Sinema Malaysia - Artikel
Anda berada di : Utama > Artikel > Selebriti
Selebriti
 

19 Disember 2008

SEPETANG BERSAMA PELAKON 'WAJAH KASIH' UMIE AIDA
Oleh : Faizal Fauzi
Umie Aida

Menanti saat ketibaan beliau sungguh mendebarkan. Bukan diri ini seorang yang ternanti-nanti malah puluhan anak muda dari Sekolah Menengah Seksyen 14 Shah Alam menaruh harapan yang tinggi untuk dapat bersua kenal dengan si pelakon yang dikatakan iras Seniwati tanahair Hashimah Yon. Murid-murid yang menanti dengan penuh kesabaran di dalam khemah berhawa dingin itu, tidak lepas pandang pada pintu pagar Galeri Perfileman FINAS menanti kelibat beliau. Selang beberapa minit pegawai galeri memasuki khemah membawa khabar berita bahawa beliau akan sampai dalam jangka masa 5 minit. Tidak sempat pegawai tersebut menghabiskan pengumuman, deruman enjin kereta yang kuat memasuki pekarangan tempat letak kereta galeri tersebut telah mengalih perhatian pelajar kepada kereta itu. Identiti si pemandu  tersebut telah menghasilkan satu sorakan yang kuat diiringi tepukan apabila si pelakon yang diberi gelaran ‘pelakon wajah kasih’ melemparkan senyuman manis serta lambaian buat pelajar yang menanti. Luahan seorang pelajar ini memang turut sama dirasakan oleh pelajar lain ‘Cantiknya Umie Aida....’

Menjadi Umie Aida yang cantik dan glamour pula membuatkan ramai anak muda tertarik pada pelakon yang serba boleh ini. Memang siapa sangka pembabitan diri beliau didalam dunia lakonan secara suka-suka akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan. Paling mengujakan apabila dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem Embun.

“Saya mula menceburi bidang lakonan ketika berumur 18 tahun waktu menantikan keputusan SPM. Waktu itu memang tak ada minat langsung dalam bidang lakonan sebab selalu tengok Kak Erma tunggu berjam-jam dekat lokasi untuk menghabiskan satu ‘scene’. Memang tak suka dan tak minat langsung kerja macam itu.

“Tapi peluang untuk berlakon itu terbuka apabila saya terpaksa menggantikan Kak Erma dalam filem Memory arahan Datin Hajah Rosnani pada tahun 1991 mendokong watak pembantu. Pada waktu itu ada beberapa orang beritahu saya mempunyai bakat dalam bidang ini dan menyedari hakikat itu baru saya bersunguh-sungguh dalam bidang ini. Cita-cita saya sebenar nak menjadi seorang cikgu!” kata Umie Aida atau nama penuhnya Umi Khalsum.

Mengulas pembabitannya dalam filem itu, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16  ini berkata watak paling mencabar yang pernah dibawanya ialah Diana Dahlan dalam filem Dukun.

“Watak Diana Dahlan dalam filem Dukun itu paling mencabar dalam karier saya sebagai seorang pelakon. Bayangkan saya memelihara sekor ular dirumah pada waktu itu dan kaji karekter ular tersebut untuk watak saya. Dari lirikan mata sehingga tiap inchi pergerakan badan saya mirip seekor ular untuk membuat watak Diana seorang pengamal ilmu sihir itu menjadi.”  kata Umie yang mengidamkan watak beraksi lasak suatu hari nanti.

DUKUN...Filem lakonan Umie Aida yang paling mencabar.

Antara pengalaman yang masih segar dimindanya adalah ketika berlakon di bawah arahan Sidi Oraza dalam drama Surah Terakhir yang memberi kejayaan pada beliau apabila merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin ketika itu.

“Saya membawa watak sebagai seorang perempuan joget dalam drama itu. Watak saya banyak bermain dengan emosi dalaman dan memerlukan saya untuk menangis. Yang bagusnya dengan Sidi  sebagai pengarah ialah teknik dia cukup sesuai dan selesa dengan saya. Dia kaji dan fahami emosi saya dan karekter yang perlu saya mainkan. Beliau banyak menggunakan psikologi atas diri saya untuk timbulkan emosi yang dia kehendaki. Seorang pengarah itu perlu pandai baca karekter pelakon dia. Untuk seorang pelakon itu mengambil ’feel’ menangis atau emosi amat bergantung pada bakat dan pengalaman peribadi. Dia akan jadi secara ’naturally’ dan bukan atas paksaan. Pengalaman dan latar belakang pelakon itu yang membezakan kemampuan dia untuk berlakon.”  ujar Umie yang baru habis menjalankan penggambaran dalam filem Pisau Cukur sebagai isteri kedua Dato’ Rahim Razali.

