Oleh Habsah Dinin
PADA 1960, Yazid menyertai kumpulan pertama meneroka tanah rancangan Felda di Lurah Bilut. Yazid terpaksa menghadapi pelbagai cabaran apabila sahabatnya, Rosli mati dihempap pokok, rumah didiami keluarganya ranap dipukul ribut, anak bongsunya Yamin, maut dibaham harimau.
Pada masa sama, Yazid mendapat tahu ada peneroka yang berkomplot menjual semula baja subsidi yang diberikan kerajaan bagi tujuan mengaut keuntungan jangka pendek.
Masalah datang bertimpa apabila Yazid juga difitnah sahabatnya Hamzah yang mengatakan kononnya dialah yang menjual baja subsidi berkenaan secara haram.
Mereka terpaksa berdepan dengan bahaya apabila masih ada saki-baki komunis yang menghuni kawasan hutan itu berhampiran tanah rancangannya.
Berkat kecekalan dan semangat tidak putus asa, kejayaan mula hadir dalam hidupnya apabila anaknya, Yusof, menjadi satu-satunya anak Felda yang melanjutkan pelajaran di Brussels dalam jurusan pentadbiran.
Tetapi di Brussels, Yusof menjalinkan hubungan cinta dengan rakan sekuliahnya Khaty, anak peguam terkenal tetapi mendapat tentangan keluarga Khaty kerana faktor darjat.
Pulang ke tanah air, Yusof kemudian berkahwin dengan Saleha, jururawat yang pernah menjaga bapanya di hospital. Hasil perkahwinan itu, mereka dianugerahkan dua anak perempuan kembar, Maimunah dan Maimun.
Pada 2006, seorang pembuat filem dokumentari dari Filipina, Gabriel tiba di Malaysia untuk mengumpul maklumat sambil melihat sendiri perkembangan dan kemajuan Felda.
Kisah kejayaan Felda sebagai pemangkin ekonomi rakyat Bumiputera dan Malaysia memberi inspirasi kepadanya untuk menerbitkan sebuah filem dokumentari mengenainya.
Di Kuala Lumpur, Gabriel bertemu Yusof dan mereka rupa-rupanya rakan sekuliah ketika menuntut di Brussels pada 1976. Yusof, kini anak peneroka yang berjaya dan juga eksekutif kanan di Felda.
Gabriel melihat Yazid dan Yusof sebagai simbol dua era - permulaan dan perkembangan Felda, yang wajar dijadikan teladan. Susunan dan garapan filem Bilut arahan pengarah Badaruddin Azmi (Bade) bakal menaikkan lagi nama Felda pada kaca mata tempatan dan antarabangsa.
Bilut adalah filem hasil kerja mereka yang berpengalaman, dijangka menggegarkan pawagam pada tahun ini, kebetulan pula dengan hadirnya Mawi dan popularnya Felda, filem Bilut arahan Bade Azmi muncul mencuri perhatian secara kebetulan.
Filem Bilut yang menggunakan latar belakang Felda tahun 50-an hingga 70-an ini ditulis skripnya Tengku Adrian Tuan Ismail dengan membariskan pelakon terkenal antaranya, Rosyam Nor, Que Haidar, Jerrico Rosales, Siti Shahrizah, Ezlynn, Rushdi Ramli, Aqasha dan Adlin Aman Ramlie. Ia bakal ditayangkan tahun ini.
Kerja penggambaran dilakukan di Negeri Sembilan, Kelantan dan Brussels (Belgium) selama lebih dua bulan. Penerbitan filem Bilut sebenarnya mandat Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor kepada Mega Wajasinar Sdn Bhd, milik produser dan dramatis veteran Khatijah Abu Hassan.
Dr Mohd Yusof mengakui Bilut adalah filem yang dihasilkan khas bersempena ulang tahun ke-50 Felda yang bakal disambut dengan meriah bulan Julai ini.
"Daripada pengamatan saya, penghasilan sesebuah filem bukan mudah dan memerlukan komitmen tinggi. Saya juga yakin lakonan dapat mengubah pemikiran masyarakat," katanya.
Kos filem melebihi RM3 juta kerana jumlah ini diperlukan untuk membina set perkampungan Felda di Lurah Bilut.
"Ada babak ribut taufan, banjir malah babak harimau mengganas dan membaham anak peneroka," tambahnya.