![]() |
Namun begitu, tema tersebut menjadi kontroversi dan perbualan ramai dengan pelbagai pendapat pro dan kontra terhadap objektifnya. Ada suarasuara lantang yang menegur apakah sudah tiba waktunya tema sedemikian diketengahkan sedangkan industri perfileman belum mencapai taraf antarabangsa. Ada pula berpendapat belum masanya ia digunakan kerana mana mungkin filem kita boleh dibawa ke persada dunia jika mutu pembikinannya seperti skrip, suntingan, pengarahan dan sebagainya masih di takuk lama.
Komen mereka, carilah tema yang lebih ‘berpijak di bumi nyata’ dan jangan terbuai oleh anganangan untuk mencapai dunia sedangkan di negara sendiri pun masih merangkak-merangkak waima untuk menembusi bumi jiran seperti Indonesia, Thailand mahu pun Filipina pun sukar. Namun menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim , pemilihan tema “Filem Malaysia Ke Persada Dunia” bukan bermaksud mahu mencari filem tempatan untuk dihantar ke luar negara, sebaliknya lebih kepada usaha meningkatkan kualiti karya tempatan agar menepati kualiti setanding antarabangsa.
“Ia harus dilihat dari perspektif yang lebih meluas, membabitkan segala aspek dalam proses penerbitan filem. Ia bermula seawall proses penulisan dan pembangunan skrip, diikuti aplikasi teknologi penggambaran terkini, pasca produksi, seterusnya urusan pemasaran dan pengedarannya,” ujar Mahyidin. Jelas Mahyidin, objektif utama pemilihan tema itu sebenarnya adalah untuk meningkatkan kualiti filem tempatan. “Kita mahu produser kita menghasilkan lebih banyak filem yang berpotensi dibawa ke luar negara, sekali gus membuka pasaran lebih luas dengan syarat mesti berjaya di negara sendiri terlebih dulu,” ulasnya sambil mengakui ada produser tempatan yang mengambil inisiatif memasarkan filem ke peringkat antarabangsa namun tidak ramai yang berani melakukannya disebabkan beberapa faktor yang menjadi penghalang.
Dan pastinya umum maklum, antara syarikat perfileman yang telah membuktikan keupayaan menembusi pasaran antarabangsa adalah KRU Studios yang dimiliki tiga beradik berwawasan tinggi, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim. Sejak Kumpulan Rap Utama (KRU) ini mewarnai persada muzik tempatan melalui lagu Mengerti pada 19 Mei 1992, tiga beradik ini terus memperlihatkan perkembangan yang membanggakan malah Berjaya mempelbagaikan bakat mereka, daripada muzik kepada penerbitan lagu, perfileman dan perniagaan. Kini di bawah satu payung KRU Studios yang diterajui Norman Abdul Halim sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya terus memperlihatkan kemajuan yang membanggakan apatah lagi dengan siapnya kelak studio gergasinya di Cyberjaya yang menelan kos jutaan ringgit.
Malah dengan kewujudan KRU Studios di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Hong Kong di samping penubuhan KRU Europe Ltd. sebagai pusat operasi di benua Eropah, tidak syak lagi membuktikan tema “Filem Malaysia ke Persada Dunia” mampu direalisasikan dan bukan omong kosong dan anganangan sahaja. “Pendapat saya ini bukan bermaksud hendak mengampu FINAS tetapi hakikatnya saya setuju dengan penggunaan tema berkenaan kerana kita harus bermula dengan langkah kecil sebelum mampu terbang.” ulas Norman Abdul Halim ketika diminta pendapatnya oleh Sinema Malaysia baru baru ini.
![]() |
Tambahnya, “kita harus mempunyai visi dan wawasan untuk mencapai satu target dan tidak asyik pandang rendah kepada kemampuan sendiri malah setiap yang diusahakan haruslah ke arah pencapaian secara global, jadi saya rasa tidak salah untuk menggunakan tema berkenaan.”
Berbicara lanjut, Norman berpendapat dunia hiburan tidak boleh mengetepikan Hollywood walaupun kita belum mencapai tahap filem-filem buatan Amerika itu. Bagaimanapun Norman yang juga menggalas jawatan Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berharap pihak industri melihat perspektif tema dengan positif malah memberi input yang mampu membantu merealisasikan impian tersebut.
