Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Berita Harian
Keratan Akhbar
 

26 Januari 2010 : Berita Harian

2 Hati Satu Jiwa Gabung Drama, Komedi

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

FILEM 2 Hati Satu Jiwa, terbitan bersama antara Primeworks Studios Sdn Bhd dan Lineclear Motion Pictures dihasilkan berdasar kisah menyayat hati pasangan kembar Siam Iran, Ladan dan Laleh Bijani, yang meninggal dunia pada 2003 dalam cubaan mereka untuk berpisah. Bagaimanapun, pengarahnya, Prof Madya A Razak Mohaideen, tidak mencetak sepenuhnya kisah dua wanita berkenaan. Sebaliknya dia hanya menggunakan ilham daripada kisah benar terbabit untuk menghasilkan cerita baru yang menyaksikan penamatnya bersifat gembira.

"Saya mendapati, apabila sesebuah filem dihasilkan dalam bentuk drama, ia tidak akan dapat sambutan. Sedangkan, kos pembikinan filem ini agak tinggi walaupun ia kelihatan ringkas. Justeru, ia memerlukan pulangan yang baik. "Berdasarkan pengalaman, filem ini dihasilkan dalam bentuk komedi bagi membolehkan ia ditonton semua lapisan penonton," katanya yang mendapat ilham menghasilkan filem itu sejak 2003, tatkala orang ramai mendoakan keselamatan pasangan kembar Iran yang menjalani pembedahan di Singapura. Bagaimanapun, jelas Razak, 2 Hati Satu Jiwa sebuah judul yang digarap hasil campuran beberapa genre, bukan semata-mata komedi.

"Saya sudah menghasilkan filem drama sepenuhnya, begitu juga komedi dan fantasi. Kali ini kami hasilkan judul yang jauh berbeza. Bagi saya, kisah yang dipaparkan sebenarnya amat berat. Kalau hasilkan dalam bentuk drama, bimbang penonton tidak datang ke pawagam. "Kita berusaha mencapai impian sejuta penonton untuk filem tempatan masa depan. Untuk mencatat kutipan RM1 juta mungkin tidak banyak masalah, tetapi untuk mendapatkan sejuta penonton bukannya mudah,” kata Razak yang berharap filem komedi banyak membantu mencapai sasaran terbabit suatu masa nanti.

Bagaimanapun, Razak enggan mendabik dada mengaku filem itu sebagai hasil terbaiknya. Filem 2 Hati Satu Jiwa ialah judul ke-28 arahannya, sejak mula bergelar pengarah pada 1997 menerusi filem Gemerlapan. "Saya melihat setiap filem mempunyai nilainya sendiri. Saya sendiri perlu tampil bersama filem yang berlainan, dengan setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri," katanya pada sidang akhbar selepas tayangan perdana filem itu di Petaling Jaya baru-baru ini. Produser filem terbabit, Latif Mohaideen, pula beranggapan filem berkenaan sebuah penghasilan cukup menarik daripada abangnya.

"Daripada 30 judul yang kami hasilkan, saya berasakan filem ini benar-benar menyentuh jiwa. Ia dibantu lakonan mantap barisan pelakonnya. Saya berpendapat, filem komedi mampu menarik perhatian orang ramai ke panggung. "Bagaimanapun kali ini pendekatan komedinya berbeza dan kita dapat mencapai apa yang kita mahukan. Umpamanya, kita memperoleh kesan khas yang walaupun terpaksa berbelanja sehingga RM200,000. Kami bekerjasama dengan pakar kesan khas dari Bangkok yang mendapat latihan di Amerika Syarikat," ujarnya.

Sementara itu, dua pelakon utama filem terbabit, Fouziah Gous dan Yasmin Hani mengaku berdepan cabaran besar ketika menjayakan watak Lana dan Lina yang melekat di kepala dan badan. "Cabaran terlalu banyak untuk kami jayakan filem ini. Justeru, saya berdebar apabila ia memasuki pawagam mulai 28 Januari lalu. Saya jadi takut berdepan dengan orang luar. Apakah reaksi mereka nanti, apabila melihat kami melekat pada hampir setiap babak dalam filem ini.

"Pada mata kasar ia nampak mudah, tetapi sakitnya Tuhan saja yang tahu. Sebaik saja habis penggambaran, saya masuk ke kereta dan menangis sampailah ke rumah. Mana tidaknya, kerana watak terbabit, kami berdua sakit-sakit pinggang. Ubat kami ketika penggambaran hanyalah dengan berbaring sebab kami tidak boleh berdiri lama-lama," katanya. Fouziah turut menjelaskan betapa dalam kesakitan itu, dia perlu melunaskan tanggungjawab menghidupkan watak Lana yang bersifat ceria. Hani pula berkata, selama 25 hari, dia menanggung keperitan melakonkan watak Lina, walaupun selepas berada di rumah.

"Alang-alang sakit, saya berkata pada diri sendiri, biarlah saya melakukannya dengan terbaik. Saya membayangkan diri pelakon terkenal Hollywood bagi menguatkan semangat menjayakan watak ini. Tentunya, ia bukan mudah untuk dilakukan," kata Hani yang berlakon kali pertama memegang watak utama. Selain Fouziah dan Hani, turut membintangi filem ini ialah Mustapha Kamal, Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly, Ziela Jalil, Siti Hajar, Yusmal Ghazali, Jalil Hamid dan Irma Hasmie.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD