![]() |
Pensil hasil karya Genius Parade Sdn. Bhd. dipilih menyertai Festival Filem Antarabangsa India Ke 39.
Pensil mungkin filem kecil yang berjaya menjulang Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia bulan Ogos lalu. Namun, ia besar pada mata penganjur festival filem antarabangsa apabila karya arahan M. Subash itu dijemput menyertai Festival Filem Antarabangsa India, pada 22 November hingga 2 Disember.
Filem terbitan Genius Parade Sdn. Bhd itu ditayangkan di 29 pawagam seluruh negara pada 12 Jun lalu. Filem tersebut berjaya mengutip hampir RM40,000 dalam jangka masa tayangannya mengikut Skim Wajib Tayang. Filem yang dibintangi pelakon-pelakon veteran seperti Ruminah Sidek, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, Jalil Hamid dan juga pendatang baru, Subash sebagai teraju utama dikatakan gagal memikat penonton ke panggung menonton filem tersebut.
Namun begitu hasil karya filem itu membuka mata orang ramai apabila berjaya menobatkan Ruminah Sidek sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 21 baru-baru ini. Dengan hasil lakonan mantap bersama sokongan cerita bermoral yang kuat tidak hairanlah mengapa penganjur festival luar negara itu berminat mempamerkan filem berkenaan kepada masyarakat disana.
Tujuan sebenar filem itu dihasilkan bukan untuk mengaut keuntungan yang besar, sebaliknya menghargai bakat dan hasil lakonan yang diberikan serta nilai moral yang ingin disampaikan memandangkan golongan masyarakat kita telah hilang nilai-nilai moral tersebut.
Karya mereka tidak terhenti disitu sahaja apabila filem kedua keluaran Genius Parade, Syirik, telah berjaya menghabiskan sesi penggambaran mereka hanya dalam 4 hari dan sudah memasuki proses penyuntingan. Filem tersebut bakal memasuki pawagam pada tahun hadapan. Selain dari itu terdapat dua lagi filem dalam perancangan pembikinan iaitu CCTV dan Jomlah C.I.U.M. Sama-sama kita mengharapkan hasil karya yang mempunyai mesej nilai murni tinggi serta lakonan-lakonan hebat dari filem-filem mereka.
Artikel Terkini