![]() |
| Mamat Khalid |
Mamat Khalid, anak kelahiran Perak, tidak jemu melahirkan filem-filem yang berlingkar pada kehidupan masyarakat sekali gus mencerminkan kisah peribadinya sendiri. Penglibatannya dalam seni hiburan bermula sebagai ahli muzik ketika berusia 23 tahun ketika menjadi pemain keyboard kumpulan Drop Out yang menjuarai pertandingan Battle of the Band peringkat negeri Perak. Walaupun memiliki bakat menulis lirik mahupun mencipta lagu, hati Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid, 45, lebih cenderung ke arah pengarahan drama mahupun filem.
Adik kepada kartunis terkenal, Datuk Lat dan suami kepada Hasnah Hassan, 44, serta ayah kepada lima orang anak ini memulakan tugas pengarahan filem sulungnya, Lang Buana dalam tahun 2003. Selepas Lang Buana, filem keduanya, Rock muncul dua tahun kemudian, diikuti Man Laksa (2006) dan Zombie Kampung Pisang (2007) yang kesemuanya mempunyai jalan cerita berbeza namun masih mengekalkan gaya pengarahan Mamat yang sering kali mendapat teguran daripada pengkritik filem mahupun ahli akademik. Selama hampir lima tahun menimba pengalaman akhirnya filem arahan keenamnya, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) membawa tuah apabila mengangkatnya sebagai Pengarah Terbaik sekali gus Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 yang berlangsung Ogos lalu.
Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu yang dianggap filem ‘underdog’ mampu mengetepikan filem-filem saingannya yang tidak kurang hebat seperti 1957: Hati Malaya, Wayang, Anak Halal dan Pensil. KMBM turut menobatkan pelakon utamanya Rosyam Nor sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM-21 di samping kemenangan melalui kategori Penataan Seni Terbaik serta Kostum Terbaik. Ada yang bersetuju malah tidak kurang pula yang merasa hairan bagaimana sebuah filem noir arahan seorang pengarah yang mendapat jolokan ‘pengarah merapu’ boleh mencapai kemenangan?
Namun yang pasti, kreativiti yang ditonjolkan dalam filem filem Mamat Khalid dibentuk mengikut acuannya yang tersendiri. Filemnya sarat dengan mesej yang tersirat, malah mempunyai elemen budaya serta kiasan supaya orang mampu berfikir mengikut pendekatan masing-masing. Soalnya dapatkah persoalan itu diterjemahkan khalayak? Biar apa pun kritikan yang dilemparkan terhadap karyanya, Mamat tidak sedikit pun berasa tersinggung, malah komen-komen yang disuarakan baik positif mahupun negatif dianggapnya ‘pandangan dan hak peribadi masing-masing’.
Mamat yang pernah mendapat anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi filem Puteri Gunung Ledang dalam Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM-18) pada 2005 bagaimanapun tetap menganggap KMBM sebagai karya ‘masterpiece’. Malah pemenang Anugerah Khas Juri (Idea dan konsep yang inovatif) menerusi filem Man Laksa di FFM-19 serta penerima anugerah Pengarah Terbaik menerusi drama Pinang Durian pada Anugerah Skrin Panca Delima sempena FFM-15 ini bersyukur kerana impiannya untuk melahirkan sebuah filem hitam putih membawa tuah yang tidak pernah diimpikan selama ini. “Anugerah ini sebagai pembakar semangat saya untuk terus berjuang mengangkat industri perfileman tempatan ke satu tahap yang boleh dibanggakan khalayak dunia,” katanya.
Ikuti wawancara pemikiran insan filem bernama Mamat Khalid ini serta pandangannya terhadap karya-karyanya yang sering kali dianggap sebagai ‘lawak bodoh’ dalam kalangan pengkritik filem tanah air.
SINEMA MALAYSIA (SM): Tahniah atas kemenangan saudara sebagai Pengarah Terbaik FFM-21 baru-baru ini. Malah filem Kala Malam Bulan Mengambang dinobatkan Filem Terbaik. Bagaimana rasanya dapat mengalahkan empat filem saingan lain yang hebat kesemuanya?
MAMAT KHALID (MK): Saya tidak merasakan ia sebagai mengalahkan filem-filem yang lain. Ia dipilih daripada filem-filem yang lain.
