Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Produser gembira kritikan negatif tidak jejas minat penonton filem terbitan Sri Saheb Production
![]() |
| LAKONAN MANTAP: Sebahagian babak dapat disaksikan menerusi filem Akhirat |
TIADA khabar lebih menggembirakan buat produser S Baldev Singh apabila filem pertama terbitan Sri Saheb Production Sdn Bhd, Akhirat, mendapat sambutan agak menggalakkan setelah ia mencatat kutipan kira-kira RM1 juta dalam masa lima hari tayangan.
Walaupun kritikan yang diterima filem lakonan Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda dan Adi Putra itu mendapat kritikan yang tidak menyebelahinya, tetapi berdasar kutipan yang diumumkan oleh pihak Sri Saheb, nyata filem itu tetap ada pengikutnya.
Kata Baldev, biarpun agak perlahan, namun filem arahan Syed Mohamed Benyahya itu mula mendapat perhatian ramai beberapa hari selepas ia mula ditayangkan, 20 Mac lalu. Pada minggu lalu, filem yang termasuk dalam genre drama itu berada pada kedudukan kesembilan carta pecah panggung negara ini.
Berkongsi rahsia, Baldev memberitahu, Akhirat sebenarnya dibuat berdasarkan kisah benar seorang wanita yang dihinggapi HIV/Aids. Agak menyedihkan, apabila wanita yang digarap sebagai Nurin Amira meninggal dunia pada November tahun lalu.
"Dia meninggal dunia selepas kami menamatkan penggambaran. Sayang sekali dia tidak sempat menonton filem Akhirat. Dia hanya sempat menonton produk yang belum siap sepenuhnya.
"Cara dia meninggal pun sebenarnya lebih kurang sama dengan gambaran yang dipaparkan dalam filem ini. Bahkan, suaminya juga enggan berkahwin lain selepas pemergian wanita terbabit. Namun begitu, biarlah kami simpan identiti si empunya diri demi kebaikan bersama," kata Baldev.
Baginya, pengorbanan suami kepada wanita itu ialah perlambangan bagi sebuah cinta yang sejati seperti yang diungkapkan dalam filem berkenaan.
Produser ini turut mendedahkan, betapa filem itu sebenarnya mempunyai durasi asal selama dua jam setengah.
"Jika boleh, biarlah panjang filem itu sampai lima jam, barulah semuanya dapat dipaparkan. Namun, kita terpaksa memendekkan bagi mengikut kebiasaan durasi tayangan filem lain. Selepas dipotong-potong, tentulah ada kekurangannya. Kerana itu penonton dapat melihat, sesetengah babak kelihatan agak laju perjalanannya," ujar penerbit ini.
Begitupun, penonton mungkin masih berpeluang menonton versi asal selama dua jam setengah itu apabila pihak Sri Saheb bercadang untuk menerbitkan filem berkenaan dalam bentuk DVD.
Selain itu, Akhirat juga berkemungkinan besar ditayangkan di Iran dan India apabila hak siaran di TV satelit, TV percuma dan perisian diberikan kepada pengedar dua negara terbabit.
Akhirat juga kini berada pada peringkat terakhir perbincangan tayangannya di Singapura, manakala tayangan di Indonesia dan Brunei pula dijangka bermula April ini.