Sinemamalaysia.com.my - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

11 September 2007 : Berita Harian

Akhirat Papar Dilema Hidup Isteri Hidap Aids
S Baldev Singh

Oleh Zainuri Misfar

FILEM Akhirat arahan Syed Mohamed Hassan Ben Yahya adalah antara filem terbaru terbitan tempatan yang akan menemui penonton awal tahun depan.

Ceritanya menarik juga, mengisahkan seorang isteri yang menghadapi dilema untuk berterus-terang dengan suami tersayang bahawa dia sudah disinggahi penyakit Aids dalam satu kejadian tidak disengajakan.


Dia sedar berdosa kerana tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri sebaik-baiknya, tetapi pada masa sama takut kalau suaminya berubah kasih andai menerangkan kedudukan sebenar.

Ketika ini filem Akhirat sudah 75 peratus siap. Penggambaran filem itu dibuat selama 50 hari iaitu pada April lalu, dan ia masih dalam proses pengadunan kesan bunyi, pewarnaan dan muzik.

Namun begitu, ada timbul banyak persoalan di kalangan masyarakat apabila ada filem itu menggunakan perkataan Akhirat sebagai tajuknya. Kebanyakannya membayangkan ia filem berunsur keagamaan, menceritakan soal hidup dan mati, dosa dan pahala atau halal dan haram.

Produser yang juga bertindak sebagai pengarah bersama, S Baldev Singh berkata, selagi filem Akhirat belum ditayangkan memang agak sukar untuk beliau menjelaskan cerita sebenar filem itu walaupun sudah berulang-kali memberitahu bahawa ia bukan filem mengenai agama.

“Bagi kebanyakan orang, memang apabila sebut akhirat, ia terus mengaitkan dengan keagamaan. Itulah yang selalu ditanya mengenai filem ini. Sebenarnya tidak macam itu. Semua agama ada hari akhiratnya. Secara umum, saya mengambil akhirat untuk membawa maksud pertemuan semula pada hari selepas kita mati. Dan cerita filem ini sememangnya bermaksud seperti itu,” katanya.

Baldev juga turut menyanjung tinggi barisan pelakon filem itu yang dianggapnya memberikan tumpuan sepenuh perhatian demi memastikan watak yang mereka lakukan benar-benar meninggalkan kesan.

Beliau bersama Syed Mohamed turut memberi peluang kepada beberapa wakil media untuk melihat sendiri sedutan filem itu yang sudah disunting sepenuhnya dengan kesan bunyi dan muzik.

Baldev berkata, beliau yakin baki filem Akhirat boleh disiapkan dalam masa terdekat ini dan berharap dapat ditayangkan penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya sekitar Februari.

Sementara itu, Syed Mohamed berkata, walaupun tidak menggunakan nama besar, kekuatan jalan cerita dan pergerakan kamera sudah cukup untuk menarik orang ramai menonton filem ini.

“Ketika filem ini dibuat, Vanidah belum menang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia baru-baru ini. Mungkin kemenangan Vanidah menjadi tarikan tambahan kepada filem Akhirat.

“Tapi sebenarnya apabila anda menonton filem ini, Akhirat ada ceritanya sendiri. Memang permulaannya agak perlahan kerana kita hendak membina watak dan cerita. Selepas 10 minit atau 15 minit pertama, baru jalan ceritanya bergerak dan boleh kita menghayati sepenuhnya cerita dalam filem ini,” jelasnya.

Walaupun isu yang hendak disampaikan agak berat, Syed Mohamed berkata, sebagai pengarah beliau cuba mengolahnya sebaik mungkin untuk membolehkan penonton tidak cepat bosan.

Filem Akhirat keluaran sulung Sri Saheb Production membariskan pelakon seperti Vanidah, Tony Eusoff, Adi Putra dan Nabila Huda Suhaimi. Turut berlakon ialah seniman veteran, Tan Sri Jins Shamsudin.

Filem ini mengisahkan kesengsaraan seorang isteri yang cuba dirahsiakan dari pengetahuan suami tersayang, keluarga dan masyarakat. Namun, konflik melanda apabila dia tidak dapat menyempurnakan kewajipannya sebagai isteri. Dilema ini menyebabkan Mira melakukan sesuatu di luar dugaan dengan merancang menyatukan suaminya, Amran dengan Noni.

Amran yang kecewa dengan tindakan Mira menuduh Noni cuba mencemarkan nama dan maruah keluarga dengan muslihat tertentu. Keadaan menjadi semakin parah apabila Noni pula bersikap semakin liar dan tidak terkawal kerana perbuatan teman lelakinya, Ari.

Jadi, bolehkan Mira melawan takdir yang menimpa dirinya. Bagaimanakah Amran menentang musuh yang sedang memusnahkan rumah tangganya? Adakah Ari mampu meninggalkan kehidupan mewah dan kegiatan maksiatnya? Dan, dapatkah Noni menghentikan gelora nafsu batinnya?

 

SAYANG: Antara babak Amran (Tony Eusoff) melawat isterinya, Mira (Vanidah) yang berada di hospital selepas kemalangan.
Profil Berkaitan

 Akhirat  

 


Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD