Sinema Malaysia - Artikel
Anda berada di : Utama > Artikel > Selebriti
Selebriti
 

31 Disember 2007

VANIDAH IMRAN, PELAKON WANITA TERBAIK
Oleh : Azra' Hannah
Vanidah Imran

Berbekalkan wajah jelita dan bijak mengatur perjalanan kariernya sebagai pelakon, Vanidah Imran bukanlah satu nama asing dalam dunia lakonan tanah air. Bakatnya mula dicungkil selepas memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Ratu Cantik Malaysia pada tahun 1993/1994. Bertitik tolak dari situlah, dia berjinak-jinak dalam bidang lakonan teater dan kemudiannya ditawarkan berlakon dalam filem Putera sebagai pelakon utama.

Bakatnya yang semula jadi begitu terserlah dan pelbagai pihak telah menawarkan pelbagai watak kepadanya. Dia tidak memilih untuk berlakon dalam filem sahaja, malah drama dan telemovie di televisyen serta teater turut menjadi pilihannya.

“Yang penting ialah jalan cerita dan watak yang diberikan mencabar kewibawaan saya sebagai seorang pelakon”, katanya.

Sering dikaitkan dengan watak yang dramatik atau tormented, Vanidah membuktikan bahawa bukan semua pelakon tempatan mampu untuk watak seperti itu. Dia begitu sinonim dengan watak wanita yang sering dibelenggu masalah serta percanggahan falsafah hidup. Inilah yang dikatakan cabaran yang menguji kemampuannya sebagai seorang dramatis.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada sesiapa yang dapat mengagaknya. Itulah pepatah yang tepat untuknya. Setelah 13 tahun bergelut dalam dunia lakonan, akhirnya pada Festival Filem Malaysia ke-20 di Pulau Pinang, dia memenangi anugerah yang diidamkan selama ini, iaitu Anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi lakonannya dalam filem The Red Kebaya. Ini secara langsung telah mengangkat kembali namanya ke persada lakonan filem.

“Saya tidak menyangka langsung yang saya akan memenangi anugerah ini kerana saingan daripada calon-calon lain seperti Nasha Aziz dan Sharifah Amani memang kuat. Mungkin masa inilah rezeki saya setelah banyak pengorbanan saya dan keluarga berikan dalam dunia lakonan ini”, kata Vanidah.

Kemenangan ini menjadi lebih bermakna baginya kerana diterima di negeri kelahirannya, Pulau Pinang, dan pada masa sama negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50.

“Suami (Rashidi Ishak) yang banyak berkorban dalam memberi peluang, ruang, dan terutama sekali keizinan untuk saya terus berjuang dalam dunia lakonan. Suami begitu memahami karier saya sebagai pelakon. “Tanpa Shidi, saya tidak akan merasa naik ke pentas dan menerima anugerah ini. Kalaulah diberi peluang berucap pada malam tersebut, orang pertama yang akan saya nyatakan terima kasih yang tidak terhingga saya adalah padanya. Semasa penggambaran The Red Kebaya, beliaulah yang mengambil tugas menjaga dua orang anak kami”, tambahnya.

Meskipun ramai yang memberitahu Vanidah sepatutnya menggondol trofi yang sama sembilan tahun lalu melalui filem Perempuan Melayu Terakhir, dia tewas kepada Amy Mastura dan filem Puteri Impian.

Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik & Pelakon Lelaki Terbaik (Rusdi Ramli) FFM 20


Ketika itu memang dia kecewa dengan keputusan yang tidak berpihak kepada dirinya kerana dia begitu ghairah untuk merangkul anugerah di majlis yang berprestij seperti itu. Percubaannya sepanjang 13 tahun lalu bagaikan menantikan “buah tak gugur” walaupun bakat lakonannya terus mendapat pujian daripada semua pihak.

“Untuk filem Perempuan Melayu Terakhir saya telah dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Taiperi, di Anugerah Skrin TV3, dan Anugerah Cameronian. Semuanya tidak berpihak kepada saya. Sehingga hari ini, saya masih ingat pesanan Fauziah Nawi yang mengatakan lakonan saya masih belum matang. Nasihat itu membuat saya teus mencuba dan mencuba”, ujarnya.

Kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik 2007 bukanlah alasan untuknya mengambil masa untuk berehat. Aktiviti sebagai pelakon masih diteruskan dan kini giat mempersembahkan teater.

Pada bulan Ogos yang lepas dia terlibat dengan pementasan muzikal di Istana Budaya yang bertajuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di bawah arahan Mior Hashim Manap yang sebelumnya dengan sebuah teater pendek yang berjudul Nyonya, arahan Rosmmianh Tahir yang dipentaskan di Kedah. Kini, dia menanti tayangan filem terbarunya berjudul Akhirat, arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya.

Vanidah memegang watak seorang isteri yang baik serta bertanggungjawab terhadap keluarganya. Namun, malang tidak berbau apabila berlaku perkara tragis melanda dirinya sehingga mengubah kehidupannya secara mendadak. Selain filem Akhirat, Vanida juga turut memegang watak utama untuk filem arahan Khabir Bhatia, iaitu Sepi, dan digandingkan dengan Afdlin Shauki buat pertama kalinya.

“Mendapat peluang berlakon di samping Afdlin merupakan peluang yang saya nanti-nantikan kerana saya begitu mengagumi bakat beliau sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem. Bukan semua berkemampuan serta mempunyai bakat untuk mengendalikan beberapa tugasan dalam masa yang sama”, ujar beliau.

Filem Sepi mengaplikasikan konsep yang seakan-akan Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Cinta yang mempunyai tiga kisah. Filem ini merupakan edaran Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan dijangka akan ditayangkan pada Februari tahun hadapan.

Vanidah juga terlibat dalam pembikinan filem animasi Budak Lapok dengan memegang watak sebagai Normah, iaitu ibu kepada watak utama filem tersebut, Aziz. Pengalaman yang ditimbanya begitu berbeza sekali kerana ia memerlukan penghayatan yang lebih memandangkan karakter sudah pun dilakonkan.

Selain itu, Vanidah juga terlibat dengan filem bertajuk Histeria arahan pengarah bebas James Lee. Filem seram ini menceritakan sekumpulan pelajar kolej yang terpaksa membersihkan kawasan kolej mereka semasa cuti semester dan kemudian berdepan dengan kejadian aneh dan misteri.

“Saya memilih filem ini kerana jalan ceritanya dan para pelakonnya. Memegang peranan sebagai seorang ustazah dan walaupun kecil, memberi peluang kepada saya untuk menonjolkan diri dalam industri”, kata Vanidah.

Profil Berkaitan

 Vanidah Imran    The Red Kebaya  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD