezeki menyebelahi. Harap-harapnya, jika kewangan mengizinkan, pada tahun depan saya akan memulakan pengajian. Apabila selesai belajar, saya ingin kembali, membantu mereka yang berminat dalam lakonan. Masih ramai pelakon kita yang belum dilatih atau tidak tahu pun mengenai lakon layar. Ia satu ilmu cukup penting bagi mereka yang terbabit dalam bidang seni ini."

  • Lisa Surihani (Calon Pelakon Harapan Wanita - I’m Not Single)

    "SEPERTI pelakon lain yang dicalonkan, sudah tentu saya amat terkejut apabila diletakkan dalam senarai Top 5 kategori ini. Saya amat bersyukur dan bagi saya, ia sebuah penghormatan cukup tinggi buat pelakon baru seperti saya. Semua calon lain amat berbakat, lalu saya melihatnya sebagai satu persaingan yang cukup sihat.

    "Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Saya tetap akan bersyukur, walau apa juga keputusan yang datang. Saya tidak lupa, saya masih cukup baru. Masih begitu banyak aspek lakonan perlu saya pelajari, sebelum mampu bergelar yang terbaik."

  • M Subash (Calon Pengarah Harapan, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Harapan Lelaki - Pensil)

    "SEBAGAI orang baru, saya amat terharu apabila projek kecil seperti Pensil turut mendapat perhatian daripada pihak juri. Dan, memang menjadi harapan saya agar lakonan dalam filem ini mendapat perhatian daripada orang ramai. Lalu, apabila saya dan Ruminah Sidek dicalonkan ke peringkat akhir bagi kategori pelakon harapan dan pelakon pembantu, saya tentunya berasa cukup teruja.

    "Pensil bukanlah filem yang dibuat untuk mengejar keuntungan. Kami menghasilkannya demi membawa kembali arah filem Malaysia untuk menghargai nilai tinggi budaya tempatan kita."

 

 


Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD