Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

30 Jun 2003 : Berita Harian

Babak Urut Yusry, Opie Dalam MC2 Dipotong

By Akmal Abdullah

FILEM terbaru Kuasatek Pictures, Mr Cinderella 2 (MC2) yang menjadi penantian peminat pasangan pengantin popular, Erra Fazira dan Yusry KRU, dijangka bakal menemui penonton pada musim Aidilfitri akan datang, bermula penghujung November ini.

Ia sekali gus bakal bersaing dengan filem komedi, Jutawan Fakir terbitan Metrowealth Movies Productions (MMP) yang dikatakan turut membuat permohonan tayangan dalam tempoh itu.

Permohonan MC2 sudah dihantar kepada Unit Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selepas Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) meluluskannya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, produser MC2, Mohd Noor Kadir, terpaksa akur pada arahan LPF yang mengarahkan pemotongan babak dalam filem itu yang disifatkan adanya gambaran perlakuan homoseksual antara dua watak lelaki menerusi lakonan Yusry dan Opie Zami.

"Kuasatek diarah membuang babak yang disifatkan kritikal oleh LPF iaitu aksi lakonan Opie yang sedang mengurut Yusry. Dalam adegan itu, adanya unsur seperti berlakunya perlakuan seks di luar tabiie. Sebenarnya ia dibuat begitu bagi menyokong insiden cerita filem ini bahawa mereka difitnah.

"Dalam cerita MC2, memang ada konflik watak Yusry dituduh mempunyaiskandal homoseks hingga menyebabkan hubungannya dengan Puteri Megawati lakonan Erra bergoncang. Babak Opie mengurut Yusry itu sekadar untuk memperkuat tuduhan fitnah yang kononnya mereka melakukan liwat tetapi bukan sebenarnya berlaku.

"Saya akui memang nampak sedikit lucah dan kita akur pada arahan LPF. Apapun saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana meluluskan babak lain dalam filem ini," kata penerbitnya, Mohd Noor Kadir kepada Persada Seni, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya sudah menghantar permohonan tayangan kepada Finas menerusi Wajib Tayang kerana mahu ia ditayangkan pada musim Aidilfitri meskipun menyedari ada pihak lain turut berminat pada tempoh tarikh berkenaan.

"Apapun, kita harap filem ini mampu mendapat sambutan baik," katanya yang sebelum ini melabelkan MC2 sebagai filem cereka Melayu blockbuster dari segi pembikinan dan barisan pelakonnnya.

MC2 arahan Din CJ diterbitkan menerusi kerjasama Skop Productions membabitkan bajet RM1.6 juta termasuk promosi. Ia turut menjalani penggambaran di New Zealand pada Februari lalu selama dua minggu, selain lokasinya di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Selain Yusry, Erra dan Opie, filem itu turut dibintangi Anita Sarawak, Maya Karin, Rashid Salleh, Helmi The Gimmick, M Rajoli, Datuk Ismail Hutson dan Datuk Jamali Shadat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor berkata, projek filem kerjasama dengan Anita yang berjudul Kismet terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sekadar menyifatkan ia dibatalkan atas kehendak dirinya sendiri kerana ada beberapa halangan yang sukar diselesaikan dan langkah terbaik ialah menarik diri demi kebaikan bersama.

Profil Berkaitan

 Mr. Cinderella 2    Kuasatek Pictures Sdn. Bhd.    Erra Fazira    Yusry KRU  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD