Sinemamalaysia.com.my - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

26 Mac 2008 : Harian Metro

Babak Ranjang Tarikan Akhirat

Oleh MOHD NASIF BADRUDDIN

Syed Mohamed Hassan Benyahya

PENANTIAN sekian lama Syed Mohamed Hassan Benyahya untuk mengarah filem pertamanya menjadi realiti apabila diberi peluang oleh Sri Saheb Production Sdn Bhd mengarah filem Akhirat yang kini ditayangkan di pawagam sejak 20 Mac lalu.

Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) dan pensyarah sambilan itu berpengalaman lebih 20 tahun di arena belakang tabir dan pernah mengarah beberapa drama serta menjadi pengarah fotografi.

Pada 2000, Syed Mohamed Hassan menyambung pelajaran di Media Training College, London mengambil Diploma Lanjutan dalam bidang penulisan, lakonan dan muzik.

Bersandarkan pengalaman meluas dalam bidang ini, pasti ramai mengharapkan sesuatu yang baru dan mampu melonjakkan persada seni lakon menerusi buah tangan pertamanya.

Namun tidak semua harapan tinggi orang terisi dalam filem ini, sebaliknya timbul pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan. Akhirat dikatakan cuba menarik penonton dengan babak ranjang.

Merungkai cerita di sebalik tabir filem ini, wartawan Harian Metro, MOHD NASIF BADRUDDIN (mnasif@hmetro.com.my) menemu bual Syed Mohamed Hassan.

SOALAN (S): Memandangkan anda sudah lama tidak mengarah, apa reaksi anda apabila Akhirat mula dipertontonkan kepada umum pada 20 Mac lalu.

JAWAPAN (J): Sebelum ini saya banyak mengarah drama dan dokumentari. Tapi, peluang mengarah filem saya terima daripada Sri Saheb Production. Sebelum ini saya bertemu beberapa penerbit, tetapi mereka tidak berminat sehingga Sri Saheb Production memberi peluang saya mengarah Akhirat. Sudah pasti saya teruja menanti reaksi penonton terhadap filem pertama arahan saya.

S: Bagaimana dengan sambutan penonton dan berapa kutipannya sehingga kini?
J: Berdasarkan ‘roadshow’ yang diadakan sebelum ini, ia mendapat maklum balas positif daripada peminat. Malah, saya sendiri turun padang meninjau reaksi penonton di Mid Valley dan bertanyakan pendapat mereka. Apa yang nyata, mereka terhibur dengan filem ini. Apa yang saya harapkan, mereka boleh sedih dan gelak mengikut babak tertentu filem ini.

Dari segi kutipan, saya tidak mempunyai kuasa untuk memberitahu dan terserah kepada penerbit mengumumkannya. Saya sendiri pun berasa serba salah untuk bertanya atau tidak mengenai jumlah kutipan tiket Akhirat setakat ini.

S: Apa sebenarnya mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini?

J: Kita harus peka dengan keadaan sekeliling dan tidak dapat lari daripada realiti yang berlaku. Kadangkala pendedahan media hanya segelintir dan selapis saja serta tidak didedahkan benda yang lebih serius.

Jadi menerusi Akhirat, kita beri anjakan paradigma supaya masyarakat memandang lebih jauh ke depan, bukan sekadar di depan mata. Umpamanya mengenai penyakit Aids dipaparkan apa simptomnya, perasaan pesakit dan perbetulkan persepsi orang apabila disebut Aids penghidapnya pasti mati. Walhal mereka juga punya harapan dan keinginan untuk menjalani kehidupan seperti insan lain.

MENARIK.. Syed memberi arahan kepada Tony Yussof dan Vanidah ketika penggambaran filem Akhirat.

S: Apa pula kekuatan dan kelainan yang boleh menarik minat orang ramai menonton filem ini?

