Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

26 Mac 2008 : Berita Harian

Berkorban Demi Akhirat

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


Vanida kerja keras untuk hidupkan watak Nurin Amira

DARIPADA hampir 20 judul yang pernah dilakonkan wanita berbakat ini, watak Nurin Amira dalam filem Akhirat diakui Vanidah Imran antara peranan yang selama ini dicari-cari.

Melakonkan watak isteri yang menderita dijangkiti Aids, nyata memberikan kepuasan tersendiri buat Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 ini.

Bukan hanya dia perlu mengurangkan berat badan, malah Vanidah sendiri berasa beruntung apabila dia 'dipaksa' bekerja keras untuk menjayakan watak berkenaan.

"Ketika melakonkan watak Mira pada tahun lalu, saya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram. Saya menjalani latihan bersama seorang jurulatih, bagi mendapatkan berat yang sempurna untuk watak terbabit. Jika saya mengurangkan berat badan secara sendirian, belum tentu saya mendapat bentuk yang dikehendaki," katanya.

Lebih daripada itu, Vanidah mengaku, dia banyak melakukan kajian dengan merapati kalangan wanita yang mengalami nasib serupa watak lakonannya.

"Malah, ketika penggambaran dijalankan, ada mangsa Aids yang saya kenali meninggal dunia," kata ibu kepada dua anak ini, bercerita mengenai pengalamannya menjayakan filem terbitan Sri Saheb Production Sdn Bhd, yang sudah mula ditayangkan 20 Mac lalu.

Daripada maklumat yang diperoleh, Vanidah menegaskan, golongan wanita sering kali dipersalahkan apabila mereka disahkan menghidap penyakit berkenaan, walaupun jangkitan itu bukan berpunca daripada mereka.

"Saya berbual dengan ramai wanita yang mengalami nasib malang ini, dan ramai juga di kalangan mereka yang mendapat penyakit itu daripada suami. Malangnya, mereka pula yang disisih keluarga dan saudara.

"Lalu, menjadi harapan saya agar filem Akhirat ini setidak-tidaknya akan mengubah pandangan masya

rakat terhadap mangsa Aids. Biarlah masyarakat membuka mata terhadap hakikat sebenar penyakit ini dan pesakitnya. Kadangkala, apa yang berlaku terhadap mangsa bukan atas kehendak mereka.

"Penghidap HIV tidak ubah seperti insan lain juga. Mereka mempunyai jangka hayat yang panjang, seandainya mengikuti cara hidup yang sihat. Mangsa juga memerlukan sokongan saudara serta keluarga pada saat-saat yang menekankan perasaan. Keadaan itulah yang cuba Akhirat tonjolkan," ujar Vanidah yang cukup aktif membintangi beberapa lagi judul sejak akhir tahun lalu.

Pelakon ini berasa cukup bertuah apabila maklumat mengenai penyakit itu, serta bagaimana keadaan penghidapnya dapat dipungut olehnya sendiri apabila sebahagian mangsa HIV/Aids sedia berkongsi pengetahuan berguna berkenaan ketika dia menghadiri persidangan mengenai wabak terbabit, sebelum penggambaran bermula.

Akhirat antara lain menceritakan bagaimana nasib seorang isteri apabila dia mendapati dirinya dijangkiti penyakit yang menggerunkan itu. Dia cuba merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan suami dan keluarga. Konflik menimpa apabila dia cuba mengelak daripada menunaikan tanggungjawab batin terhadap suami, Amran (lakonan Tony Eusoff). Sebaliknya, Mira cuba pula menyatukan Amran dengan adiknya, Noni, (Nabila Huda).

TERAJU UTAMA: Tony Eusoff, Vanidah dan Adi Putra menggalas watak penting dalam Akhirat.

Turut membintangi filem arahan Syed Mohamed Benyahya ini ialah Adi Putra dan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Bercerita mengenai pencalonannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 pula, Vanidah berkata, dia amat berhutang budi kepada produksi filem The Red Kebaya dan rancangan realiti Sehati Berdansa yang banyak menjulang kembali namanya dalam arena seni.

"Begitupun, saya tidak pernah menjangka untuk dicalonkan untuk sehingga ke peringkat akhir ABPBH kali ini. Memang saya sedar, nama saya turut disenarai pada peringkat awal, tetapi tidak pula menyangka untuk sampai ke tahap ini. Lantas, saya tidak memikirkan sangat fasal kemenangan kerana bagi saya, ABPBH adalah lebih kepada acara yang mengiktiraf pembabitan peminat dalam industri hiburan kita. ABPBH memberikan ruang untuk mereka menunjukkan sokongan kepada selebriti kesukaan masing-masing.

"Saya pula, pasti akan hadir memberikan sokongan pada acara berkenaan, 30 Mac ini, dengan mengenakan gaun rekaan Shamsu dari Margaret McCallum. Sudah dua acara (FFM20 dan Anugerah Skrin ke-9) saya mengenakan pakaian rekaan mereka, dan dua kali itu jugalah rezeki menyebelahi saya apabila dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik," katanya sambil tersenyum penuh makna.

Shamsu ialah pereka yang menyediakan kostum menarik untuk filem The Red Kebaya.

Filem lakonan Vanidah Imran
2008 : Stamp
2008 : Histeria
2008 : Papadom
2008 : Sepi
2008 : Akhirat
2007 : Budak Lapok
2007 : Cinta
2007 : The Red Kebaya
2006 : Main-Main Cinta
2004 : Tujuh Perhentian
2004 : Makar
2004 : Hingga Hujung Nyawa
2003 : Mami Jarum Junior
2002 : Mami Jarum
2002 : KL Menjerit
1999 : Perempuan Melayu Terakhir
1998 : Badai Mentera
1996 : Cinta Metropolitan
1995 : Putera

Solekan: Fiza Zainuddin (012-2217031)
Pakaian: Butik D'Rias, Great Eastern Mall

 

Profil Berkaitan

 Akhirat    Vanidah Imran  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD