![]() |
| Maya Karin |
Siapa tidak mengenali pelakon, penyanyi dan pengacara Maya Karin Roelcke, aktres jelita kacukan darah empat bangsa (Melayu, Cina/India sebelah ibu, dan Jerman sebelah ayah). Artis ini cukup dikenali ekoran lakonan suksesnya dalam Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) karya Shuhaimi Baba.
Kemuncaknya nama Maya, 28, bukan sahaja meniiti bibir khalayak tempatan malah disebut di Fukuoka, Jepun, kala diumumkan sebagai pemenang Anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 melalui lakonan cemerlangnya dalam filem yang menggelarkan dirinya sebagai pontianak itu.
Cabarannya dalam perfileman tidak berhenti setakat melakonkan watak pontianak yang memerlukannya terbang tetapi diteruskan sehingga ke dasar lautan.
Sebagai duyung yang bernama Puteri dalam filem Duyung arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Maya terpaksa dibaluti kostum duyung selama berjam-jam setiap hari malah melalui cabaran melakonkan sendiri babak berenang, menyelam mahupun bertarung di dalam air.
Itulah kelebihan pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman ini. Beliau mampu mempelbagaikan wataknya. Bukan sekadar selesa dan sinonim dengan imej pontianak sahaja malah melalui Anak Halal pula dapat dilihat seorang Maya yang lembut menjadi kasar sebagai ‘tomboy’.
“Sebagai pelakon, Maya rasa puas bila dapat melakonkan sendiri adegan yang mencabar lagi berbahaya,” ujar Maya ketika ditemui Sinema Malaysia baru-baru ini.
Bercerita dengan Maya bagaikan tiada noktah. Kepetahan dan kemesraannya melayani setiap persoalan menyebakan sesiapa yang menemubualnya terasa seolah-olah sudah lama berkenalan dengannya. Inilah yang dikatakan seorang pelakon yang mempunyai “beauty with brains”.
Wajahnya sentiasa tersenyum walaupun diajukan persoalan bersifat peribadi. Tiada langsung kerut di dahi ataupun rasa gusar yang terpancar di wajah tanda marah.
Bercerita mengenai watak-watak yang pernah dilakonkannya, baik sebagai pontianak, duyung mahupun gadis kampung dalam 1957 Hati Malaya, Maya tetap merasakan menjadi gadis tomboy bernama Johanna dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali sesuatu yang paling mencabar.
“Mana tidaknya. Tidak pernah seumur hidup saya memaki hamun orang dan bercakap kasar dalam bahasa pasar kerana diri saya jenis yang bercakap perlahan dan sopan,” ujar Maya ketawa mengingatkan watak yang jauh menyimpang daripada sifatnya yang sebenar itu.
Setelah berpeluang menjiwai pelbagai watak bermula sebagai Seri, seorang wanita koma dalam filem pertamanya, Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman, apakah watak lain yang diidamkan Maya?
![]() |
Menyukai filem-filem aksi sedemikian yang sering dipaparkan dalam filem Cina dari Hong Kong atau Taiwan, Maya berharap filem-filem sedemikian bakal diterbitkan produser tempatan.
Menyentuh soal industri perfileman tempatan, Maya bertanya kembali, “Apakah perfileman kita layak digelar industri?”
Menurut Maya, perfileman Malaysia belum layak digelar industri kerana sebilangan besar krew produksi baik pengarah, pelakon, mahupun petugas belakang tabir hanya belajar melalui pengalaman.
“Kita tidak ada sekolah lakonan. Pelakon dilahirkan melalui populariti tanpa asas pelajaran dalam lakonan,” tegas Maya.
Tambahnya, ketiadaan insurans serta royalti yang seharusnya diterima krew tidak dititikberatkan pihak produksi.
Jelasnya, lambakan persatuan hiburan yang tumbuh dengam objektif yang seakan-akan sama, bukannya untuk menjaga kepentingan karyawan untuk meningkatkan industri perfileman tetapi sekadar menganjurkan soal remeh- temeh seperti jamuan makan malam dan sebagainya.
“Untuk apa buat jamuan. Yang penting soal kebajikan artis dalam perfileman perlu dititikberatkan. Soal kontrak, soal royalti, insurans dan sebagainya. Sekarang artis-artis berlakon tanpa sebarang kontrak kukuh sebagai jaminan,” katanya.
Bagi pelakon berbintang Scorpio ini, beliau sendiri belum merasakan cukup pengetahuan dalam ilmu lakonan.
“Maya masih perlu belajar walaupun sudah berpengalaman berlakon,” akui Maya yang berharap sebuah sekolah lakonan khusus untuk perfileman ditubuhkan.
“Sesiapa sahaja boleh berlakon. Ia nampak mudah tetapi pengisiannya kosong,” tambah duta jam tangan Taq Heuer ini dalam senyuman yang membawa seribu satu makna.
![]() |
Artikel Terkini