Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

31 Disember 2009 : Harian Metro

Debaran Buah Tangan Pertama

Oleh Esme Johari Wahab

Hakikat itu tidak terkecuali buat Azmi Md Hata, 35, dianggap baru setahun jagung dalam skrin perak walaupun sudah mengarahkan banyak drama, telefilem dan dokumentari untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini. Filem sulung arahannya, Duhai Si Pari Pari (DSPP), menjadi medan baru untuk menguji kemampuan sebenar beliau mencapai impian yang sekian lama terpendam.

Menerusi DSPP, Azmi beralih daripada pengarah drama dan dokumentari serius kepada filem komedi yang memaparkan suasana fantasi yang membuatkan orang ketawa. Cereka genre komedi itu mula ditayangkan di seluruh negara mulai hari ini, sekali gus menutup tirai bagi filem yang ditayangkan sepanjang 2009 selepas Muallaf arahan Yasmin Ahmad dipertontonkan pada 24 Disember lalu. DSPP yang diterbitkan Tayangan Unggul Sdn Bhd membariskan sembilan pelakon muda dan berbakat besar termasuk pelawak berpengalaman. Antaranya, Que Haidar selaku teraju utama, Syadon, Liyana Jasmay (Pari), Remy Ishak (Budi) dan Harun Salim Bachik (Para).

Menurut Azmi, beliau memilih mengarahkan filem genre komedi kerana bukan mudah membuat penonton ketawa dan terhibur. Katanya, sasaran filem berkenaan ialah golongan remaja kerana ia berkonsep ringan. "Bagi saya, DSPP sesuai untuk dewasa dan golongan berkeluarga. Saya harap pendekatan diterapkan diterima apabila tayangan pembukaan DSPP menemui penonton di seluruh negara hari ini. "Hasrat mengarahkan filem berkonsep Aladdin, Beauty and The Beast atau Walt Disney memang sesuatu yang mahu saya lakukan selama ini.

"Baru sekarang saya yakin penggambaran filem komedi dapat dilaksanakan. Saya sesuaikan penceritaan mengikut acuan moden gaya Malaysia. "Rangka karya difikirkan sejak 2001, tetapi baru sekarang dicapai. Apapun, saya terbuka kepada sebarang kritikan atau teguran terhadap DSPP. Terpulang kepada penonton kerana apa sahaja filem, ia sesuatu yang subjektif. Mereka perlu nilai sendiri. "Bagi saya, jika penonton suka, mereka tetap suka atau sebaliknya. Jika dapat sambutan, saya mahu terus cari pendekatan baru bagi filem masa depan," kata ketika ditemui selepas previu filem itu, baru-baru ini.

Filem yang menjalani penggambaran antara April dan Mei tahun lalu di sekitar Lembah Klang berkisar mengenai jalan cerita bersahaja dan mengenengahkan bahasa mudah untuk membuat penonton ketawa dengan keletah setiap watak. DSPP menceritakan pari pari turun dari dunia kayangan untuk mencari cinta sejati. Kisahnya bermula dengan teko ajaib ditemui oleh Syadon. Pari pari berkenaan percaya cinta sejati manusia lebih indah daripada cinta dunianya sendiri. Katanya, cabaran besar dihadapi sebelum penggambaran adalah menggabungkan emosi barisan pelakon muda dan memanfaatkan pengalaman pelakon lama.

"Saya tidak pernah bekerja dengan mereka dalam mana-mana penggambaran filem sebelum ini. Apapun, saya dapati mereka bersikap profesional dan sentiasa beri kerjasama diharapkan. "Gelanggang penggambaran filem sulung banyak beri pengalaman baru. Seseorang pengarah filem yang baru bertapak perlu tempuh banyak pengalaman yang berbeza untuk mengetahui kemampuan sebenar mereka dalam banyak cabang. "Saya sentiasa dahagakan cabaran baru dan memang sejak di bangku sekolah lagi, saya suka berkarya, tidak kira apa saja terlintas, saya akan tulis dan garap," katanya.

Lepasan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan atau sebelum ini dikenali sebagai Akademi Filem Malaysia itu adalah antara 13 pengarah bekerjasama dengan Tayangan Unggul tahun lalu selain nama besar seperti Bade Azmi, Afdlin Shauki dan Rashid Sibir. DSPP menelan belanja RM1.4 juta turut menggunakan khidmat Pereka Busana Terbaik FFM21, Nazirah Ramlan dan Pengarah Seni Terbaik FFM20, 21, 22, Nazrul Ashraf Mahzan. Buat masa ini, Azmi sedang menyiapkan drama dan telefilem baru, Di Sebalik Bayangan Maya dan Utusan Ke Jannah untuk ditayangkan menerusi RTM.

Sementara itu, Liyana yang menang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi lakonannya dalam Papadom berkata, dia tidak tahu apa penerimaan penonton terhadap lakonannya dalam DSPP. "Saya tidak sabar mahu mendapatkan reaksi spontan sebaik keluar panggung. Saya pernah berlakon komedi menerusi Papadom, tetapi watak pari pari dalam DSPP, ia beri gambaran baru terhadap keupayaan saya bawa watak dunia fantasi," katanya.

Profil Berkaitan

 Azmi Mohd Hata    Yasmin Ahmad    Que Haidar    Liyana Jasmay    Remy Ishak    Harun Salim Bachik    Bade Hj. Azmi    Afdlin Shauki    Rashid Sibir    Papadom    Duhai Si Pari-pari    Muallaf  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD