ADA bakat tetapi tidak ada tempat untuk mencuba? Syarikat produksi filem Layar Dimensi (M) Sdn Bhd sedang mencari bakat baru diambil berlakon filem baru terbitan mereka, Baik Giler yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.
"Kami mahu watak komedi dan serius bagi filem itu. Melalui sesi uji bakat, kami akan nilai lakonan dan bakat dimiliki mereka. "Setakat ini, kami masih mencari seorang pelakon lelaki Cina. Kami sudah pun mendapat pelakon India untuk watak dalam filem itu. Sesi uji bakat mula dibuka bermula semalam, jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari. Tarikh tutup adalah 23 Januari.
"Kami memerlukan wanita dan lelaki berumur antara 19 hingga 40 tahun untuk filem itu. Kami mahu seberapa ramai boleh. Lebih banyak lebih bagus kerana saya rasa ada antara mereka berpotensi tetapi bakat mereka tidak pernah dicungkil. "Sekalipun sesi dibuka semalam, kami terima sambutan menggalakkan terutamanya golongan muda daripada sekitar Lembah Klang. Lebih 17 lelaki dan wanita menunjukkan minat menghadiri uji bakat untuk Baik Giler," katanya.
Pada masa sama, jika mereka menyerlah, pelakon terbabit berkemungkinan besar diserap ke dalam drama terbitan syarikat itu pada masa depan. Sesiapa berminat mengikuti uji bakat itu, mereka boleh datang ke Layar Dimensi (M) Sdn Bhd di No 55-M, Jalan Pandan Indah, 1/23, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur. Penggambaran filem genre komedi arahan Manchi atau Mansor Akob itu dijangka bermula 23 Mac depan.
Penggambaran filem itu memakan tempoh selama 20 hari. "Setakat ini, antara teraju membintangi filem itu adalah Nabil Raja Lawak, Farawahida dan Awie Wings. Kami masih dalam peringkat perbincangan bersama mereka," katanya.
Artikel Terkini