Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Harian Metro
Keratan Akhbar
 

24 Disember 2009 : Harian Metro

BORAK LOKASI: Filem Tanpa Hero, Heroin

Oleh Esme Johari Wahab

Hanya bunyi cengkerik serta siulan burung bersahutan dengan dedaun hutan termasuk mengkuang di kiri kanan lorong kecil. Tanpa disedari, lokasi ini turut menempatkan beberapa kediaman mewah. Suhu nyaman dan bau dedaun hutan dirasai dan beberapa kali tersalah masuk lorong hutan. Sewaktu masih mencari-cari, suasana sepi bertukar bising. Penggambaran babak perjalanan denai hutan dilalui Johan (Azlee Khairi Zulah Hainee) dan Mellissa (Ainur Syakina Azman) terhenti akibat jeritan kuat Razak melalui corong pembesar suara.

Pengarah tidak puas hati dengan penghayatan lakonan Johan dan Mellissa terhadap watak diberikan. Malah, kru terpaksa turun naik membetulkan trek kamera dan menambah kesan sampingan perlu ada untuk suasana itu. Beberapa jam sebelum rakaman babak kedua, Razak mengarahkan barisan pelakon babak seterusnya membuat latihan serius kerana aksi lakonan lewa dianggap membazir masa produksi. Ketika penggambaran bersambung adegan menyusuri laluan lain, Johan, 21, Mellisa, 14, serta tiga rakan Ratu lain, Indah (Norjazillah Rashid), (Hana) Farah Zilah Abdul Rahman dan Shireen (V Tryambikay) masih tidak dapat memenuhi kehendak Razak. Ia dirakamkan lebih lima kali.

Adegan meredah hutan itu menyaksikan lima pelakon berkenaan mengharungi laluan mencabar merentasi hutan. Pada masa sama, mereka juga terpaksa mencari tempat bermalam, dalam keadaan pakaian masing-masing kotor dan berlumpur. Pada satu babak, Mellisa mengalami sedikit kecederaan pada siku selepas tergelincir akibat tanah licin. Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematah semangatnya meneruskan penggambaran dalam filem pertama dibintangi.

Razak berkata, adegan dirakamkan itu adalah lokasi kedua Ratu yang juga filem ke-30 arahannya, selepas Cyberjaya.Dua lokasi terakhir adalah Gua Tempurung dan Pulau Langkawi. "Ini filem ketiga menggunakan rakaman berteknologi tinggi Red Camera (RC) selepas Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa. "Kami antara beberapa produksi tempatan menggunakan format definisi tinggi itu dalam usaha mendapatkan imej lebih menarik berbanding Cine Alta.

"Penggunaan kamera RC memudahkan pos produksi kerana suntingan serta-merta boleh dilakukan di lokasi. Ratu juga antara beberapa filem menggunakan pendekatan rakaman terus suara melalui beberapa teknologi terkini digunakan. "Pemilihan penggambaran dalam hutan mewujudkan kesan menarik dan spontan. Saya memang mahu situasi seperti itu, malah memberikan cabaran baru kepada pelakon baru. Bagi saya, tiada hero atau heroin utama dalam filem ini kerana semuanya pelakon utama. Jadi masing masing ada peranan menyumbang kepada kekuatan jalan cerita Ratu. "Saya mensasarkan penggambaran empat lokasi termasuk Gua Tempurung dan Pulau Langkawi dalam tempoh sebulan. Sekarang, saya mahu memastikan filem ini dapat memuaskan hati peminat dan pengkritik filem," katanya.

Tiga babak dirakam sepanjang empat hari penggambaran di Kayangan Heights adalah antara tempoh sebulan diperuntukkan oleh Line Clear Motion Pictures menyiapkan filem menelan kos RM2 juta. Ia bermula 1 hingga 29 Disember di empat lokasi dan 70 peratus penggambaran Ratu berkisar pada suasana pulau. Filem dibarisi lapan pelakon muka baru wanita serta empat pelakon pembantu berpengalaman. Seramai 50 orang kru terbabit. Ia berkisar mengenai 10 orang calon Pertandingan Ratu Cantik akan bertanding di peringkat akhir. Mereka dikumpulkan di sebuah jeti sebelum dibawa menaiki kapal layar ke lokasi ditetapkan.

Sewaktu pelayaran, berlaku ribut kuat sehingga kru kapal dan semua calon berkenaan terpaksa mendarat di sebuah pulau. Sepanjang malam berada di pulau itu, mereka melalui pelbagai kejadian aneh dan misteri berlaku. Pelbagai rintangan dan kesukaran hingga mengakibatkan mereka berpecah, sehinggalah calon akhir diselamatkan dan diisytihar pemenang. Segala kejadian aneh dan misteri berlaku sepanjang mereka berada di pulau berkenaan. Filem berkenaan bakal menemui penonton di pawagam pada pertengahan Mei 2010.


FILEM: RATU THE MOVIE

TERBITAN: Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd

PENERBIT EKSEKUTIF/PASCA PRODUKSI: A Latiff Haja Mohaideen

PENGARAH: Prof Madya A Razak Mohaideen

PENERBIT PENYELARAS/PENULIS SKRIP: Abdul Shukor Mohaideen

PENGARAH FOTOGRAFI: Khalid Zakaria

PENGARAH CASTING/PEREKA PRODUKSI: Ahmad Fadzil Abdul Manap

PENOLONG PENGARAH/CONTI: Ahmad Saifullah Mohd Khair

VIDEO ASSIST/CLAPPER (PS1): Fatanah Abdul Wahab

PENYUNTING: Ahmad Faizul Abd Rashid

KOORDINATOR PRODUKSI: Yusrina Aimy Najib Fahmy

PEMBANTU KOORDINATOR PRODUKSI (PS2): Mohd Taufiq Tajuddin

PENGARAH KREATIF: Ahmad Hafiz Abd Rashid

PROPMASTER 1: Mohd Fizry Radzi

PROPMAN: Mohd Alias Salehhudin

TATARIAS: Mazlan Hashim

WARDROBE: AMIRA AHMAD PUAD

PENGARAH DI SEBALIK TABIR: Wan Mohd Firdaus Wan Ahmad

PENGARAH AUDIO: Adzrey Abd Kamal

JURUKAMERA/PENATA CAHAYA: Khalid Zakaria

LIGHTING: Zulafakul Ali Zainol

JANGKA TAYANGAN: Mei 2010

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD