Oleh Hartati Hassan Basri dan Wan Asrudi Wan Hasan
KELANTANGANNYA memperjuangkan filem berkonsep seni menjadikan insan bernama Dr Anuar Nor Arai, 66, seorang tokoh yang cukup dihormati. Sebagai menyahut cabaran bagi membuktikan apa yang dikatakan itu bukan sekadar kata-kata kritikan, beliau membuktikan kesungguhannya menghasilkan drama dan filem seni. Filem berdasarkan skrip, lakon layar dan arahan Dr Anuar itu membariskan pelakon Zack Idris, Erma Fatima, Wafa Abdul Kadir, Datuk Jalaludin Hassan, Omar Rojik (Allahyarham) dan M Amin (Allahyarham) bakal dipertontonkan kepada umum apabila UM bersedia mengikut durasi ditetapkan panggung dan filem ini menanti giliran untuk ditayangkan.
Turut bertungkus-lumus menyiapkan filem itu, Mior Hashim Manap sebagai penyunting, Jamal Maarif (pengarah fotografi) dan Din Osman (penggubah skor muzik). Semua itu sudah tiada ertinya bagi Dr Anuar apabila pergi buat selama-lamanya kelmarin (20 Januari), jam 5.25 petang. Arwah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Selangor di sisi isteri, Zahrah Ibrahim, 66, serta dua anaknya, Zuraira, 38 dan Ifa Mutiara, 36, kerana radang paru-paru. Arwah yang mempunyai sembilan cucu, mempunyai seorang lagi anak perempuan, Mazura, 39, yang menuntut di New Zealand. Anak kedua, Zuraira berkata, bapanya mula mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Selangor, Shah Alam sejak Selasa lalu. Selepas menjalani pemeriksaan bapa ditahan di wad untuk rawatan lanjutan. Arwah tidak pernah mengalami penyakit yang serius walaupun gigih berkerja.
"Bapa berkelakuan seperti biasa dan tiada tanda-tanda pelik. Cuma dia memaklumkan sedikit kepenatan selepas pulang daripada mengadakan mesyuarat di Melaka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 19, Shah Alam, semalam. Zuraira bangga kerana bapanya sangat meminati tugas sebagai pensyarah dan menulis skrip. Biarpun tegas dengan pendiriannya, dia seorang yang dikagumi dan disenangi ramai kenalan termasuk pelajarya. "Bapa mula mengajar sejak pulang ke tanah air sekitar 1983. Dia juga tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada kepada generasi muda.
"Arwah juga mempunyai koleksi skrip yang banyak dan ada di antaranya masih dalam pembikinan dan ada di antaranya sudah diberikan kepada beberapa pengarah tempatan," katanya. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Zuhur, semalam. Antara yang menziarah jenazahnya ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Senator Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsudin; U Wei Shaari; Prof Hatta Azad Khan; Mahadi J Murat, Mior Hashim Manap dan Prof Madya A Razak Mohideen. Rakan seperjuangannya, Prof Hatta Azad Khan yang mengenali arwah selama 30 tahun berkata, dunia seni kehilangan aktivis filem, ahli akademik dan seorang yang tidak mudah berkompromi terhadap karyanya. Dia turut melalui pengalaman bekerjasama dengan arwah ketika bertugas di Istana Budaya beberapa tahun lalu.
"Dia sangat menitikberatkan soal kesenian dalam setiap karyanya. Malah komited dalam bidang tugasnya dan tidak berkompromi mengenai nilai estetika. Sikap dan pendiriannya wajar menjadi contoh kepada generasi muda hari ini. Malah, kelantangan meluahkan pendapat cukup membuatkan beliau dikenali ramai. "Beliau juga pernah bekerja di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dipimpin saya sekarang ini. Beberapa bulan lalu kami berjumpa dan dia memaklumkan minat dan kesudian untuk mencurahkan pengalaman di FACT sekali lagi. "Kami juga sudah bersetuju untuk mengambil beliau untuk tugas mendidik kepada generasi muda di fakulti. Bagaimanapun hasrat berkenaan tidak kesampaian," katanya.
Pelakon Safura Yaacob yang pernah bekerja dengan arwah ketika pementasan Ronggeng Rokiah pada Mei 2003, menyifatkan Dr Anuar sebagai seorang yang tegas dan sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Safura yang berlakon bersama suami, Sahronizam dalam teater itu berkata, arwah sentiasa tekankan, 'dalam apa pun yang kita lakukan perlu belajar dan mendalami ilmu mengenainya seperti lakonan dan tiada istilah puas sebaliknya terus belajar dan belajar lagi'. Dalam bekerja, beliau serius, tetapi pada waktu sama memberi galakan supaya bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik.
"Saya dapat tahu penyakit dihidapinya dan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Selangor, tetapi tidak dapat pergi menziarahinya kerana masih dalam pantang. Bagaimanapun, suami saya sempat bertemu dengannya dan bercakap dengannya dua hari lalu. "Saya difahamkan keadaannya stabil ketika itu, tetapi ada masalah buah pinggang dan terkejut apabila dimaklumkan berita kematiannya petang semalam (Rabu). Pemergiannya satu kehilangan cukup besar kepada dunia filem dan drama kita," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata Safura, kali terakhir bertemu arwah kira-kira tiga tahun lalu di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan sempat mengusiknya mengatakan berat badannya naik. Penerbit Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang juga penulis skrip terkenal, Mohd Noor Kadir tertarik dengan cerita Ronggeng Rokiah hingga diangkat ke televisyen pada awal 2004. Baginya, Dr Anuar adalah seniman yang mempunyai bahasa filem yang cukup tinggi, tetapi seolah-olah dipinggirkan.
Drama diarahkan Dr Anuar dan dijayakan Fatimah Sheikh Omar, Khalid Mohd Noor, Yahaya Abdul Hamid, Patrick Lim, Zack KOOL, Nanny Lee dan Khir Mohd Noor, mengangkat persoalan Melayu yang teraba-raba pada 1950-an sebagai mimpi sosial, bersama simbolik wanita bernama Rokiah yang pandai menari ronggeng, joget dan tango. Dia tidak berpendidikan, tetapi cerdik dan naif serta tidak sedar dirinya juga pelacur.
Dr Anuar atau nama sebenarnya, Anuar Mohd. Nor @ Arai yang dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan 6 Ogos 1943 adalah anak Malaysia pertama mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari Universiti California Los Angeles, Amerika Syarikat dan bertugas lebih 20 tahun sebagai pensyarah bidang perfileman di UM. Beliau juga pernah bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan jawatan terakhir disandangnya ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Aswara.
Dr.Anuar Nor Arai
Zack Idris
Erma Fatima
Wafa
Datuk Jalaluddin Hasan
Omar Rojik
Meor Hashim Manap
Jamal Maarif
Zainuddin
Jins Shamsudin
U-Wei
Hatta Azad Khan
Dr Mahadi J Murat
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Safura
Mohd Noor Kadir
Artikel Terkini