Oleh Elrafaei Sapi
RAMAI bakat baru mencuba nasib dalam bidang seni sama ada lakonan mahupun muzik. Biarpun mereka meraih pelbagai peluang, bilangan pelakon yang mempunyai kualiti dari aspek lakonan masih sedikit. Ini dapat dilihat apabila pelakon yang sama sering muncul di kaca televisyen dan menjadi pilihan ramai produser. Dalam usaha mempertingkat aspek lakonan ke tahap lebih tinggi, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menganjurkan kursus lakon Master Class Acting.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez menyatakan kursus berkenaan bermatlamat meningkatkan kreativiti lakonan di kalangan pelakon tempatan. Kursus itu yang akan berlangsung pada 25 hingga 29 Januari ini di Finas, Hulu Klang, Selangor menampilkan tenaga pengajar dari United Kingdom (UK), Peter Dineen yang sebelum ini berpengalaman dalam bidang lakonan dan pengarahan filem serta televisyen antarabangsa. Kata Freddie, penganjuran kursus berkenaan adalah kali kedua selepas pertama kali dianjurkan pada Julai tahun lalu. Namun, kali ini hanya seramai 12 pelakon dipilih sebagai peserta.
"Pembabitan pelakon dalam kursus ini diambil berdasarkan pengalaman mereka dalam industri. Walaupun jumlah ini terhad pada kelompok kecil, tetapi Karyawan bersama Finas mahu memilih pelakon yang mempunyai banyak pengalaman layak untuk turut serta. "Sebelum ini kami menghubungi beberapa pelakon untuk menjemput sertai kursus ini. Pada mulanya, seramai 15 pelakon yang berminat, tetapi akhirnya hanya 12 pelakon yang bersetuju. "Bagi Karyawan, ini adalah langkah baru yang diambil untuk membantu mempertingkat mutu perfileman tempatan. Karyawan juga berbangga menerusi pembabitan pelakon tempatan dalam kursus sebegini diharap merangsang semangat pelakon lain ambil peluang sama menyertai kursus ini pada masa akan datang," katanya.
Freddie yang ditemui pada sidang media kursus berkenaan di pejabat Karyawan, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini turut memperkenalkan sembilan peserta yang ditaja Karyawan untuk sertai kursus ini iaitu Sabrina Hassan, Joanna Bessey, Soosan Hoh , Peggy Ng, Intan Khairani, Jegan, Iqbal, Megat Sharizal dan Brian McIntyre. Bagaimanapun, tiga peserta lain iaitu Datin Noniswara Baharudin, Sofea Jane dan Tria tidak dapat hadir pada majlis itu. Bagi Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid menyatakan pengalamannya ketika menyertai kursus berkenaan pada tahun lalu memberikan banyak pengetahuan baru. Katanya, kehadiran tenaga pengajar antarabangsa suatu yang menarik untuk dikongsi pengalaman bersama pelakon tempatan.
"Banyak aspek ditekankan seperti ekspresi berlakon, teknik pernafasan dan pengawalan suara untuk menjayakan sesuatu watak. Pada saya, kursus ini membawa banyak kelebihan untuk pelakon tempatan. "Ada perkara yang diajar mungkin tidak disedari pelakon ketika berada di dalam set penggambaran. Ini penting untuk pelakon kita belajar dan tidak membuat kesilapan," katanya. Sabrina juga akui pelakon yang sudah lama berlakon sering berdepan masalah lakonan yang statik. Katanya, kursus berkenaan perlu untuk memperbaiki mutu lakonan.
"Biarpun saya sudah berlakon selama tujuh tahun, saya sering tidak puas hati dengan mutu lakonan sendiri. Menerusi pembabitan dalam kursus ini, ilmu yang ditimba menjadi pelakon lebih berani untuk menonjol diri sebagai pelakon," katanya. McIntyre pula, berasal dari Wales dan menetap 20 tahun di negara ini masih tertarik untuk sertai kursus itu walaupun berpengalaman luas dalam aspek lakonan khusus teater. Beliau berkata kursus berkenaan mampu mengasah bakat tempatan mencapai standard pelakon antarabangsa.
"Menerusi pengalaman saya terbabit dalam pementasan teater di sini, tidak banyak beza mutu pelakon tempatan dengan antarabangsa. "Saya juga kagum dengan bakat pelakon tempatan yang menunjukkan lakonan mendalam dan berkesan. "Namun, setiap pelakon masih mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan diri dan meraih pengalaman baru seperti terbabit dalam kursus ini. Saya mengharapkan lakonan saya termasuk peserta lain lebih meningkat dan keyakinan berlakon juga bertambah," katanya.
Artikel Terkini