![]() |
| Omar Rojik |
Pada 3 Mei 1997 dunia filem kita telah kehilangan seorang pengarah dan pelakon besar yang banyak menghasilkan warisan yang akan menjadi kenangan dan kajian untuk yang meminati dan yang menghargai filem Melayu. Bintang besar yang dimaksudkan itu ialah Seniman Omar Bin Ali atau lebih dikenali sebagai Omar Rojik.
Omar Rojik dilahirkan pada 23 November tahun 1923 di Kulim Kedah. Tidak pernah terlintas di sudut hatinya bahawa dia akan memilih dunia perfileman sebagai tempat mencari rezeki pendapatan suatu hari nanti. Beliau pada mulanya berkerja sebagai seorang mekanik ketika zaman pemerintahan Jepun dahulu di lapangan terbang. Selepas itu beliau menuju ke Singapura untuk menawarkan dirinya sebagai mekanik tetapi tidak berhasil.
![]() |
| Adegan filem 'Sayang Si Buta' |
Beliau kemudian berhasrat untuk pulang semula ke Kedah tetapi takdir telah menemukannya bersama R.Azmi seorang penyanyi dan pelakon yang berkerja di Studio Jalan Ampas ketika itu. Dengan pertolongan R.Azmi, beliau diterima menjadi buruh kasar di studio tersebut. Di sinilah corak hidupnya bergelar anak seni mula bertukar. Dari seorang buruh kasar menjadi pelakon kecil yang kemudian menjadi pelakon yang berwatak. Antara pelakon-pelakon yang pernah berlakon bersama beliau ialah P. Ramlee, Mariam, Ahmad Mahmud, Rokiah Ahmad, Saadiah, Rosnani, dan lain-lain.
Beliau kemudian berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip. Antara hasil-hasil penulisan beliau adalah Semerah Padi, Dandan Setia, Antara Dua Darjat, Sabaruddin Tukang Kasut, Dr. Rushdi dan lain-lain. Seperkara yang menarik mengenai skrip penulisannya adalah kualiti bahasanya kerana sebelum memasuki dunia citra filem, beliau merupakan seorang penulis yang giat dalam gerakan persatuan penulis.
![]() |
| Omar Rojik semasa perbincangan filem 'Singapura Dilanggar Todak' |
Minat beliau di dalam dunia perfileman bukan hanya sekadar di arena bidang penulisan dan dunia lakonan sahaja tetapi jauh di sudut hatinya beliau menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang pengarah. Beliau perlahan-lahan mula mendokong tanggungjawab sebagai penolong pengarah kepada pengarah-pengarah filem hebat ketika itu seperti Dato’ L. Krishnan, B.N Rao, Dhiresh Ghosh dan Dato’ Jamil Sulong.
Akhirnya pada tahun 1960, dengan rasminya Omar Rojik dilantik menjadi pengarah filem menerusi filem Sumpah Wanita. Beliau ialah salah seorang pengarah Melayu yang dilantik oleh Malay Film Productions selepas Haji Mahadi dan P.Ramlee. Selepas itu, beliau terus melangkah ke hadapan dengan mengarah pelbagai lagi filem seperti Sayang Si Buta, Pertarungan, Panji Semerang, Singapura di Langgar Todak dan banyak lagi sehingga MFP ditutup pada tahun 1967 dengan filem terakhir arahan beliau A Go GO 67 lakonan Aziz Jaafar dan Zaiton.
![]() |
| Omar Rojik |
Beliau kemudian berhijrah bersama yang lain ke Merdeka Film Productions, di Hulu Kelang, Selangor pada tahun 1968. Di situ beliau telah mengarah 16 buah filem di antaranya Lanang Sejagat, Kalau Berpaut Di Dahan Yang Rapuh, Puaka, Si Luncai, Sayang Ibu dan sebagainya.
Omar Rojik merupakan seorang yang mempunyai harapan yang tinggi untuk mencapai kemajuan yang lebih besar lagi dalam sesuatu usaha. Percubaan melakukan perubahan di dalam filem arahannya dengan jelas memperlihatkan sikapnya yang cuba mengejar kemajuan teknik filem yang telah dicapai oleh dunia filem luar pada masa itu.
Beliau merupakan salah sebuah kisah kejayaan anak Kedah. Sebagai pengarah filem, impak wawasan dan warisan filem-filem arahannya akan terus ditonton untuk mengenali peribadi Omar Rojik sebagai sasterawan, sebagai pemikir dan sebagai penggiat seni filem. Harimau mati meninggalkan belang. Omar Rojik meninggalkan hasil karyanya. Karyanya untuk warisan bahan dan negara.
Omar Rojik
Tan Sri P. Ramlee
Mariam
Datuk Ahmad Mahmood
Rokiah
Datin Saadiah
Datin Hajah Rosnani Jamil
Dato' L. Krishnan
B. N. Rao
Dhiresh Ghosh
Dato' Haji Jamil Sulong
Aziz Jaafar
Zaiton
Artikel Terkini