Oleh Ramlah Zainal
PADA April ini, produser dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam bakal mencecah usia 56 tahun. Pada usia emasnya itu, Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd ini mengakui dia belum terfikir untuk bersara dalam bidang seni yang sudah sebati dengan dirinya lebih dua dekad lalu.
Akuinya, pada zaman muda dulu, memang dia boleh bekerja hingga jam 6 pagi setiap hari tapi sekarang tidak lagi. Yusof masih ingat, pada zaman kegemilangannya ketika mengarahkan filem Sembilu, dia boleh habiskan masa di lokasi penggambaran sehingga jam 7 pagi setiap hari. Namun, kata Yusof, buat masa ini, dia ingin memperlahankan aktiviti pengarahannya bagi memberi laluan pada anak bujangnya, Syamsul. Yusof juga lebih pentingkan ketenangan pada usianya yang bakal mencecah 60 tahun dalam tempoh empat tahun lagi. "Saya juga malu kalau orang kata saya masih muda pada usia sekarang. Jika nak diikutkan, pada usia sekarang, saya boleh berehat di rumah berdasarkan kedudukan ekonomi keluarga kami juga kukuh. Tapi sebagai anak seni yang sudah berkecimpung sekian lama dalam bidang seni, saya percaya perjuangan ini perlu diteruskan. "Saya akan teruskan selagi kesihatan mengizinkan dan ada kemampuan untuk terus berkarya, sekali gus memberi sumbangan di persada perfileman tanah air.
"Saya juga jarang menghadiri majlis pelancaran drama dan filem ketika ini. Malah, saya juga lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama cucu di rumah," katanya dalam pertemuan santai bersama Meja Hiburan, baru-baru ini. Hadir sama, isterinya, Datin Fatimah Ismail dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh. Kini, kata Yusof, sampai masanya, dia memberi peluang pada generasi muda untuk mengarah filem terutama pada dua anaknya, Syamsul dan Faizal.
"Saya tetap mengawasi kerja mereka dari belakang di lokasi penggambaran. Cuma sesekali saya akan turun gelanggang untuk melihat mereka bekerja. "Saya nampak Syamsul memang berbakat besar dalam bidang pengarahan dan minatnya juga pada filem generasi muda. Sebagai bapa yang berpengalaman luas dalam bidang perfileman, saya tetap memantau Syamsul dari belakang. "Saya bangga dengan pencapaiannya melalui tiga filem dihasilkan bermula KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan juga KL Drift 2 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
"Sekarang Syamsul sibuk di lokasi filem keempatnya, Khurafat. Selepas berjaya dengan filem aksi, Syamsul mahu mencuba bakat buat filem genre seram pula dan saya tetap beri peluang kepadanya. "Saya juga yakin dengan bakat Syamsul kerana pengarah muda, Ahmad Idham juga tidak pernah buat filem genre seram tapi dia berjaya menerusi filem Jangan Pandang Belakang terbitan MIG Production Sdn Bhd. Malah Syamsul berazam untuk buat tiga filem sekali gus tahun ini," katanya.
Berkongsi cerita perkembangan filem itu, Yusof berkata, selain mengarah, Syamsul juga membintangi filem ini bersama Liyana Jasmay yang menang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16), tahun lalu. Dalam Khurafat, Syamsul dan Liyana menjadi suami isteri berhadapan dengan gangguan orang ketiga yang mengamalkan ilmu hitam lakonan Sabrina Ali. Kata Yusof, dia dan isteri berdebar menanti 7 Februari ini kerana Syamsul mahu menjayakan penggambaran babak dia ditanam dalam kubur.
"Saya nasihatkan dia membawa ustaz untuk babak di tanah perkuburan sebagai langkah berjaga-jaga, maklumlah bimbang ada kejadian tidak diingini. Ini juga pengalaman pertama Syamsul buat filem genre seram dan majlis pelancarannya akan berlangsung di Restoran Haslam pada 11 Februari ini," katanya. Buat masa ini, kata Yusof, fokusnya adalah pada pembikinan skrip untuk projek filem terbitan Skop Productions dan akan membantu Syamsul dari segi pemilihan skrip yang bagus kemudian Syamsul dan pasukannya akan mengolah skrip berkenaan. "Jika saya selesa bekerja di pejabat, Syamsul dan kawan-kawannya pula akan bekerja di kedai mamak atau kedai kopi sehingga jam 5 pagi. Saya akur dengan cara generasi muda bekerja hari ini," katanya. Mengenai projek filem barunya pula, Yusof berkata, dia juga merancang buat filem baru yang juga arahannya bersama Syamsul, tetapi ia masih dalam perancangan.
Katanya, Skop juga masih terbabit dengan program TV seperti drama bersiri Gerak Khas yang genap usia 11 tahun pada April ini. Saya juga masih sambung kontrak dengan stesen RTM sehingga hujung tahun ini. Rating Gerak Khas juga memberansangkan iaitu mencecah RM1.5 juta. Untuk musim baru Gerak Khas juga, watak Detektif Lim direhatkan seketika.
Yusuf atau nama sebenarnya Mohd Yusof Md. Haslam Khan dilahirkan pada 24 April 1954 dan berasal dari Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Hasil perkongsian hidup dengan Fatimah, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Faizal, Mohd Syamsul, Nursyamin dan Mohd Syafiq.
Yusof mula berlakon sejak era 70-an. Antara filem, drama TV lakonan dan terbitannya ialah Permintaan Terakhir, Bukit Kepung, Penentuan, PJ, Remang-Remang Kota Raya, Roda-Roda Kota Raya, Wira Angkasa, Bayangan Maut, Pemburu Bayang, Sembilu , Sembilu 2, Maria Mariana, Bara, Gemilang, Pasrah dan Gerak Khas The Movie.
Syamsul Yusof
Dato' Yusof Haslam
Ahmad Idham
Liyana Jasmay
Sabrina Ali
Skop Production Sdn. Bhd.
MIG Production Sdn. Bhd.
Evolusi KL Drift 2
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Jangan Pandang Belakang
Permintaan Terakhir
Bukit Kepong
Penentuan
Pemburu Bayang
Bayangan Maut
Sembilu
Sembilu 2
Bara
Gemilang
Pasrah
Gerak Khas The Movie