SEBAGAI sebuah daripada beberapa syarikat pengeluar filem aktif, Primeworks Studios Sdn Bhd terus menyenaraikan pelbagai lagi judul yang bakal menghiburkan penonton di pawagam sepanjang 2010. Bermula dengan filem 2 Hati 1 Jiwa arahan Prof A Razak Mohaideen yang memasuki panggung wayang pada 28 Januari nanti, beberapa filem lain yang diterbitkan sama ada secara bersendirian mahupun secara kerjasama, seperti Empat Madu, Hooperz, Janin dan Evolusi KL Drift II.
Biarpun persembahan filem terbitan syarikat itu pada tahun lalu dianggap Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah, sebagai sederhana berbanding 2008, ia tidak menghalang syarikat terbabit menghasilkan judul lebih baik. "Pada tahun lalu, Primeworks terus mengekalkan prinsip mengadakan projek usaha sama bersama syarikat perfileman lain. Usaha seperti itu diteruskan lagi pada 2010, bagi membolehkan kami mengawal risiko yang dihadapi sesebuah projek. Pada tahun ini, umpamanya, kami sekali lagi mengadakan kerjasama bersama MIG untuk menerbitkan filem Senario, serta sebuah filem bersama Red Films, selepas Pisau Cukur.
"Sebuah lagi projek kerjasama adalah bagi penerbitan filem Aku Tak Bodoh yang baru saja tamat penggambarannya. Filem ini dihasilkan berdasar kepada filem I Not Stupid, tulisan dan arahan Jack Neo dari Singapura. Jack sendiri bertindak sebagai penasihat kepada pembikinan filem yang kami kongsi bersama syarikat tempatan ini. "Primeworks turut mengadakan kerjasama bersama Scorpio East Pictures, Hwa Yea Multimedia, RAM Entertainment dan MM2 Entertainment untuk menerbitkan filem Phua Chu Kang The Movie, yang baru saja menjalani penggambaran di sekitar ibu kota," cerita Puad mengenai projek terbaru syarikat berkenaan.
Menyentuh pencapaian syarikat itu pada 2009, Puad berkata, filem Sifu & Tongga yang dihasilkan dengan kerjasama Lineclear Motion Pictures muncul judul dengan kutipan terbaik oleh Primeworks, apabila ia mula ditayangkan pada hujung Januari. Filem lakonan Nabil Ahmad dan Saiful Apek itu mengumpul lebih RM3 juta. Filem Rasukan Ablasa yang dihasilkan menggunakan kos sebanyak RM600,000 pula berjaya memungut kira-kira RM820,000, manakala sebuah lagi filem arahan Razak, Skrip 7707 yang turut menggunakan kos sederhana, mengutip kira-kira RM2 juta.
"Filem Bohsia pula judul paling cemerlang dari segi filem yang dihasilkan atas dasar perkongsian modal (bersama Skop Productions) apabila ia mencatat kutipan melebihi RM4 juta, sementara Pisau Cukur pula memungut sekitar RM2.5 juta," ujar Puad sambil memberitahu, mereka juga mempunyai pelaburan sebanyak 30 peratus dalam filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys yang mencatat lebih RM3 juta pada penghujung tahun lalu. Katanya, filem Talentime yang muncul judul terakhir arahan Yasmin Ahmad, mungkin dilihat sebagai filem yang membawa kerugian kepada Primeworks, apabila mengumpul kurang daripada RM500,000. Tetapi pada masa yang sama, ia banyak mengangkat nama syarikat itu pada acara anugerah.
Selain berjaya membawa pulang beberapa trofi termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-22, filem berkenaan juga dicalonkan dalam beberapa kategori akhir pada Anugerah Skrin, serta terpilih mewakili negara pada Festival Filem Asia Pasifik ke-53 di Kaohsiung. "Filem Talentime tentu sekali sebuah filem festival dan saban tahun, Primeworks pasti akan mempunyai sebuah judul yang kita anggap sebagai filem untuk pertandingan, bukannya filem yang membawa laba apabila ditayangkan di pawagam," kata Puad. Mengenai jangkaan sambutan terhadap filem sulung daripada syarikat itu yang akan menemui penonton penghujung Januari ini, Puad lebih rela menyerahkannya kepada penonton.
Katanya, Razak mempunyai pengikutnya sendiri dan dia percaya 2 Hati 1 Jiwa juga mampu memikat hati penonton menerusi elemen drama dan kekeluargaan yang kuat diterapkan menerusi filem berkenaan. "Apa juga bentuk sambutan yang diterima filem ini, ia tidak membayangkan corak sambutan untuk filem lain terbitan Primeworks sepanjang 2010. Lagipun, pemilihan filem untuk sesuatu tarikh tayangan banyak bergantung kepada syarat wajib tayang. Cuma, sebagai syarikat filem, kita juga kena ada perkiraan sendiri berhubung tarikh paling sesuai untuk menayangkan filem keluaran kita.
"Bagi syarikat yang aktif menerbitkan filem seperti Primeworks, sebenarnya kami tidak boleh menunggu terlalu lama. Apabila siap saja sesebuah judul, kami cuba menayangkan dengan segera, bimbang ia menjadi basi. Lagipun, sebenarnya tidak ada waktu yang paling bagus untuk kita tayang sesuatu judul. Kalau kita asyik tunggu saja, contohnya sampai ke Mei atau Jun, filem besar dari Hollywood pula yang masuk panggung. "Namun, kalau boleh, kita memang mengharapkan supaya filem kita dapat ditayangkan pada hujung bulan, waktu cuti panjang, pada hujung minggu yang panjang atau waktu perayaan," ujarnya.
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Puad Onah
Nabil
Saiful Apek
Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd.
Skop Production Sdn. Bhd.
Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Red Films Sdn. Bhd.
2 Hati 1 Jiwa
Pisau Cukur
Sifu & Tongga
Rasukan Ablasa
Skrip 7707
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys