Oleh Elrafaei Sapi
Berbeza dengan filem arahannya sebelum ini, Razak mencari pelakon menerusi uji bakat terbuka yang diadakan di empat lokasi bermula di Pulau Pinang pada 11 Oktober lalu, Kota Kinabalu, Sabah (17 hingga 18 Oktober), Kuala Lumpur (30 hingga 31 Oktober) manakala destinasi terakhir di Johor Bahru pada 1 November.
Untuk lokasi di Kuala Lumpur yang diadakan di ruang legar pawagam Golden Screen Cinema (GSC), Pavilion baru-baru ini, uji bakat pada hari pertama yang bermula jam 10 pagi hingga 7 malam menarik perhatian 111 peserta untuk mencuba nasib. Menariknya, untuk empat lokasi, lebih 1,000 peserta yang hadir.
Razak yang bertindak sebagai juri turut dibantu lima juri lain iaitu Penerbit Eksekutif Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd (LCMP), Abd Latiff Mohaideen bersama Pengurus Besar, Abd Shukor Mohaideen serta dibantu Zaharin Ishak, Fadzil Manap dan Faizul Rashid.Razak ketika ditemui berkata uji bakat itu diadakan secara serampang dua mata iaitu matlamat utama mencari lapan bakat baru untuk diserap sebagai pelakon utama dan menyerap bakat lain sebagai pelakon pelapis.Katanya, uji bakat yang terbuka kepada gadis berusia 16 hingga 25 tahun menemui ramai bakat baru yang berpotensi menjadi pelakon untuk pelbagai filem dan drama terbitan LCMP pada masa akan datang. Untuk lapan pelakon utama yang dicari, mereka akan membawa watak sebagai peserta ratu cantik dalam filem berkenaan.
"Sebagai permulaan, filem ini akan memilih 26 bakat baru untuk diberi latihan selama dua minggu sebelum hanya lapan yang layak dipilih untuk membawa watak utama. Bagi mereka yang tidak berjaya, kami masih memberi peluang pada mereka untuk menjadi pelakon pembantu dalam filem ini."Untuk lokasi di Kuala Lumpur pada 30 Oktober, saya melihat hanya empat peserta yang layak untuk diberi kepercayaan melakonkan watak utama. Namun, ia tetap bergantung pada latihan nanti yang bermula pada 9 November ini."Kami akan menilai aspek disiplin, bakat, minat dan kesungguhan mereka untuk berlakon filem ini. Syarat asas untuk watak utama iaitu ketinggian juga penting yang menggambarkan mereka adalah peserta ratu cantik."Biarpun kita hanya mensyaratkan minimum ketinggian adalah lima kaki lima inci, tetapi kebanyakan yang hadir pada uji bakat tidak memenuhi syarat. Hanya 20 peratus saja yang mencapai ketinggian yang kami mahukan manakala 10 peratus lagi kami terpaksa tolak," katanya.
Razak turut menyatakan lapan watak utama berkenaan diselitkan tiga pelakon bukan Melayu iaitu India, Cina dan bangsa lain yang menggambarkan konsep 1Malaysia. Untuk filem berkenaan, peluang diberikan pada bakat baru sebagai tarikan pada penonton. Semua 26 pelakon baru itu akan melaporkan diri pada 9 November ini di pejabat LCMP di Shah Alam untuk latihan selama dua minggu. Filem itu menelan belanja sebanyak RM1.6 juta manakala RM100,000 untuk kos di empat lokasi uji bakat. Penggambaran akan bermula pada 29 November ini membabitkan lokasi di Sabah iaitu di Pulau Gayana dan Pulau Manukan serta Lembah Klang.Razak menyatakan filem berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah yang membantu dari aspek lokasi dan kemudahan penggambaran seperti penggunaan helikopter nanti.
"Kami memilih pelakon baru kerana kami tidak mahu penonton melihat lakonan mereka bukan atas imej sebagai pelakon sebelum ini. Namun, aspek personaliti dan perwatakan pada diri seseorang itu penting untuk memberi tarikan pada penonton," katanya.Bagi peserta Tania Baharuddin, 18, berkongsi perasaan gementar ketika kali pertama menghadiri uji bakat yang memerlukannya untuk berlakon secara spontan dengan reaksi seperti gembira, sedih dan kecewa. Dia percaya peluang untuk menjadi pelakon filem ini bergantung pada bakat dan nasib.Tania yang mempunyai latar belakang pendidikan Diploma Kecantikan dari Glauca Rossi, London berhasrat untuk menjadikan lakonan sebagai fokus untuk mengembang bakat dalam diri. "Sebelum ini, ada sepupu saya yang terbabit dalam bidang peragaan memberikan saya semangat untuk hadir pada uji bakat ini. Saya sendiri mempunyai minat untuk cuba berlakon lalu saya memberanikan diri menyahut cabaran ini.
