![]() |
| SYED MOHAMED menunjukkan kad undangan dan buku cenderamata Anugerah Oskar Ke-7 kepada pihak media, sambil diperhatikan Roslan Shah. |
Anugerah Oskar Ke-7 menyaksikan jumlah penyertaan kategori telefilem dan dokumentari terus meningkat
SELEPAS berakhirnya Anugerah Skrin TV3 2008 pada Jumaat lalu, kini satu lagi anugerah berkaitan industri perfileman tanah air menyusul pula iaitu Anugerah Oskar.
Anugerah Oskar memasuki edisi ketujuhnya tahun ini sekali lagi menerima penyertaan daripada sebuah filem Tamil berjudul Vikrant untuk turut bersaing merebut beberapa kategori untuk filem cereka pada acara yang dianjurkan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) di Hotel Nikko, 15 November ini.
Ini kali kedua filem Tamil terbitan tempatan menyertai Anugerah Oskar. Tahun lalu filem Tamil tempatan Erthikalam turut menyertai anugerah ini dan memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Menurut Presiden PPFM, Syed Mohamed Hassan Benyahya, kehadiran filem Vikrant arahan P Rameesh itu dijangka turut memberikan saingan agak sengit kepada filem berbahasa Melayu.
Pada saingan kali ini, sebanyak 14 filem cereka diterima menyertai pertandingan berkenaan dengan diketuai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21, Kala Malam Bulan Mengambang. Selain Vikrant, filem lain yang turut disenaraikan ialah Apa Kata Hati, Akhirat, Sepi, Susuk, Nana Tanjung 2, Otai, I’m Not Single, Congkak, 1957: Hati Malaya, Evolusi KL Drift, Antoo Fighter dan Pensil.
![]() |
KALA Malam Bulan Mengambang mungkin menjadi calon pilihan. |
Kata Syed Mohamed, daripada gambaran awal yang diberikan juri pertandingan yang diketuai Dr Naim Ahmad, mereka mengagumi filem berbahasa Tamil itu. Justeru, dia tidak hairan sekiranya pada malam anugerah nanti, keputusan yang mengejutkan dapat didengar mereka yang hadir.
Vikrant yang dibintangi Sri Kumar, Malaysia Vasudevan, Shantini, RS Vishnu dan Datuk Mohan, mengisahkan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah pertubuhan terkemuka cuba menyelesaikan kes jenayah membabitkan pembunuhan teman wanitanya, Priya. Laporan perubatan bagaimana membawa kerumitan kepada kes berkenaan. Ketika itu Vikrant bertanya sendiri, mampukah undang-undang kini membawa keadilan?
Pada edisi kali ini juga, katanya lagi, sebanyak 44 telefilem disenaraikan untuk bertanding. Ia muncul jumlah paling banyak diterima anugerah itu sehingga kini. Begitu juga dengan 16 dokumentari, yang nyata mengatasi penyertaan dalam beberapa penganjurannya sebelum ini.
"Ia memberi petanda Anugerah Oskar kian mendapat tempat di hati produser dan pembikin filem tempatan. Bagi kategori telefilem umpamanya, masih ada produser yang ingin menghantar penyertaan walaupun sudah melepasi tarikh tutupnya. Sayang sekali kita tak dapat menerima, berikutan tempoh penjurian yang tidak mengizinkan.
![]() |
MAMPUKAH Pensil mengulangi pencapaian pada FFM21? |
"Sambutan baik itu tentu sekali menunjukkan anugerah ini menjadi rebutan di kalangan produser. Ia dikira cukup baik, walaupun tanpa habuan wang tunai untuk penerima anugerah. Namun, kita sebagai penganjur sememangnya tidak mahu hadiah berbentuk wang tunai disediakan kerana kami mahu pencapaian dan trofi itu sendiri yang dihargai, bukan wang ringgit yang dicari," tegasnya pada sidang akhbar kedua anugerah itu di Finas, baru-baru ini.
Bagi mempertingkatkan lagi anugerah terbabit, penganjur turut memperkenalkan kategori Penulis Cerita, menjadikan 55 kategori akan disampaikan pada malam kemuncaknya menjadikan satu-satunya anugerah perfileman dan TV yang menyediakan paling banyak hadiah.
"Selama ini, penulis tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana anugerah. Jadi kami berpendapat, inilah masanya seorang pencetus cerita untuk filem dan telefilem diberikan penghargaan," ujar Syed Mohamed.
Menurutnya, anugerah tahun ini akan menyaksikan segmen persembahan yang dipendekkan bakal menggunakan muzik dimainkan secara langsung oleh kombo Royal D’Amor. Majlis yang akan bermula jam 8.30 malam itu juga akan dihiasi persembahan Winnie K dan kumpulan hip hop India, Boomerang.
Antara barisan artis yang dijangka menaiki pentas sebagai penyampai pula ialah Rosyam Nor, Raja Azura, Datuk Yusof Haslam, Chelsea Ng, Datuk Jalaludin Hassan, Yasmin Hani dan Nor Albaniah. Majlis yang akan berlangsung dalam suasana santai tetapi rasmi itu akan diacarakan oleh Roslan Shah.
Syed Mohamed
Kala Malam Bulan Mengambang
Apa Kata Hati
Akhirat
Sepi
Susuk
Nana Tanjung 2
Otai
I'm Not Single
Congkak
Evolusi KL Drift
1957: Hati Malaya
Antoo Fighter
Pensil
Winnie Kok
Rosyam Nor
Raja Azura
Dato' Yusof Haslam
Yasmin Hani
Nor Albaniah
Roslan Shah@ Sudirman Singapore
Artikel Terkini