Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
![]() |
SERIUS... Carmen Soo (kiri) bersama Hannah Tan ketika sedang berlatih aksi lasak sewaktu penggambaran filem My Spy. |
NAMA Carmen Soo bukanlah satu nama yang asing dan mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dia memulakan langkahnya dalam bidang seni sebagai seorang model. Seawal usia 17 tahun, dia sudah memulakan kerjaya seninya tetapi bergelar pelakon, dia boleh dikira sebagai orang baru apabila menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak lima tahun lalu. Cuma, dua tahun kebelakangan ini sahaja, Carmen semakin serius dengan dunia lakonan dan mula mencuri perhatian sekali gus namanya semakin mekar di persada seni tanah air.
Antara filem-filem lakonannya adalah seperti Visits: Hungry Ghost Anthology, Baik Punya Cilok, 3rd Generation dan Sayang You Can Dance. Selain itu, dia juga pernah membintangi drama bersiri Ghost musim pertama dan drama bersiri bahasa Inggeris, The Pupil yang ditayangkan di Singapura. "Saya akui saya masih baru dalam bidang lakonan dan saya percaya ramai yang belum menyedari kehadiran saya sebagai seorang pelakon. "Tetapi, saya tidak melihat itu sebagai satu halangan sebaliknya saya mahu terus berusaha memantapkan diri saya untuk bergelar seorang pelakon yang disegani satu hari nanti," kata Carmen dalam nada penuh rendah diri sewaktu ditemui baru-baru ini. Mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Carmen pernah mencatatkan kejayaan di Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) apabila memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi filem 3rd Generation.
Sememangnya kemenangannya ketika itu cukup mengejutkan apabila dia berjaya menewaskan Liyana Jasmay yang disebut-sebut bakal merangkul gelaran itu. Kejayaan itu juga telah berjaya mencatatkan nama Carmen sebaris dengan Nancie Foo, Esther Lim dan terbaru, Jaclyn Victor yang merupakan pelakon bukan Melayu yang menerima pengiktirafan serupa. Biarpun bakatnya sudah diiktiraf, tapi bagi Carmen ia sebenarnya tidak banyak mengubah hidupnya kerana masih ada halangan untuknya menonjolkan bakatnya kepada masyarakat. "Skrip dan watak yang sering saya terima sering kali melambangkan perwatakan serta personaliti diri saya yang sebenar dan mungkin itu juga merupakan satu halangan untuk penerbit memberikan watak yang sesuai buat saya. "Tetapi, saya percaya stigma itu boleh dihapuskan sedikit demi sedikit dan apa yang pasti, ia memerlukan masa yang panjang untuk mengubah senario itu," ujarnya lagi.
Dia juga turut memberi contoh kepada sahabatnya, Sharifah Amani yang mengalami masalah yang sama apabila kurang mendapat watak dan skrip yang benar-benar bagus biarpun pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia. Saat ditembak dengan soalan adakah memenangi anugerah merupakan tiket untuk menjadi seorang yang demanding, dengan tenang Carmen memberikan hujahnya. Jelas Carmen, ada kalanya memang wajar seseorang pelakon yang memenangi anugerah itu perlu bersikap demikian demi kebaikan kariernya. "Memang kedengaran agak klise tetapi itulah hakikatnya. Saya sendiri berpeluang berbuat demikian tetapi bukanlah secara total. "Apa yang saya lakukan adalah untuk melihat sama ada tawaran itu sesuai dengan saya atau tidak. "Kerana saya berpendapat, industri kita kecil dan kalau kita mahu terlalu demanding pun, tidak boleh juga tetapi biarlah kena pada tempatnya," kata Carmen yang sebenarnya fasih berbahasa Melayu.
Jika ada yang tidak tahu, Carmen sebenarnya cukup popular di Filipina lantaran lakonannya dalam drama lipur lara (soap opera), A Time Of Us yang mendapat sambutan hangat di sana. Apatah lagi, dalam drama bersiri itu dia digandingkan dengan pelakon kacak Jericho Rosales yang sememangnya cukup popular bukan sahaja di Filipina tetap juga di negara ini. Carmen hanya mampu tersenyum sendiri apabila mengenangkan pengalaman indah sewaktu membintangi drama bersiri itu yang mencatatkan jumlah penonton yang ditinggi di Filipina sepanjang hampir empat bulan bersiaran. "Saya akui ia adalah pengalaman yang cukup bagus dan berharga buat saya kerana ia merupakan penglibatan kali pertama untuk projek sebesar itu," katanya tentang drama lipur lara itu yang berjaya dicalonkan dalam kategori Telenovela Terbaik dalam International Emmy Awards yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat, bulan lalu.
Berbicara tentang filem My Spy pula, sebetulnya filem lakonannya itu merupakan kolaborasi keduanya bersama Afdlin Shauki selaku pengarah. Dan, apabila diajak berbicara tentang filem berkenaan, Carmen tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya dengan filem yang mula ditayangkan pada 3 Disember lalu itu. Carmen menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah kerana sekali lagi dapat berlakon di bawah arahan Afdlin dan apa yang penting baginya adalah keserasian. Dia juga berpendapat Afdlin seorang yang cukup bijak dan tidak lokek mencurahkan ilmu kepada orang baru sepertinya dan begitu juga dengan barisan pelakon yang lain. Apatah lagi, dia berkesempatan melakukan aksi stunt sendiri untuk beberapa adegan dan ternyata ia dipersetujui oleh Afdlin.
"Pada mulanya, pihak produksi mahu pelakon stunt yang dijemput khas dari Thailand untuk melakukan semua aksi stunt. "Tetapi saya memberitahu saya mahu melakukannya sendiri untuk babak yang tidak membahayakan kerana saya mahu menimba pengalaman baru sebagai seorang aktres. "Semuanya berjalan dengan lancar sewaktu penggambaran dan saya puas hati dengan apa yang telah saya lakukan," katanya yang memegang watak antagonis bersama Amber dalam filem berkenaan. Menariknya, dalam filem terbitan KRU Studios itu, hanya tiga pelakon wanita sahaja yang ditampilkan iaitu Carmen, Daphne Iking dan Hannah Tan. Dalam filem itu juga, Carmen dan Daphne merupakan pasangan kembarnya bernama Jade yang memiliki personaliti yang berbeza.
Selain mereka berdua, filem aksi komedi diterajui oleh AC Mizal dan Harun Salim Bachik serta beberapa pelakon baru dan lama yang membuat kemunculan istimewa seperti Ridzuan Hashim, Mamat Khalid, Que Haidar, Jalil Hamid, Adlin Aman Ramlie, Aziz M. Osman dan ramai lagi. "Filem ini juga melambangkan gagasan 1Malaysia seperti mana yang dilaung-laungkan ketika ini dan bagi mereka yang belum berkesempatan menonton filem ini, segeralah ke pawagam berhampiran sebelum terlewat," jelas Carmen sambil mempromosikan filem tersebut.
Carmen Soo
Liyana Jasmay
Nancie Foo1
Esther Lim
Liyana Jasmay
Sharifah Amani
Afdlin Shauki
Amber Chia
Hannah Tan
Daphne Iking
AC Mizal
Harun Salim Bachik
Ridzuan Hashim
Mamat Khalid
Que Haidar
Jalil Hamid
Adlin Aman Ramlie
Aziz M.Osman
My Spy
Baik Punya Cilok
The 3rd Generation
Sayang You Can Dance