PERKATAAN ‘berani’ sesuai diberi kepada pengarah filem ini, Syed Mohamed Benyahya. Berpegang kepada kata-katanya, iaitu ‘seorang pengarah perlu berani untuk tampil berkarya’, tidak hairan jika filem terbaru arahannya iaitu Akhirat menampilkan adegan panas.
Namun, bagi penonton yang belum menonton filem ini, adegan panas itu bukan berniat mencipta kontroversi, sebaliknya babak berkenaan diperlukan bagi menguatkan jalan ceritanya.
Menampilkan Vanidah Imran dan Tony Eusof sebagai pelakon utamanya menguatkan lagi cerita ini. Vanidah yang memegang watak Nurin Amira, pesakit HIV, manakala Tony sebagai Amran, iaitu suami Nurin, ‘bekerjasama’ dengan baik.
Lakonan mantap mereka nyata memberi kesan terhadap filem ini, selain diperkuatkan lagi dengan watak Noni (Nabila Huda) dan Ady Putra sebagai Ari.
Shotnya juga memuaskan. Sedikit sebanyak pengarahnya membawa kelainan terhadap teknik penggambarannya yang tidak terlalu statik. Sinematografi filem ini juga masih boleh dibanggakan.
Walaupun Akhirat bukan filem aksi, pengarahnya turut menyelitkan babak begini. Sekalipun tidak seberapa, hasilnya mengagumkan. Pendek kata, filem ini berbaloi dengan perbelanjaan keseluruhannya yang mencecah RM2.3 juta.
Akhirat dipersembahkan dalam bentuk kehidupan yang dilalui masyarakat moden dengan mengetengahkan watak Nurin Amira, wanita suci yang terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, lebih-lebih lagi dia dijangkiti virus HIV.
Enggan suaminya tahu apa yang dilaluinya, Nurin merahsiakan perkara itu, malah sering menolak ajakan suaminya untuk bersama. Filem ini juga memaparkan kisah kesetiaan dan kasih sayang yang terjalin antara sepasang suami isteri.
Lebih menarik, Akhirat turut meninggalkan mesej mendalam kepada penonton, malah mengetengahkan kehidupan sebenar seorang pesakit Aids.
Data:
FILEM: Akhirat
PENGARAH: Syed Mohamed Benyahya
PELAKON: Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda, Ady Putra dan Jins Shamsudin
GENRE: Drama / Romantik
TAYANGAN: 20 Mac 2008
ULASAN: Firdaus Sahat