SM: Bagaimana pula reaksi saudara apabila ramai yang mengkritik kemenangan tersebut sedangkan filem saudara diletak lebih sebagai filem ‘underdog’ dan kemenangan itu mengejutkan ramai?
MK: Oh ya? Saya tak tahu pula ia dikritik. Mungkin saya perlu lebih berusaha lagi. Dalam perjuangan saya untuk mendapat persetujuan daripada semua pihak perlu diperkuat.
SM: Di manakah saudara rasa kekuatan filem ini sehingga berjaya menjadi Filem Terbaik?
MK: Saya cuma seorang ‘filmmaker’ yang meng-hasilkan filem tanpa ada rasa untuk menjadikannya filem terbaik. Kekuatan atau kelebihan filem saya bukan saya yang menentukannya, terpulang kepada audiens untuk menilainya.
SM: Saudara sering disifatkan sebagai pengarah ‘merapu’ ataupun pengarah ‘lok lak’ dengan membawa lawak bodoh dalam filem komedi saudara. Apa komen?
MK: Saya tidak mahu komen panjang tentang anggapan sedemikian. Itu adalah hak mereka untuk melabelkan saya. Dalam arena yang penuh ilmuwan dan bijak pandai kelas dua ini, saya akur dengan segala anugerah dan gelaran yang diberikan.
SM: Apakah saudara mengarah mengikut ‘story board’ ataupun mengikut keadaan semasa ketika di set?
MK: Saya menggunakan ‘storyboard’ dan kadang-kala mengikut keadaan semasa.
SM: Tidakkah cara ini akan menyukarkan pihak produksi dan pelan asal?
MK: Kadangkala ketika di lokasi keadaan sekeliling mampu menyumbang kepada keberkesanan ‘content’ roh filem itu, dan tidak pula dipandang sukar oleh kru produksi terlibat.
SM: Sebagai pengarah yang percaya sesebuah filem Malaysia harus melibatkan pelbagai kaum, bagaimana saudara menerapkan unsur ketuanan Melayu dalam karya saudara? Adakah sekadar memakai kain pelekat itu sudah mencukupi?
MK: Kain pelekat, baju Melayu dan batik berkebaya itu telah saya terapkan dalam filem dan drama-drama saya dari dahulu lagi untuk menunjukkan setiap imejan dan penyampaian saya kuat pegangan ras pembikinnya. Tetapi tiada siapa pun yang peduli mahupun sedar akan kewujudan niat itu. Kesedaran ramai itu hanya tercetus sejak kebelakangan ini dan haruskah saya membuat penerangan mempertahankannya?
SM: Pada pandangan saudara apa bezanya membuat filem sebagai ilmuwan berbanding sebagai pembikin filem?
MK: Perbezaannya hanya terpahat di carta ‘box-office.’
![]() |
| Mamat Khalid bersama Gayatri ketika menjulang anugerah Filem Terbaik bagi Kala Malam Bulan Mengambang |
SM: Bukankah menerokai pemikiran ilmuwan itu mampu mengangkat ilmu perfileman itu sendiri sehingga menjadikannya berkualiti?
MK: Memang, tetapi adakah seorang yang berkajang lulusannya dapat menghasilkan filem yang berkualiti? dan dari kayu ukur mana yang meletakkan sesebuah filem itu berkualiti atau tidak? Adakah kita tidak faham bererti ia tidak berkualiti? Atau kita terlalu taksub dengan pungutan memberi erti sesebuah filem itu adalah kebenaran mutlak untuk berkarya? Dan adakah salah mereka berbuat demikian? Persoalan terlalu banyak dan sangat menggores niat kami pembikin filem tempatan. Pada saya memperbanyak hasil karya adalah jalan terbaik untuk menuju ke arah kecemerlangan perfileman tempatan. Lagi meriah industri perfileman, lagi banyaklah pintu akan terbuka bagi menarik minat penonton serta pengkarya filem itu sendiri.
SM: Apakah saudara anggap filem saudara berkualiti?
MK: itu kena tanya para ilmuwan. dan jangan lupa bawa kayu pengukur sekali.
SM: Bagaimanakah mengukur sesebuah filem itu sebagai yang berkualiti?