"Jika difikirkan perasaan saya memang gementar apabila hadir uji bakat ini, tetapi saya sempat buat sedikit latihan berlakon depan cermin. Saya meminati pelakon seperti Angelina Jolie, Maya Karin dan Nabila Huda yang menjadi idola pada diri saya untuk menyimpan impian menjadi seperti mereka. "Walaupun saya kelihatan pemalu, tetapi saya mahu mencabar diri mencuba pelbagai watak seperti menjadi gadis garang dan bersikap suka mempermainkan lelaki. Mungkin jika tidak diberikan watak utama, saya masih berpeluang mencuba watak lain," katanya.Peserta Suzane Roberto Ortiz, 22, pula menyatakan dia tertarik untuk mencuba nasib dalam uji bakat yang diadakan kerana percaya Ratu dapat meluaskan pengalaman baru dalam bidang lakonan. Mengikut saiz, dia akui ketinggian empat kaki sembilan inci yang dimilikinya tidak memenuhi kelayakan menjadi pelakon utama, tetapi tetap berusaha untuk meraih apa jua tawaran yang ada.
Suzane yang mempunyai kacukan Sepanyol daripada sebelah bapanya manakala ibunya berasal dari Kelantan menyatakan pernah membintangi beberapa drama dan program TV antaranya Nighmare The Shoulder dan Cubit-Cubit Sayang. Dia yang memiliki Diploma Perniagaan dari University Of Granada, Sepanyol turut berkebolehan berkomunikasi dalam bahasa Sepanyol. "Bapa saya seorang pemuzik di sana dan mungkin dari situ, saya juga mempunyai kecenderungan minat pada bidang seni, tetapi terarah pada lakonan. Mungkin orang lain lebih cantik daripada saya tetapi saya tidak putus asa untuk mencuba nasib. "Saya percaya masing-masing mempunyai kebolehan dan jika saya terpilih, saya mahu jadikan lakonan sebagai karier serius dan sepenuh masa," katanya.
Berbeza dengan peserta Nastassha Abd Rahman, 24, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah menganggap pengalaman menerusi bidang peragaan memberi kelebihan padanya untuk menjiwai watak utama sebagai ratu. Katanya, dia sebelum ini pernah meraih gelaran Wajah Fotogenik produk Innershine manakala Top 10 Gadis Muka Depan Majalah Eh!. "Saya mencuba nasib kerana minat mendalam untuk menjadi pelakon. Sebelum ini, saya pernah terbabit sebagai model iklan dan selepas habis kontrak lima tahun bersama Penerbangan Malaysia, saya memasang impian untuk bergelar pelakon sepenuh masa. "Ketika masih menjadi pramugari, saya pernah mendapat tawaran untuk menjadi peserta program realiti, Pilih Kasih, tetapi saya terpaksa tolak kerana komitmen pada kerja. Bagaimanapun, kini saya bersedia untuk memikul cabaran sebagai pelakon," katanya.
Bagi Noor Jazillah Abd Rashid, dia tertarik untuk hadir pada uji bakat ini atas sokongan keluarga dan rakan yang mahu dia menimba pengalaman menjadi pelakon. Gadis berusia 22 tahun ini yang berasal dari Johor Bahru menyatakan dia bersedia untuk mengagih masa antara lakonan dengan pelajaran sekiranya mendapat peluang membintangi filem ini. "Buat masa ini saya masih mengikuti pengajian Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Namun, ia bukan penghalang pada saya untuk mencuba nasib menjadi pelakon. "Andai tidak berpeluang mendapat watak utama, saya berhasrat untuk mencuba pelbagai watak lain. Ini adalah pengalaman pertama kali saya hadir pada uji bakat filem. "Walaupun ada perasaan gementar, tetapi saya tetap berusaha berlakon spontan depan juri. Saya berharap untuk meraih peluang ini sebagai platform untuk menggilap bakat sendiri." katanya.
Prof Madya A. Razak Mohaideen
Latiff Mohaideen
Faizul A. Rashid
Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd.