![]() |
Mawi |
GOLONGAN artis seperti penyanyi, pelakon, pelawak, pemuzik dan komposer sama juga macam kalangan masyarakat biasa yang tentunya juga mahu memiliki harta termasuklah tanah dan rumah sendiri untuk keselesaan mereka pada masa depan.
Sebab itu, tidak dinafikan ramai artis yang meraih pendapatan lumayan ketika sedang meniti populariti dalam bidang seni telah mengumpul pelbagai aset seperti membina atau membeli rumah yang adakalanya mencecah sehingga jutaan ringgit. Juara Akademi Fantasia 3, Mawi misalnya, memiliki sebuah rumah agam di Bangi, Selangor yang nilainya dikatakan mencecah lebih RM2 juta di mana ia boleh dijadikan contoh buat kalangan artis lain supaya bijak merebut peluang itu di saat bakat seni mereka masih diperlukan oleh para peminat. Bagaimanapun, pada masa sama ramai juga yang kurang bernasib baik atau masih teringin untuk memiliki tanah dan rumah sendiri biarpun ada di antara mereka yang sudah berusia lebih 60 tahun serta boleh dikategorikan pula sebagai 'artis pencen'.
Banyak pihak seperti persatuan-persatuan artis termasuklah Kerajaan Negeri Melaka yang prihatin soal kebajikan artis-artis tanah air dalam usaha mereka memastikan agar golongan ini juga memiliki tanah dan rumah sendiri kerana ramai yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Kerajaan Negeri Melaka melalui Yayasan Melaka contohnya, telah menyediakan sebanyak 217 lot tanah untuk dijual dengan kadar harga yang cukup murah iaitu RM5 untuk setiap kaki persegi khusus untuk golongan artis terutamanya yang merupakan anak jati negeri tersebut.
Dengan keluasan 5,000 hingga 6,000 kaki persegi, setiap pembeli hanya dikenakan bayaran wang deposit RM3,000 dan wang proses RM1,200 bagi permohonan lot tanah yang difahamkan akan dibangunkan di sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Perkampungan Artis khusus untuk artis-artis tanah air. Perkampungan Artis yang mungkin ala-ala di Hollywood itu juga khabarnya akan menyediakan banyak kemudahan seperti auditorium, pentas terbuka, studio latihan dan studio penggambaran untuk para penduduk yang mendiaminya kelak. Sayangnya, selepas hampir setahun tawaran tersebut dibuka, tidak ramai artis yang tampil ke depan bagi memiliki lot-lot tanah yang terletak di Mukim Melaka Pindah, Alor Gajah itu dan sambutannya boleh dikatakan amat mengecewakan sekali.
Difahamkan tawaran itu juga dibuka kepada ahli-ahli persatuan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang tentunya mempunyai lebih 1,000 ahli daripada pelbagai cabang seni. Jumlah itu belum termasuk ahli-ahli daripada sembilan lagi persatuan yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang tentunya juga mempunyai ribuan ahli yang boleh ditawarkan bagi memiliki lot-lot tanah tersebut. Juga tidak termasuk satu lagi persatuan artis iaitu Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Ismail Hutson yang ditubuhkan baru-baru ini bagi menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada artis-artis veteran.
Namun, gambaran yang nyata ialah ramai artis pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Karyawan di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini mengeluh kerana ada di antara mereka yang bukan sahaja tidak mampu memiliki lot-lot tanah yang ditawarkan itu meskipun kadar harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak rendah. Malah, tidak kurang juga di antara mereka yang seakan-akan putus harapan terutamanya yang berusia lebih 55 tahun bagi mendapatkan pinjaman kewangan daripada pihak bank yang tentunya agak sukar untuk meluluskan pinjaman mereka kerana faktor umur. Kalau diikutkan secara logiknya, 217 lot tanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Melaka itu sepatutnya sudah lama habis dibeli berdasarkan bilangan ribuan artis yang menjadi ahli-ahli pelbagai persatuan yang berdaftar di bawah Gafim.
Dalam hal ini, persatuan-persatuan artis mungkin boleh tampil ke depan bagi mencari jalan bagi memudahkan pinjaman demi membantu artis-artis terbabit yang benar-benar memerlukan tanah atau belum memiliki rumah sendiri sebelum 217 lot tanah itu mungkin dibuka pula jualannya kepada umum kelak. Selain kempen mewujudkan tabung seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pencen yang diperkenalkan Karyawan, golongan artis kita juga seharusnya diberi kesedaran supaya mereka ini lebih sedar akan hak-hak dan kepentingan dalam karier masing-masing.
Misalnya, hak pengagihan dan pembayaran royalti yang mereka terima menerusi badan-badan yang dipertanggungjawabkan bagi mengutip royalti kalangan komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik haruslah sentiasa dipantau supaya ia tidak masuk ke kantung pihak-pihak lain. Semua itu bukan setakat menjana pendapatan buat golongan artis bagi memperbaiki lagi taraf hidup mereka, malah ia juga mampu menjadi contoh buat kalangan artis muda pada hari ini supaya perkara tersebut tidak diperkatakan lagi pada masa akan datang.
Natijahnya, senario yang sedang berlaku itu menggambarkan sama ada golongan artis di negara ini mungkin kurang berminat membuat pelaburan jangka panjang, atau mereka ini sememangnya benar-benar tidak mampu untuk memiliki harta asas seperti tanah atau rumah untuk kediaman sendiri. Secara tidak langsung ia juga menguatkan lagi persepsi yang sering dilemparkan oleh masyarakat bahawa kalangan artis cuma sekadar gah daripada segi nama, populariti dan kontroversi sahaja, sedangkan hakikatnya ramai yang tidak punyai apa-apa termasuklah tanah dan rumah sendiri. Mungkin betul bak kata orang Perak, 'biar papa asal bergaya'.
Artikel Terkini