MK: Kesemua pengarah di negara ini mengatakan filem mereka berkualiti. Semua. Saya tidak pernah dengar seseorang pembikin filem itu mengatakan filem beliau tidak bagus. Cuma tahap kualiti yang diukur oleh para ilmuwan dan pengulas filem itu yang menjadi bahan lucu bagi kami.
SM: Adakah saudara sendiri mempelajari ilmu perfileman? Di mana? Atau saudara belajar mengarah melalui pengalaman bekerja?
MK: Melalui pengalaman.
SM: Pernahkah saudara merajuk dengan dunia perfileman tempatan? Jika ya kenapa?
MK: Itu cuma masalah peribadi.
![]() |
| Mamat dikelilingi pelakon-pelakon yang menjayakan Kala Malam Bulan Mengambang. |
SM: Setiap filem yang saudara hasilkan dikatakan sarat dengan mesej dan kadangkala berbau sinis malah saudara harapkan penonton berfikir untuk memahaminya. Tetapi sedarkah saudara bahawa penonton yang ke pawagam tidak mahu berfikir panjang. Mereka semata-mata mahukan hiburan ringan. Bagaimana rasanya untuk saudara mengubah persepsi penonton ini?
MK: Susah untuk membuat apa-apa perubahan kepada persepsi penonton mahupun kepada mereka yang terlibat. Sikap ‘double standard’ yang begitu tebal dalam kalangan penonton dan penggemar filem tempatan membuat setiap hasil karya filem itu di letakkan dalam kelas-kelas yang tertentu. Filem di tanah air cuma sumber hiburan bukan budaya. Jika kita ingin membudayakan filem akan bertanyalah ramai, adakah kain pelekat sahaja sudah mencukupi? Filem Puteri Gunung Ledang (PGL) misalnya sebuah filem epik yang besar skala pembikinannya. Belum sempat ditayangkan kepada umum, segala keburukan diperbesar. Setiap sentimeter filem itu diukur begitu halus oleh mereka yang pada mulanya bukan penyokong filem tempatan.
Semua manusia mahukan kebenaran yang terperinci melupakan ‘creative license’ hak pembikinnya. Tokoh budaya begitu marah dengan penampilan yang dianggap mencemar sejarah. tapi mereka terlupa yang mana bahan sejarah yang mana unsur mitos! Ia sebuah filem cereka bukan filem sejarah. Sama seangkatan dengan kebenaran dalam filem-filem biografi Abraham Lincoln The Young Lincoln, legenda Archiles dalam Troy serta kebenaran Alexander. mahupun keagungan William Wallace dalam Braveheart’! Kesemuanya diadun menjadi cereka. bukan dokumentari sejarah.
‘Double standard’ dalam persepsi dan reaksi pengulas filem tempatan bukan sahaja menular di peringkat bawah malah dijulang perjuangan mereka hingga ke peringkat festival kebangsaan sehingga filem PGL itu dihentak. Maka larilah produser lain yang hendak membikin filem yang berbudaya Melayu lagi. Untuk memulakan satu revolusi filem berbudaya ini akan tentu meletakkan pembikinnya sebagai pengarah yang sukar difahami. U-wei Hj Shaari misalnya. Penuh kain pelekat dan baju kebaya yang ditunjukkan oleh watak-watak ciptaan beliau tetapi persepsi penonton tidak langsung dapat ‘relate’ (menghubungkaitkan) apa yang cuba beliau tunjukkan. Di arus perdana saya cuba mengubah corak persembahan dengan memperbanyak unsur sosiobudaya Melayu dan jika Puteri Gunung Ledang terlalu berat, saya terpaksa menghumorkan ‘approach’ supaya lebih mudah untuk penonton menerimanya.
Dan ‘feedback’ daripada pengulas filem yang juga berasal dari hutan ceruk balik teluk pula mengatakan saya pengarah kampung. Perlukah saya bercerita mengenai persepsi? Tetapi segala itu tidak mungkin membuatkan saya menangis serta segan untuk meneruskan penglibatan saya d dalam dunia perfileman.
SM: Barangkali ada cerita yang ingin saudara filemkan tetapi masih belum tercapai disebabkan keadaan. Apakah corak filem tersebut?
MK: Memang ada tetapi apa yang sedang dan akan saya filemkan dalam masa terdekat ini lebih kepada mendekatkan saya dengan selera penonton. Belum masanya untuk saya mencorakkan filem yang benar-benar ingin saya persembahkan.
SM: Adakah ia lebih mencabar daripada Kala Malam Bulan Mengambang yang saudara sifatkan sebagai mahakarya saudara sejak menjadi pengarah?
MK: Mungkin saya pernah menyifatkan filem itu ‘masterpiece’ saya pada anak-anak saya, bukan pada teman-teman seperjuangan. Banyak lagi yang harus saya lakukan untuk me-‘masterpiece’-kan sesebuah karya. Filem yang ingin saya hasilkan ialah sebuah filem epik Melayu dari zaman Sriwijaya sehinggalah zaman Raja-Raja Melayu. Sebuah filem tiga jam yang memerlukan komitmen dan kos yang tinggi. Saya perlu mencari bahan serta ‘financing’ yang kukuh untuk mematerialisasikannya.
SM: Bagaimana saudara melihat industri perfileman tempatan? Mampukah filem Malaysia berada gah di persada filem antarabangsa?
MK: Ia semakin berkembang, dan dengan kepekaan pembikin filem serta pembabitan badan-badan kerajaan sudah tentu ia mampu berada gah di persada filem antarabangsa.
![]() |
| Filem Estet arahan Mamat Khalid yang akan mulakan tayangan tahun ini. |
SM: Bagaimanakah caranya saudara rasakan untuk menembusi pasaran antarabangsa?
MK: Dalam litar filem antarabangsa, ‘content’ yang menitikberatkan permasalahan seks, perkauman, pertikaian agama, politik berhaluan kiri atau pro-Yahudi merupakan elemen yang sangat dihargai. Filem-filem kita kebanyakannya meraikan kehidupan serta menanam sikap berkasih sesama kaum. Sudah pasti bukan unsur untuk memprovokasikan minda global.
Filem La Vitta E Bella arahan Roberto Benigni yang mendapat pojokan melampau masyarakat dunia ialah sebuah filem yang sempurna sehinggalah di pertengahan cerita, baru kita faham ia adalah sebuah filem mengenai simpati kepada masyarakat Yahudi Itali pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu! Mungkin arus perdana dunia terlalu besar permintaan dana dan pembikinannya untuk kita sama-sama turut serta. Kita boleh ubah haluan kepada yang lebih kecil skopnya seperti filem-filem pendek dan filem-filem ‘arthouse’. Mungkin. Tetapi sanggupkah kita membuka mata dunia dengan filem seperti filem Ken Park misalnya. Filem mengisahkan masyarakat serta kekeluargaan yang ‘dysfunction’. Permasalahan seks di luar tabii serta sumbang mahram tetapi diangkat sebagai sebuah karya yang begitu baik kerana berjaya memprovokasikan asas tamadun manusia.
Budaya Melayu kita terlalu ‘fragile’ untuk kita ketengahkan subjek tabu yang bukan tidak pernah berlaku itu. Kita memilih untuk lebih senang dengan isi kandungan kemanusiaan yang lebih ringan. Salahkah kita? Filem-filem pendek yang mendapat pujian di festival dunia itu pula adakah jujur datangnya dari negara ini? Jika kita ingin dimartabatkan sebagai pengeluar filem bertahap global, apakah subjek yang boleh kita ketengahkan sebagai santapan mereka? Saya juga ingin mencari jawaban itu dengan terus berkarya. Itu adalah misi saya.
SM: Bagaimana peranan FINAS dalam membantu industri perfileman tempatan? Adakah memadai atau perlu lebih agresif? Apakah saudara rasa perlu dilakukan FINAS demi meningkatkan pasaran filem tempatan?
MK: FINAS sudah melakukan segala-segalanya yang termampu. Kini cuma pembikin filem yang harus menyahut seruan untuk mempelbagaikan lagi pasaran filem tempatan.
SM: Selama mana saudara akan berkarya?
MK: Selama saya puas mencari erti perjuangan dalam budaya filem saya ini.
SM: Akhir sekali, mungkinkah ada cita-cita saudara yang masih belum tercapai?
MK: Banyak lagi sumbangan yang harus saya lakukan terhadap budaya filem kita. Cita-cita itu mungkin akan tercapai apabila pemahaman dua hala pengkarya serta masyarakat kita saling memberi aspirasi. Terima kasih.