“FINAS telah memainkan peranannya untuk membantu industri dan terpulang kepada kita untuk mencorakkannya ke arah mencapai objektif yang bukannya mustahil untuk digenggam jika kuat berusaha,’ jelas Norman. Mengakui tidak mudah untuk FINAS memuaskan hati pelbagai pihak, Norman percaya FINAS juga melalui proses pembelajaran namun segala kelemahan mampu diatasi dengan respons dan kerjasama pihak industri. “Segala permasalahan boleh disalurkan melalui persatuan namun yang penting segala networking yang telah diusahakan oleh FINAS melalui ekspo mahu pun pemasaran filem di luar Negara harus direbut oleh pihak industri,” Norman bercerita panjang lebar.
Sesungguhnya bercerita dengan Norman yang kritis dan kreatif tidak terasa masa yang dikhaskan lebih kurang sejam berlalu begitu pantas. Banyak yang diperkatakan baik off record mahu pun yang boleh dicatatkan. Sejak mula mengenali tiga beradik ini sewaktu pertama kali membuat temuramah bersama mereka awal 90-an lalu, sudah dapat dilihat kemampuan mereka dan visi yang dipegang baik Norman, Yusry mahupun Edry yang masing masing mempunyai kepakaran di bidang berasingan.
Malah tidak syak lagi, sebagai pemegang Diploma Akauntan, ilmu yang ditimba banyak membantunya dalam pengurusan syarikat walaupun pada asalnya cita-citanya hanya ingin menjadi pemain bola sepak ataupun Akauntan. “Saya peminat Manchester United dan masa kecil memang berangan nak jadi pemain bola sepak atau akauntan tetapi tidak pula pernah bermimpi akan terlibat dalam bidang seni walaupun pada usia 7 tahun sudah meminati dunia hiburan,” kenang Norman dalam ketawa kecil. Menyambung kembali pendapatnya terhadap persoalan tema, Norman berharap segala bantuan yang telah diwujudkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sekiranya impian penerbit untuk memasarkan filem mereka ke peringkat antarabangsa dapat diteruskan.
![]() |
“Yang penting kita harus tahu salurannya dan tidak mengetuk pintu yang salah,” ujar Norman sambil memberitahu beliau sendiri rajin melayari internet untuk mencari peluang yang telah disediakan kerajaan. Menurutnya, penerbit perlu rebut bantuan promosi dan pemasaran yang dihulurkan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang merangkumi pembiayaan 50 peratus kos pemasaran di peringkat antarabangsa selain bantuan tiket kapal terbang dan kos penginapan. “Barangkali ini yang segelintir penerbit tidak mengetahuinya,” fikir Norman sambil menyatakan persetujuannya untuk memberikan ceramah andai kata ada pihak yang sudi menjemputnya.
Walaubagaimana pun katanya, banyak lagi insentif yang perlu difikirkan pihak kerajaan seperti peratusan pulangan cukai yang lebih tinggi, pihak penerbit juga harus bekerja keras tanpa mengharapkan subsidi sepenuhnya oleh kerajaan. “Tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Saya sendiri belajar melalui kesilapan,” akui Norman jujur. Usahawan muda berasal Perak ini yang bakal menerbitkan filem aksi, The Malay Chronicles (Hikayat Merong Mahawangsa) membabit kos mencapai RM8 juta sesungguhnya dilihat tidak gentar menghadapi cabaran dunia perniagaan.
“Seorang ahli perniagaan yang bijak tidak menggunakan duit sendiri tetapi duit orang untuk bergerak. Justeru pinjaman itu perlu jika ingin berkembang tetapi haruslah bijak juga untuk mentadbirkan wang tersebut agar keuntungannya bukan sahaja dapat diraih kepada semua tetapi mampu membayar balik hutang.” tambah Norman. Sambungnya lagi dalam bahasa yang tersurat lagi tersirat, “Saya tidak ingin menjadi harimau di atas satu bukit. Biarlah saya berdiri dengan banyak lagi harimau lain.”
Apa maksud Norman, fikir-fikirlah sendiri! Yang pasti siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM2,000 yang dipinjamkan oleh sebuah syarikat hiburan tempatan untuk membeli sebuah keyboard mainan bagi merakamkan lagu demo 17 tahun lalu, KRU sudah mampu membina studio perfilemannya yang tersendiri serta menerokai pasaran global sekali gus memenuhi harapan slogan “Filem Malaysia ke Persada Dunia”.
Artikel Terkini