J: Dalam pembikinan sesuatu filem, kekuatannya tidak terletak kepada seorang saja, sebaliknya kombinasi semua faktor seperti skrip yang kuat, pengarah berkaliber dan pelakon berbakat. Akhirat menitikberatkan semua faktor ini dan ditambah dari sudut teknikal yang mantap seperti penggunaan kamera, kesan sampingan dan lokasi bersesuaian.

Selain itu, lagu yang ditampilkan ‘kena’ dengan jalan cerita terutama lirik yang disifatkan ada cerita dalam lagu. Bagaimanapun, filem ini bukan ala Bollywood apabila menyelitkan lagu kerana ia sekadar wujud persamaan aliran dan saya tidak terfikir ke arah itu sebenarnya.

Lagipun, saya ingin terapkan budaya kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai konsep. Sebagai pengarah, saya perlu berani berkarya dan bersedia menerima apa saja komen orang ramai.

S: Melihatkan jalan cerita, anda dikatakan mempamerkan adegan ranjang sebagai tarikan supaya orang ramai menonton filem ini. Apa komen anda?

J: Tidak timbul isu menggunakan adegan ranjang untuk menarik perhatian kerana ia sebahagian daripada skrip dan penghidup cerita. Apa yang dipaparkan ialah gejala sosial yang benar-benar berlaku di semua peringkat umur dan tidak berselindung kepada hal tertentu saja.

Selama ini kita tidak berani papar babak ‘bersama’ dan takut tonjolkan perkara sebenar. Jadi dalam Akhirat, kita tunjukkan perkara sebenar yang berlaku dalam masyarakat seperti adegan ranjang antara suami isteri membabitkan Tony Eusoff dan Vanidah Imran serta hubungan terlarang antara Ady Putra dan Nabila Huda.

Walau apapun, kita buat kajian terlebih dulu sebelum penggambaran dan mendapatkan pandangan pihak tertentu. Apa yang saya buat ini, boleh dikatakan sebagai fardu kifayah kerana saya buat apa yang orang tidak buat.

S: Ada juga komen mengatakan anda hanya mengubah filem Akhirat daripada telefilem menjadi filem?

J: Orang yang berpandangan sebegitu tidak faham konsep sebenarnya. Dalam telefilem, skopnya lebih kecil dan meleret sehinggakan adegan kecil seperti membuka pintu pun dipanjangkan. Tapi dalam Akhirat, skopnya lebih besar dari segi pergerakan kamera, penggunaan pelakon dan pengolahan skrip.

Malah, hampir 95 peratus skrip asal diubah bagi disesuaikan dengan keadaan semasa. Kalau orang luar boleh cipta kelainan, mengapa kita tidak boleh lari dari kepompong biasa dan cipta sesuatu yang baru.

S: Anda juga dikenali sebagai Presiden PPFM yang aktif memperjuangkan hak dan kebajikan kru tetapi kenapa dalam filem ini anda menggunakan tenaga kerja luar?

J: Saya hanya menggunakan seorang saja tenaga kerja luar iaitu pengarah fotografi, Virendra Lalit dari India. Manakala yang lain semuanya kru tempatan. Kita memilihnya sebagai pengarah fotografi berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang ini dan lebih komited dengan tugas.

Kita berharap kru terbabit dapat menimba ilmu daripadanya. Malah dari segi gerak kerja, dia dapat berinteraksi baik dengan pengarah dan kru. Jadi benda sebegini tidak sepatutnya menjadi isu besar.

S: Adakah anda rasa Akhirat mampu menceriakan industri filem tanah air?

J: Saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap filem pertama arahan saya dan bersedia menerima apa saja komen. Biarlah orang lain yang menilai kerja saya. Saya berharap filem ini mendapat sambutan ramai dan diterima masyarakat.

Saya tidak nafikan wujud beberapa kelemahan dan komen orang ramai, tetapi saya melihatnya dari sudut positif dan yakin dengan kombinasi semua tenaga kerja, ia akan mengisi kelompongan industri filem tanah air.

 

TELITI.. Syed menunjukkan sudut menarik kepada kru filem Akhirat

 

Profil Berkaitan

 Akhirat    Syed Mohamed  

 


Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD