Sebaliknya Anugerah Oskar yang kini memasuki edisi ketujuh penganjurannya terus mendapat tempat di hati penggiat seni tanah air, apatah lagi ia satu-satunya anugerah yang mengiktiraf sumbangan mereka yang terbabit di arena belakang tabir.
Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Hassan Benyahya, berkata Anugerah Oskar Malaysia 2008 yang bertemakan ‘The I behind The Stars - Oskar Tegar’ setanding anugerah berprestij lain biarpun sasaran dan penyertaannya berbeza.
“Anugerah Oskar prihatin dan memberi pengiktirafan kepada semua pihak yang terbabit menjayakan sesuatu penerbitan sama ada di depan atau belakang kamera. Walaupun ada pihak mempertikaikan anugerah ini, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana semua pihak mempunyai peranan tersendiri.
“Sebanyak 52 kategori akan dipertandingkan tahun ini membabitkan penyertaan daripada filem, telefilem, program TV bersiri, MCP, dokumentari, iklan dan animasi berdasarkan tempoh penerbitan bermula dari Julai 2007 hingga September 2008.
“Kita menganggap trofi itu sendiri sebagai penghargaan dan pengiktirafan, jadi tidak perlulah lagi diberikan wang ringgit.
“Kita juga memanggil mereka yang mendapat anugerah sebagai ‘penerima’ dan bukannya ‘pemenang’ untuk membezakannya daripada anugerah lain,” katanya ketika sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang baru-baru ini.
Walaupun penyertaan kurang menggalakkan di peringkat awal, namun menjelang tarikh tutup pada 23 Oktober lalu, pihaknya mendapat sambutan menggalakkan. Kini proses penjurian sedang berlangsung bermula 28 Oktober lalu selama 13 hari diketuai Prof Dr Naim Ahmad.
Apa yang menarik, kategori telefilem menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila menerima lebih 44 penyertaan berbanding kurang daripada 30 pada tahun sebelumnya.
Antara telefilem yang bertanding ialah Demi Masa, Kudrat Iman, Liang Lahad, Lillah, Sabrina, Mengejar Sinar dan Sesuci Al-Fitri.
Bagi kategori filem pula, 14 penyertaan diterima membabitkan filem Kala Malam Bulan Mengambang, Apa Kata Hati, Akhirat, Sepi, Susuk, Nana Tanjung 2, Otai, I’m Not Single, Congkak, 1957: Hati Malaya, Vikrant, Evolusi KL Drift, Antoofighter dan Pensil.
Bakal berlangsung di Hotel Nikko, Kuala Lumpur pada 15 November ini, Anugerah Oskar Malaysia 2008 turut menampilkan pembaharuan, terutama pada kategori yang dipertandingkan sesuai dengan kematangan penganjurannya yang kini memasuki edisi ketujuh.
“Jika anugerah terdahulu mempertandingkan 56 kategori, Anugerah Oskar Malaysia 2008 hanya membabitkan 52 kategori. Pengurangan berlaku apabila sembilan kategori utama digabungkan di bawah satu kategori, Anugerah Pilihan Juri, yang julung kali diperkenalkan.
“Bagi filem, ia terbahagi kepada lima kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Pelakon Filem Wanita Terbaik dan Melodi Filem Terbaik. Bagi kategori telefilem pula ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Pelakon Telefilem Lelaki Terbaik, Pelakon Telefilem Wanita Terbaik, Pengarah Telefilem Terbaik dan Telefilem Terbaik,” katanya.
Menurut Syed Mohamed, menyatukan semua kategori utama di bawah satu kategori memberi ruang kepada panel juri untuk menentukan pemenang yang layak tanpa ada diskriminasi dan perdebatan.
Katanya, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada pelakon yang memberikan persembahan terbaik untuk diangkat sebagai pemenang kategori utama sekali pun jika memegang peranan kecil dalam sesebuah produksi.
Selain itu, tahun ini juga diperkenalkan kategori Penulis Cerita Terbaik bagi kategori filem dan telefilem. Ini kerana mereka menjadi tunjang kepada sesebuah penerbitan. Tidak ketinggalan, pada malam anugerah nanti akan diumumkan penerima Tokoh Oskar 2008 yang akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Muzahet Masruri.
Antara artis yang diundang untuk menyampaikan anugerah ialah Datuk Yusof Haslam, Datuk Jalaluddin Hassan, Rosyam Nor, Chelsia Ng, Raja Azura dan ramai lagi. Majlis juga akan diserikan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Winnie K, Boomerang dan ramai lagi dengan iringan kombo Royal D’Armor.
“Selepas enam tahun penganjuran, Anugerah Oskar melalui proses kematangan selain diterima oleh penggiat seni sebagai satu lagi acara pengiktirafan yang dinanti-nanti. Malah tahun ini juga, kita peruntukkan RM130,000 sebagai kos penganjuran berbanding di bawah RM100,000 pada tahun sebelumnya.
“Anugerah Oskar juga menunjukkan perkembangan yang cukup memuaskan sekali pun acara ini tidak mendapat liputan luas di kaca televisyen dengan bajet yang terbatas. Malah Anugerah Oskar lebih telus dan mempunyai kredibiliti kerana tidak sesekali dipengaruhi unsur komersial serta populariti,” katanya.
Syed Mohamed
Kala Malam Bulan Mengambang
Apa Kata Hati
Akhirat
Sepi
Susuk
Nana Tanjung 2
Otai
I'm Not Single
Congkak
1957: Hati Malaya
Evolusi KL Drift
Pensil
Dato' Yusof Haslam
Datuk Jalaluddin Hasan
Rosyam Nor
Chelsia Ng
Raja Azura
Winnie Kok
Artikel Terkini