Sinema Malaysia - Artikel
Anda berada di : Utama > Artikel > Orang Filem
Orang Filem
 

17 Disember 2007

WAWANCARA BERSAMA AIDA FITRI BUYONG
Oleh : Ruzita Alias
Aida sedang membetulkan topi Thee Kuan Chye yang memegang watak Tan Cheng Lock dalam filem 1957-Hati Malaya

Aida Fitri Buyong merupakan Pengurus Kanan Produksi di Pesona Pictures. Beliau memperoleh Sarjana Muda [(Hons) in Photography, Film & Television, Foundation Dip. in Fine Arts & Design, Medway College of Design, Kent, United Kingdom di London College of Printing, United Kingdom. Beliau bermula dengan penerbitan dokumentari di Lamberth Council sebagai penyelidik bagi projek “Nicaraguan Cause” sebelum pulang ke Malaysia.

Aida menyertai Shuhaimi Baba menubuhkan Pesona Pictures pada tahun 1993 setelah menimba pengalaman sebagai freelancer dan bertugas sebagai penolong penerbit di TV3. Tugas mengurus syarikat secara langsung melibatkan beliau dalam kesemua penerbitan program TV oleh Pesona termasuk penulisan skrip serta mengarah beberapa telemovie, drama bersiri, rancangan hiburan dan dokumentari. Pengalaman selama 20 tahun serta penglibatan beliau sebagai penerbit eksekutif untuk kesemua filem yang diterbitkan oleh Pesona Pictures iaitu Selubung, Ringgit Kasorrga, Layar Lara, Mimpi Moon, Pontianak Harum Sundal Malam dan Waris Jari Hantu menjadikan beliau salah seorang peneraju industri perfileman di Malaysia.

 

 

 

SINEMA MALAYSIA (SM) : Bagaimana dan bila puan menceburi industri perfileman?

Aida Fitri Buyong (AFB) : Saya mengambil kursus Ijazah Photography Film & Televisyen di London College of Printing selama tiga tahun. Sekembalinya saya ke Malaysia, saya buat freelance penerbitan filem dan iklan. Kemudian saya bekerja di TV3 selama tiga tahun. Selepas itu saya menubuhkan Pesona Pictures Sdn Bhd bersama Shuhaimi Baba dalam tahun 1993. Filem pertama terbitan Pesona Pictures ialah Ringgit Kassorga.

 

SM : Kecenderungan mutakhir Pesona Pictures ialah menerbitkan filem bercorak horor. Apakah yang mendorong Pesona berbuat demikian?

AFB : Pesona Pictures telah menerbitkan pelbagai genre filem. Kami cuba menerbitkan filem yang berlainan genre untuk mencari pembaharuan. Semua filem terbitan Pesona Pictures juga mementingkan jalan cerita yang kukuh sebagai unsur utama filem. Genre horor ialah salah satu daripadanya. Setelah membuat kajian dengan penonton, ramai yang mahu menonton filem seram. Jadi kami cuba buat filem seram. Setelah hampir 20 tahun filem genre horor dihalang, kami telah berjaya mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk menerbitkan filem genre horor mengikut garis panduan LPF. Filem Pontianak Harum Sundal Malam & Pontianak Harum Sundal Malam 2 ialah genre horor dan filem Waris Jari Hantu ialah genre mistik.

 

SM : Pada pandangan puan sebagai penglibat filem, sampai bilakah filem sebegini boleh bertahan di pasaran?

AFB : Selagi ada permintaan daripada penonton, penerbitan filem sebegini akan berterusan. Ini merupakan genre universal dan syarikat filem antarabangsa tetap menerbitkan filem sebegini.

 

SM : Lazimnya filem horor dikaitkan dengan tujuan komersial dan tidak mementingkan aspek pemikiran. Apakah pandangan puan?

AFB : Filem horor ialah satu genre universal dan komersial. Filem diterbitkan untuk penonton. Penonton membayar tiket untuk menonton wayang dan berhibur. Dan tak dapat dinafikan penonton gemar menonton filem aksi dan seram. Tetapi kebanyakan filem seram memang menuntut penonton berfkir. Tidak semua filem seram hanya menonjolkan elemen seram saja dari mula sampai akhir. Bagi Pesona Pictures, kami mengutamakan cerita itu sendiri. Dan ceritanya memang menuntut penonton berfikir sambil berhibur. Terpulanglah kepada pengarah dan penerbit untuk menentukan corak cerita serta teknik penyampaiannya.

 

SM : Pesona Pictures didapati mengekalkan pelakon yang hampir sama dalam setiap filem mereka. Mungkin ada sebab tertentu?