“Saya ini selalu dikaitkan dengan watak gadis melayu. Cukup susah untuk saya kikiskan imej itu. Kalau ada sahaja watak yang memerlukan wajah klasik selalu dikaitkan dengan diri saya. Watak Cik Puteh dalam filem Kala Malam Bulan Mengambang itu tak susah bagi saya untuk bawa sebab sebelum ini banyak kali sudah saya bawa watak sebegitu. Hanya perlu buat research sedikit  dan  kaji lenggok perempuan melayu pada zaman itu.

“Saya memang memilih dengan skrip. Sebab bagi saya kualiti skrip itu lebih penting dari menerima sebarang watak yang tidak mencabar saya sebagai seorang pelakon. Kadang-kadang saya minta kebenaran pengarah untuk guna dialog sendiri supaya nampak ’natural’ scene itu. Saya rasa bertuah berpeluang dapat berlakon dengan pengarah-pengarah yang bagus seperti Kabir Bhatia, Erma Fatima, Mamat Khalid dan Bade Hj. Azmi. Masing-masing ada keistimewaan mereka tersendiri untuk mengolah watak dan karekter saya. ” kata Umie yang ingin berkerja dengan Datuk Paduka Shuhaimi Baba, U-Wei dan Yasmin Ahmad suatu hari nanti.

BERKESAN...Watak-watak yang pernah dibawa oleh Umie Aida di layar perak.

Dan sepanjang 17 tahun penglibatan beliau dalam industri seni, perkembangan yang dia lihat dalam industri ini dari masa ke semasa cukup positif.

“Kalau dibandingkan dulu dan sekarang sekatan kreativiti hasil seni itu cukup berbeza. Pihak Lembaga Penapisan Filem semakin terbuka dan longgarkan syarat-syarat mereka. Kalau dulu perkara-perkara yang dikaitkan dengan mistik dan tahyul tidak dibenarkan sama sekali. Sekarang dengan ada kelonggaran itu timbul filem-filem dan drama-drama yang berunsur seram dan spiritual untuk penonton masa kini. Selain itu FINAS juga banyak membantu para penggiat filem tanah air dengan memberi pembiayaan untuk menghasilkan filem terutama filem yang berunsur sejarah dan kebudayaan. Semua ini petanda industri kita semakin maju.” kata Umie yang akan menjalani penggambaran filem Ku Seru The Movie pada bulan Mac akan datang.

MESRA... Kenangan para pelajar bersama Umie Aida di Galeri Perfileman FINAS. .

Mengakui bergelar anak seni yang terkenal sesuatu yang menyeronokkan namun kehidupan selebriti sepertinya bukanlah semuanya indah-indah belaka. Seronok menjadi seorang artis kerana diri disayangi dan diberi sokongan padu oleh peminat setia, tetapi sebagai insan biasa, dia juga punya hati dan perasaan.

“Emosi sebagai seorang anak seni kena kuat dengan tohmohan orang sekeliling tak kira siapa. Saya jenis orang yang suka ’privacy’ saya sendiri. Dalam karier saya sebagai seorang pelakon, tohmahan paling pahit dalam hidup saya ialah apabila saya dikatakan melahirkan anak luar nikah sedangkan mereka anak angkat saya. Orang yang reka cerita itu seperti tak berfikir untuk menjaga perasaan orang lain. Perkara itu cukup menyakitkan saya kerana ia melibatkan  anak–anak dan keluarga. Mak saya ketika itu banyak menasihati saya untuk bersabar dengan semua dugaan ini.

“Nak kata saya menyesal bergelar anak seni tidak tetapi cuma kalau diberi pilihan saya takkan buat kerja nie. Tanggungjawab dia besar sangat. Jangan mimpi nak jadi pelakon kalau diri sendiri tidak kuat terutama bagi lelaki. Anak seni bukan kerja mudah.”

Memberitahu amat bertuah kerana mempunyai peminat yang bukan sahaja setia tetapi pandai menilai mana yang benar dan mana yang direka semata-mata. Sokongan itulah yang paling menyeronokkan dirinya sebagai seorang artis.

Profil Berkaitan

 Umie Aida  

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD