![]() |
Normah Damanhuri Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama. |
KISAH tentang pergolakan seorang anak dara tua dalam drama Suara Saleha telah menambat hati para juri untuk diangkat sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2008 (ASK2008). Ini sekali gus meranapkan impian drama Kehangatan Lantana yang disebut-sebut mampu mengungguli kategori utama tersebut.
Suara Saleha yang diterbitkan Pena Creative Sdn. Bhd. dan skrip oleh Fauziah Nawi mencatatkan kenangan manis apabila turut mengangkat pengarahnya, Murali Abdullah sebagai Pengarah Terbaik Drama.
Sementara aktres Fauziah Ahmad Daud yang tidak hadir pada malam penganugerahan pula berjaya mengungguli kategori utama, Pelakon Wanita Terbaik Drama. Pelakon itu berjaya menewaskan calon yang disebut- sebut, Fasha Sandha dianggap telah memberikan lakonan berkesan dalam Kehangatan Lantana.
Malah Kehangatan Lantana yang dikatakan antara drama pilihan untuk memenangi beberapa kategori utama. Bagaimanapun hampa apabila tidak satu pun kategori memihak kepadanya.
Penerbit Suara Saleha, Ziela Jalil dalam getar suaranya bersyukur dengan kemenangan besar yang diperoleh drama tersebut.
“Sejarah berulang. Pada Anugerah Skrin pertama, drama Anak Angkat saya menang. Pada Anugerah Skrin ketiga, drama Kembali mengungguli kategori yang sama dan dua tahun lepas, Lebih Bisa Dari Jelatang berjaya memenangi kategori ini,” jelas Ziela gembira.
Kredibiliti lakonan aktor terbaik FFM-18, Zamarul Hisham pula diperakui juri apabila berjaya merangkul kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama.
Sebagai anak yang menderhaka kepada ibunya sehingga akhirnya menjadi gila dalam drama Ihsan, kehebatan lakonan Zamarul sukar dicabar sekali gus menewaskan antaranya Afdlin Shauki untuk drama Tuhan Pun Tahu, arahan Jinggo yang turut tercalon bagi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik Drama.
Drama Tuhan Pun Tahu yang diinspirasikan daripada kisah kehidupan seorang komposer tetap berjaya membawa pulang trofi kemenangan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik Drama yang masing-masing dimenangi pelakon muda, Que Haidar dan Normah Damanhuri.
Bagi kategori-kategori Drama Rantaian Terbaik, Drama Komedi Terbaik dan Lakon TV Terbaik, masing-masing dimenangi drama Bicara Aur dengan Tebing, Mr. Mama dan Anwar Idris menerusi drama Wasiat Fitrah.
Kemenangan berganda
Sementara itu filem noir, Kala Malam Bulan Mengambang pula memperoleh kejayaan berganda apabila memenangi tiga kategori utama, Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Ketiga-tiga kategori ini dimenangi filem arahan Mamat Khalid itu pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) baru-baru ini.
Mamat Khalid nyata tidak menyangka filem hitam putih lakonan Rosyam Nor dan Umie Aida berjaya mengungguli Filem Terbaik.
“Pada awalnya saya agak skeptikal untuk datang kerana menyangka filem TV3 yang menang. Tapi saya tetap hadir dengan semangat untuk meraikan kerja-kerja pembikin filem kita,” katanya yang terharu dengan kemenangan itu.
Rosyam Nor yang mengungguli kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem pula bagaimanapun hanya tiba selepas pengumuman kerana terikat dengan komitmennya sebagai pengacara Fenomena Seni yang disiarkan secara langsung di RTM1.
Filem Sepi yang dianggap antara filem pilihan bagaimanapun berjaya membawa pulang dua kategori utama, Pelakon Wanita Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi lakonan berkesan Baizura Kahar dan Nasha Aziz. Bagaimanapun mereka juga tidak hadir pada malam itu.
Kemenangan Baizura Kahar melenyapkan harapan antaranya nama-nama besar dalam industri perfileman negara seperti Ida Nerina bagi filem Anak dan Vanidah Imran yang mempertaruhkan Akhirat.