AFB : Dalam setiap penerbitan filem, kepercayaan dan kerjasama antara pelakon dan tenaga produksi adalah penting supaya penggambaran dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya dan kami juga memilih pelakon yang sesuai untuk karakter dalam cerita. Sebab itu Pesona Pictures selalu menjalankan uji bakat sebagai peringkat pertama mencari pelakon. Apabila sudah biasa dengan cara kerja, maka lebih mudah dan selesa untuk berkomunikasi dan bekerjasama. Ini bukan saja dilakukan oleh produksi kami malah produksi lain juga.

Kami juga mengambil pelakon-pelakon lain dalam filem kami. Dalam filem 1957-Hati Malaya, hampir 50 pelakon bekerjasama dalam filem ini.

 

Aida sedang memberikan tunjuk ajar kepada Kamarulzaman, pelakon 1957-Hati Malaya.

SM : Terbitan terbaru Pesona ialah 1957-Hati Malaya. Apakah mesej penting yang cuba disampaikan kepada khalayak?

AFB : Filem 1957-Hati Malaya adalah untuk tontonan semua rakyat Malaysia terutama generasi muda yang kurang tahu tentang sejarah kemerdekaan negara, pengorbanan pejuang bangsa yang disanjung dan tidak disanjung menuntut kemerdekaan demi keselesaan yang kita rasai sekarang ini. Lebih daripada itu, filem ini diterbitkan untuk mengingatkan orang ramai tentang asal usul kita, sebuah bangsa yang unik, lain daripada yang lain, dan sejarah kita adalah identiti kita.

 

 

SM : Bagaimana filem boleh berperanan secara berkesan dalam memupuk semangat nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan masyarakat?

AFB : Filem ini medium hiburan yang diselitkan dengan pengajaran, pengalaman dan mesej tertentu untuk memupuk semangat nasionalisme dan patriotisme. Filem boleh membantu kerana visual boleh memberikan pengaruh yang besar kepada penonton. Penonton boleh merasai atau menghubungkannya kepada sesuatu situasi dan menggambarkan peribadi pejuang-pejuang sejarah yang hanya tertulis secara kaku dalam buku teks.

 

SM : Filem sudah menjadi salah satu bahan komoditi. Filem wajar mengajak penonton berfikir tetapi trend sekarang ialah 90% filem dibuat untuk memenuhi pasaran. Apakah pandangan puan?

AFB : Filem diterbitkan untuk penonton. Kalau tidak ada penonton, tidak adalah filem. Jadi, filem dibuat mengikut kehendak penonton. Penerbitan filem ialah sebuah bisnes. Ada untung dan rugi. Keuntungan daripada sesebuah filem penting supaya penerbitan filem berterusan. Risiko agak tinggi kerana ada kalanya filem yang bermutu tidak mendapat box office. Jadi, ini terpulang kepada penerbit dan pengarah untuk menentukan filem yang boleh menarik penonton ke panggung. Dan sekarang penonton sudah pandai menilai filem yang mahu ditonton.

Secara realistik, filem perlu memenuhi perasaan dan penerbit harus cuba memastikan box office yang lumayan kerana banyak komitmen telah diberikan oleh pelabur dan pekerja yang telah bekerja keras untuk menghasilkan satu produk yang berkualiti. Dengan itu penerbit bertanggungjawab menghasilkan filem yang boleh membawa keuntungan.

 

SM : Sebagai pembikin filem, apakah cabaran besar yang dihadapi.

AFB : Cabaran yang paling besar ialah bajet. Semuanya bergantung pada kos. Untuk menghasilkan filem yang berkualiti perlu ada bajet yang tinggi. Begitu juga cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja professional. Kita masih kekurangan tenaga kerja professional. Filem semakin banyak diterbitkan tetapi pekerja yang boleh bekerja atau berkaliber tidak ramai.

 

SM : Secara umum bagaimanakah industri perfileman dapat meningkatkan kecemerlangannya?

AFB : Kerjasama dan penyatuan dalam industri filem amat penting. Industri filem tempatan tidaklah sebesar di Korea, Jepun, Thailand, Hong Kong. Tetapi sekiranya industri filem tempatan bekerjasama dan bersatu, banyak yang boleh dicapai. Jumlah terbitan filem dalam setahun semakin meningkat dan mendapat sokongan penonton. Kita masih perlu membina tenaga kerja professional dan para pelakon yang masih kurang ketika ini. Penonton mahu menonton filem tempatan. Ini satu pencapaian. Kita perlu melatih tenaga muda bekerja dengan cara yang betul.

Kerjasama pihak stesen TV adalah amat penting kerana mereka membantu bagi jangka masa panjang dengan menayangkan filem-filem tempatan. Sokongan dan bantuan daripada mereka dari pelaburan dan pembekalan adalah penting kerana dengan ini industri filem dan hiburan kita boleh berkembang sihat.

 

Profil Berkaitan

 Aida Buyong    1957: Hati Malaya  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD