Oleh Nor Akmar Samudin
KETIKA zaman remajanya, Nora Danish, 27, jarang diangkat sebagai teraju utama drama apatah lagi heroin filem. Namun, selepas menjanda, dia meraih perhatian agak luar biasa rentetan peristiwa dia ditinggalkan suami tercinta kerana munculnya insan ketiga.
Berusaha meninggalkan segala cerita pedih dan sedih, Nora muncul semula di persada seni dengan semangat baru dan saban waktu terus sibuk di lokasi penggambaran. Terkini janda jelita itu disunting Penerbit MIG Production Sdn Bhd, David Teo untuk membintangi filemnya yang ke-41 berjudul Cuti-Cuti Cinta arahan Ahmad Idham. David yang ditemui selepas majlis doa selamat filem itu di pejabat MIG di Subang, berkata walaupun Nora berstatus janda anak satu, pada pandangan matanya Nora sekarang lebih cantik dan kelihatan remaja daripada dulu.
“Sebagai pelakon Nora sangat komited dengan kerjanya. Sebelum ini Nora pernah berlakon drama Tiga Serumah dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2 terbitan MIG. Dia sangat berdisiplin dan tidak pernah merungut pasal kerja. “Melihatkan penampilannya sekarang saya yakin untuk memberinya watak heroin dan karakternya sebagai anak orang kaya bernama Eeva Elyana bersesuaian dengannya. “Bagi saya, setiap orang berpeluang menjadi heroin jika dia berjaya menunjukkan lakonan yang bagus dan sentiasa mahu bekerja keras. Saya tengok lakonan Nora semakin baik jadi saya perlu beri ruang kepadanya meningkatkan kerjaya lakonannya,” katanya. Hadir sama pada majlis doa selamat itu, Idham dan barisan pelakon Cuti Cuti Cinta, Farid Kamil (sebagai Omar Rudy), anggota The Fabolous Cat (THC), Cat Farish (Mahmood), Zizie TFC (Faustina), Maliqurrahman TFC (Adeep), Wangi TFC (Kris Dayana), Zed Zaidi (Remy), Zaibo (Tan Sri Zaini), Azizah Mahzan (Puan Sri Salmah), Kaza (Pak Adam) dan Delimawati (Mak Yah).
Bagaimanapun, Nora tidak hadir. Kata David, tahun ini syarikatnya ingin menerbitkan 15 filem yang secara tidak langsung merubah senario dan corak penerbitan di MIG sendiri dan diharap menjadi pemangkin kepada penggiat filem lain untuk merancakkan industri perfileman tempatan. “Hampir 10 tahun MIG dalam dunia penerbitan filem, MIG sudah menghasilkan pelbagai genre cerita termasuk seram, komedi dan cinta. Sepanjang tempoh itu, penonton menaruh kepercayaan terhadap filem terbitan MIG sehingga kebanyakan filem yang dihasilkan mencapai kutipan pecah panggung. Antaranya, filem Syurga Cinta berjaya mengutip RM2.4 juta. “ 2009 adalah tahun paling cemerlang MIG dan berjaya mendominasi industri filem tanah air.
Tahun lepas juga MIG menerbitkan 10 filem. MIG juga berjaya mendapat menerbitkan lebih 200 jam drama dan drama episod Mentua vs Menantu yang disiarkan di Astro Prima mendapat rating paling tinggi sehingga sekarang. Manakala Jangan Pandang Belakang berada dalam kategori lima drama paling popular di TV2. “Pun begitu dalam tempoh 10 tahun juga MIG mengalami banyak suka duka dan pernah ditipu. Bak kata pepatah bersusah dahulu, bersenang kemudian. Menurut kalendar Cina, tahun ini Tahun Harimau dan MIG mesti bekerja lebih kuat untuk mencapai sasaran 15 filem setahun. “Walaupun setahun ada 12 bulan, MIG hanya bekerja selama 10 bulan bagi menghormati Ramadan dan Syawal. Jadi untuk mencapai sasaran itu, sebulan mungkin kami akan menerbitkan dua filem,” katanya.
Tahun ini filem MIG yang akan masuk panggung, Adnan Sempit (14 Januari) dan V3: Samseng Jalanan (11 Mac). Filem yang sedang menanti tayangan, Zoo, Semerah Cinta Stilleto, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Mantra, Aku Masih Dara dan Senario Asam Garam yang baru selesai penggambaran. Menariknya Senario Asam Garam diarahkan ahli akademi, Hatta Azad Khan yang terkenal dengan filem bergenre berat. Buah tangan hebatnya, filem Wayang lakonan Zulhuzaimi Marzuki dan Eman Manan. “Saya akan pastikan setiap filem akan menemui penonton selepas enam bulan siap supaya ia tidak basi. Oleh itu filem yang diterbitkan awal sehingga pertengahan tahun ini dapat ditayangkan pada hujung tahun. Kejayaan MIG juga kerana tidak terlalu bergantung kepada seorang pengarah dan satu genre filem.
“Untuk berjaya kita perlu jalan cerita berbeza dengan sentuhan baru juga. Farid Kamil akan mengarah filem kedua tetapi dia tidak boleh berlakon sama dalam filem itu kerana tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pengarahan. Bulan depan saya akan perkenalkan seorang lagi pengarah muda. Saya juga ada perancangan untuk Yana (Norliyana Shamsudin) mengarahkan filem baru tetapi sekarang biar dia berlakon dulu kerana tawaran sedang banyak,” katanya.
Dicungkil rahsia kejayaan MIG, jelas David dia banyak berdoa. Setiap kerja yang hendak dilakukan dimulakan dengan doa. “Saya juga akan pastikan penonton suka dengan filem terbitan MIG. Untuk itu jika ada sudut penggambaran yang saya tidak puas hati, saya sanggup keluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk penggambaran semula,” katanya. Membuka tirai 2010, MIG menerbitkan filem Cita Cita Cinta yang mana Idham percaya ia akan jadi filem pecah panggung. Ia mengisahkan Eeva, pengarah syarikat milik bapanya, Tan Sri Zaini. Sebagai anak tunggal dia dilimpahi kasih sayang dan kemewahan sehingga menjadikan dia sombong serta suka merendahkan orang lain.
Nora Danish
David Teo
Ahmad Idham
Cat Farish
Zed Zaidi
Zaibo
Azizah Mahzan
Kazaar Saisi
Eman Manan
Zul Huzaimy
Wayang
Adnan Semp-It
V3 Samseng Jalanan
Syurga Cinta
Jangan Pandang Belakang
Jangan Pandang Belakang Congkak
Artikel Terkini