Oleh SY MUSSADDAD MAHDI
![]() |
Hafiz, Fouziah & Jehan |
PENANTIAN selama tiga tahun akhirnya membuahkan hasil apabila filem terbaru mereka, Skrip 7707 ditayangkan. Biarpun masih terlalu awal untuk menjangka sambutannya, yang pasti ketiga-tiga mereka begitu gembira dengan sambutan yang diberikan peminat.
Sehingga kini mereka mampu mendabik dada apabila filem keluaran Primework Studios Sdn. Bhd. itu mencatatkan kutipan RM1 juta dalam masa tiga hari pertama dalam keadaan bersaing dengan beberapa filem luar.
Fokus kini lebih terarah kepada tiga teraju utama filem tersebut, Jehan Miskin, Fouziah Gous dan Hafiz Hanafiah yang turut semakin hari semakin terkenal di kalangan peminat.
Masing-masing mempunyai kelebihan. Maka tidak hairanlah saban hari semakin banyak tawaran yang diterima mereka. Di samping terpaksa bersaing dengan nama-nama besar yang lain, ketiga-tiga mereka mahu terus memahat nama sebagai pelakon berkaliber tanah air.
Bagi Jehan, dia menganggap lakonan sebagai satu bidang yang penuh cabaran tetapi menyeronokkan. Sudah enam tahun Jehan memahatkan diri dalam industri dan nampaknya segala kesukaran itu berbayar apabila ada pihak yang nampak bakatnya.
Namun begitu ada suara-suara sumbang yang mengatakan pelakon yang popular dengan siri drama Manjalara itu mula meletakkan harga yang tinggi apabila ditawarkan berlakon.
Inilah realiti yang berlaku hari ini. Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Jehan tidak berkecil hati sebaliknya mahu semua pihak faham dengan usaha yang dilakukan olehnya selama ini.
"Sukar untuk seseorang artis meletakkan kadar bayaran. Semua ini bergantung kepada skrip, pengarah dan produksi itu sendiri dalam menentukan harga. Ada yang bayar lebih dan ada juga yang meminta diturunkan harga.
"Pada saya selagi mutu lakonan saya baik dan ditambah pula dengan pengalaman yang ada mengapa perlu saya menurunkan harga? Sepatutnya harga saya semakin meningkat dan bukannya menurun.
"Saya juga tak mahu orang lain mengambil kesempatan dan pijak kepala saya," luah Jehan ketika ditemui semasa sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia.
Pelakon yang semakin meningkat, Fouziah Ghous pula semakin mendapat perhatian pengarah kebelakangan ini. Gadis yang berusia 27 tahun ini sudah membintangi banyak filem di bawah arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen.
Akui Fouziah, dia sememangnya berterima kasih kepada pengarah itu yang telah membuka jalan dan mempercayai bakat yang ada dalam dirinya.
Tentu sekali ramai peminat yang menyaksikan filem Sifu & Tongga dapat melihat sendiri watak 'kurang cerdik' yang dibawakan olehnya, Fouziah langsung tidak kisah dan berbangga membawakan watak sedemikian.
"Saya tak kisah orang melihat saya dalam keadaan yang buruk. Biarpun ada yang mengutuk saya, janji saya memberikan yang terbaik kepada pengarah. Saya lebih gembira dengan watak tersebut selagi ia memberikan impak kepada peminat dan kerjaya lakonan saya.
"Sehingga kini saya sudah menolak tiga tawaran berlakon filem. Saya tak mahu terlalu mengejar peluang berlakon sehingga peminat muak. Apa yang lebih penting ialah kualiti berbanding dengan kuantiti," kata Fouziah yang turut sama berlakon dalam drama Kala Hati ini.
Kata pelakon ini lagi, biarpun orang melihat dunia seni penuh dengan keseronokan dan kemewahan, dia tidak mahu terlalu yakin dengan apa yang dikecapinya kini. Sebaliknya Fouziah lebih suka mengambil sikap berhati-hati dalam merencanakan perjalanan hidupnya.
Untuk itu Fouziah juga merancang untuk menceburi dunia perniagaan sebagai langkah berjaga-jaga demi menjamin masa depannya nanti.
"Saya sudahpun merancang pelbagai perniagaan bersama keluarga. Tapi buat masa ini biarlah saya rahsiakan dahulu semua itu," katanya.
Lain pula bagi pelakon yang berusia 25 tahun ini. Biarpun masih muda, Hafiz seboleh-bolehnya mahu menimba seberapa banyak pengalaman sama ada sebagai pelakon mahupun sebagai kru di belakang tabir.
Kata AJK Biro Muda, Persatuan Karyawan ini selama melibatkan diri dalam dunia seni hampir semua pekerjaan sudah dilakukan termasuklah menjadi pembancuh air semasa terlibat dalam penggambaran sebelum ini.
"Saya berlakon sejak tahun 2001 lagi. Sehingga kini banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang tempoh itu terutama apabila terlibat dalam beberapa buah filem sebelum ini.
"Walaupun kurang dikenali berbanding dengan artis yang lain, saya langsung tidak berkecil hati. Biarlah peminat yang menilai sendiri mutu lakonan saya. Untuk apa saya mencipta kontroversi untuk terus popular seperti orang lain" kata Hafiz yang juga berbakat dalam penulisan lirik lagu.
Dalam merencanakan perjalanan seninya, Hafiz lebih selesa bernaung di bawah pengurusan 8Unit Sdn. Bhd. yang menguruskan artis-artis naungan Media Prima dalam merencanakan kerjayanya.
"Namun saya tidak boleh terus berpuas hari dengan perancangan yang diaturkan untuk saya sebaliknya saya juga akan terus berusaha untuk menjadi anak seni serba boleh," katanya.
Skrip 7707
Sifu & Tongga
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Fouziah Ghous
Jehan Miskin
Mohd Hafiz