Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

27 Julai 2009 : Berita Harian

Agenda 1Malaysia Mamat Khalid

Oleh Zaidi Mohamad

Estet bukan 'filem Melayu' tetapi 'filem Malaysia' bakal ditayangkan hujung tahun ini

BERCAKAP dengan pengarah bernama Mamat Khalid sudah mampu menggeletek hati. Kalau diberi watak sebagai pelakon komedi, adik kepada kartunis Lat ini mungkin dapat menghayatinya dengan baik.

Bagaimanapun bukan tidak pernah muncul sebagai cameo di dalam filem, namun beliau lebih cenderung untuk sekadar duduk di kerusi pengarah. Namun di sebalik hilai tawa paparan komedi filem yang diarahkannya, sedar atau tidak pengarah bertubuh comel itu sebenarnya penuh falsafah dan kritikan sosial yang sukar difahami penonton atau barangkali tidak langsung disedari penonton.

Pernah dilabel sebagai 'pengarah merapu' kerana karyanya yang dianggap pelik dan mengarut, beliau turut dikatakan 'pengarah kampung' kerana sering menggunakan latar perkampungan. Gelarlah apa saja kerana beliau tidak sedikitpun berkecil hati, sebaliknya terus berjuang dengan gaya tersendiri.

Selepas menghasilkan filem Lang Buana, Rock, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang yang kebanyakannya menerima kritikan hebat, pengarah itu mula bangkit melakukan eksperimen menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) dalam versi hitam putih. Malah, filem terbabit dianggap sebagai komedi cerdik berbeza dengan filem terdahulunya.

BABAK tarian yang akan dimuatkan dalam klip video Ayuh Kawan.

Sungguhpun KMBM gagal menarik perhatian penonton dari segi kutipan pecah panggung, filem itu masih berjaya menawan hati juri profesional apabila melakar kejayaan di dalam Festival Filem Malaysia ke-21 dan Anugerah Skrin 2008. Paling istimewa kedua-dua anugerah berprestij itu menobatkan beliau sebagai Pengarah Terbaik.

Lalu, perhatian seterusnya harus diberikan kepada filem Estet yang tidak dianggapnya sebagai `filem Melayu' tetapi `filem Malaysia'. Sudah siap penggambarannya dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.9 juta, filem ini buat julung kalinya diterbitkan syarikat milik pengarah berjiwa besar iaitu Naga VSX Sdn Bhd.

Menanti waktu tayangan penghujung tahun ini, promosi awal sudah mula dilakukan bagi memastikan kesedaran filem ini di mata umum. Antaranya langkah menghasilkan klip video berjudul Ayuh Kawan nyanyian Awie dan penyanyi Tamil, Siva. Ia dinyanyikan dalam dua versi bahasa dan Hip diundang ke penggambaran klip video itu pertengahan Julai lalu di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh.

"Saya labelkan lagu ini sebagai genre pop Kollywood dan dicipta R Laurence manakala liriknya nukilan Iqbal Putra. Harapnya kehadiran klip video ini dapat menyemarakkan lagi kedatangan filem ini," kata Mamat Khalid ketika berehat seketika untuk makan tengah hari sebelum menyambung semula penggambaran klip video itu.

Seperti yang ramai sedia maklum filem ini turut menerima undangan untuk Tayangan Perdana Dunia di Festival Filem Udine, Itali pada 15 April lalu. Bagaimanapun disebabkan ketika itu filem ini masih belum siap sepenuhnya penggambarannya, maka hasrat Paulo Bertulli yang ditemui sewaktu Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur, tidak dapat dipenuhi.

Pengarah yang membahasakan dirinya sebagai abang itu tidak melihat ia sebagai satu masalah atau kerugian kerana baginya apa yang lebih penting ialah menayangkan dulu filem yang diletakkan sebagai filem kenegaraan.

"Abang menganggap jemputan itu sebagai satu bonus tetapi mungkin bukan rezeki filem Estet ditayangkan di Itali seperti mana KMBM yang pernah ditayangkan tahun sebelumnya. Bagi Abang, kalau filem ini diterima di Malaysia ia sudah menjadi satu kejayaan besar. Kejayaan global jika menang festival luar negara itu satu perkara lain.