Sepi arahan Kabir Bhatia dengan lakon layar gandingan A.R.A dan Mira Mustafa juga berjaya menggondol trofi Lakon Layar Terbaik Filem.
Filem arahan Shuhaimi Baba, 1957: Hati Malaya pula memenangi satu kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem oleh Zaefrul Nordin menerusi watak Dato’ Onn Jaafar.
Sebanyak 19 filem dipertandingkan pada acara kali ini selain Kala Malam Bulan Mengambang, 1957: Hati Malaya dan Sepi, filem Anak Halal arahan Osman Ali yang dilakonkan Farid Kamil dan Maya Karin turut memberikan saingan.
Malah kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik Filem yang dimenangi Nasha dan Zaefrul merupakan julung kalinya diperkenalkan.
Turut membawa pulang trofi bermotifkan rebung dan songket ialah Aznil Haji Nawawi apabila rancangan Macam-Macam Aznil diangkat sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik buat kali ketiga.
Acara gemilang
Disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat lalu, ASK2008 menyaksikan 36 drama, 22 filem serta 22 kategori dipertandingkan.
Secara keseluruhan, sembilan kategori dipertandingkan bagi drama, drama rantaian dan drama komedi; tujuh kategori filem selain enam lagi bagi penerbitan dalaman.
Bagi kategori penerbitan dalaman, Majalah 3 - Sudirman berjaya mengungguli kategori Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik selain dua program realiti, Project Superstar (Musim 2) dan So You Think You Can Dance bagi kategori Rancangan Hiburan Terbaik dan Rancangan Realiti Terbaik.
Sementara Anugerah Juara Lagu 2008 berjaya memenangi kategori Rancangan Muzik Terbaik manakala laporan mengenai Orang Asli Terancam yang disiarkan Buletin Utama meraih Rancangan Laporan Khas/Berita Terbaik.
Acara gilang gemilang itu turut menyaksikan pengarah Yasmin Ahmad menerima hadiah Anugerah Khas Juri di atas kejayaannya menggondol anugerah di persada antarabangsa.
Dalam pada itu, Anugerah Pantene Shines yang merupakan anugerah khas oleh pihak penaja merupakan satu-satunya anugerah yang dibuka untuk undian peminat menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dimenangi oleh Wan Syarmila.
Bertemakan Berlian, pentas ASK 2008 turut diserikan dengan persembahan artis antaranya Noryn Aziz dan Nikki, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Nor dan Lah serta gandingan suara aktor/aktres Ady Putra dan Ery Putra serta Emelda Rosmila dan Farahdiya selain kemunculan Datuk Siti Nurhaliza sebagai penutup tirai acara.
Bagaimanapun, pemilihan gandingan Adlin Aman Ramlie dan Nurul Shuhada sebagai pengacara dilihat kurang berkesan kerana ketiadaan keserasian.
Selain menerima trofi, kesemua pemenang menerusi 22 kategori yang dipertandingkan pada malam itu akan menerima hadiah kemenangan berupa lawatan ke kota perfileman terkemuka dunia, Los Angeles pada tahun hadapan.
Pena Creative Sdn. Bhd.
Fauziah Nawi
Murali Abdullah
Ogy Ahmad Daud
Fasha Sandha
Ziela Jalil
Zamarul Hisham
Afdlin Shauki
Jinggo
Que Haidar
Normah Damanhuri
Kala Malam Bulan Mengambang
Mamat Khalid
Rosyam Nor
Umie Aida
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3)
Zura
Nasha Aziz
Ida Nerina
Anak
Vanidah Imran
Akhirat
Kabir Bhatia
Datuk Paduka Shuhaimi Baba
1957: Hati Malaya
Zaefrul Nadzarine Nordin
Sepi
Anak Halal
Osman Ali
Aznil Nawawi
Yasmin Ahmad
Adyputra
Emelda Rosmila
Datuk Siti Nurhaliza
Adlin Aman Ramlie