"Filem ini dihasilkan sebelum agenda 1Malaysia diwujudkan lagi. Filem ini dihasilkan menerusi pinjaman yang diberi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Jadi abang nak pastikan pinjaman berjumlah RM1.5 juta itu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana itu adalah duit rakyat. Lalu rakyat berhak menerima sebuah filem kenegaraan seperti ini," katanya yang turut menambah bajet sendiri berjumlah RM400,000 dan menjadikan jumlah kos keseluruhan penerbitan RM1.9 juta.

Filem jenaka ini dibintangi pelakon berbangsa India seperti Datuk David Arumugam, Jasmine Michael, Shashi Tharan, malah ia turut dimeriahkan dengan kelibat pelakon tempatan, Farid Kamil, Rosyam Nor dan Soffi Jikan.

MAMAT mempunyai alasan sendiri mengapa kali ini dia membikin sebuah filem dengan majoriti pelakonnya berbangsa India.

Menggunakan skala bahasa Malaysia sebanyak 80 peratus dan selebihnya bahasa Tamil, filem yang menekankan konsep kenegaraan ini adalah metafora untuk membayangkan kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Ia bukan cerita kampung, sebaliknya bayangan kehidupan kita semua di Malaysia.

"Abang sendiri tercari-cari apakah ciri filem Malaysia sebenarnya. Abang sentiasa mencari formula untuk membikin filem yang dimaksudkan itu dan harapnya Estet memenuhi ruang lingkup itu. Soal kampung atau bandar adalah sama saja. Filem ini, sekali lagi, bakal menjadikan sebuah keraian bagi kehidupan masyarakat majmuk negara kita.

"Filem Estet ini ada pengaruh filem Tamil, tapi besarnya lebih kepada filem Malaysia. Sebagai contohnya, pengaruh kesan bunyi sampingan apabila adegan tumbuk menumbuk berlaku yang cukup sinonim dengan filem Tamil. Abang puas hati dengan pembikinan filem ini biarpun ia mengambil masa setahun untuk disiapkan.

"Apatah lagi, filem ini adalah 'bayi' pertama syarikat abang. Semestinya abang terlalu berhati-hati untuk memastikan hasilnya. Sesi suntingan dan pratonton cubaan juga dilakukan beberapa kali. Untuk proses imej janaan komputer (CGI) pun mengambil masa selama enam bulan biarpun hanya membabitkan selama 30 minit saja untuk filem ini," katanya yang menyifatkan filem ini sebagai rangkuman lima filem arahannya yang terdahulu iaitu Lang Buana, Rock, Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan KMBM.

Sementara itu, Datuk David Arumugam yang ditemui Hip berkata, pengalaman berlakon filem Estet yang menjadi percubaan pertamanya sebagai pelakon satu momen yang cukup menyeronokkan biarpun hanya terbabit dalam beberapa babak saja. Hip diberitahu pihak produksi, beliau sebenarnya mempunyai bakat lakonan semula jadi.

"Mamat Khalid yang beriya-iya mengajak saya berlakon. Biarpun sudah diberitahu yang saya tidak pandai berlakon, dia (Mamat) terus memberi galakan dan sokongan untuk saya mencuba. Saya ini jenis orang yang tidak mempunyai daya memori yang kuat. Sampai saja di lokasi, habis saya lupa skrip.

"Tapi Mamat tak pernah membuatkan saya risau dan dengan sedikit pemahaman saya terhadap filem ini, saya adlib idea sendiri selagi tidak lari daripada maksud yang ingin disampaikan. Dalam filem ini, saya memegang watak tauke kedai runcit. Hampir selepas selesai babak, saya akan tergelak kerana filem ini penuh dengan unsur humor," katanya yang mungkin akan mempertimbangkan lagi tawaran berlakon pada masa mendatang dan semuanya bergantung kepada keadaan.

Profil Berkaitan

 Mamat Khalid    Lang Buana    Rock    Man Laksa    Zombie Kampung Pisang    Kala Malam Bulan Mengambang     Estet    Jasmin    Shoffi Jikan    Farid Kamil    Rosyam Nor  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD